Start here

Karya Hadits Ulama Melayu

Penulisan Ilmu Hadits Oleh Ulama Asia Tenggara

 

RAMAI memperkatakan bahawa penulisan ilmu-ilmu keislaman yang dilakukan oleh ulama Asia Tenggara zaman silam hanya berkisar pada ilmu-ilmu tasawuf, fiqh dan tauhid sahaja. Tuduhan begitu sangat menyedihkan, tanpa membuat suatu kajian yang saksama dan teliti, bahkan juga ada yang berpendapat bahawa ulama-ulama silam Asia Tenggara tidak mengenali ilmu hadis.

Pendapat demikian adalah satu kekeliruan besar, kerana apabila kita kaji dengan teliti, bahawa penulisan ilmu-ilmu keislaman yang dilakukan oleh ulama-ulama tradisional Asia Tenggara adalah lengkap dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan keislaman, termasuk ilmu-ilmu hadis.

Bahkan ilmu-ilmu lain juga, seperti ilmu hisab, ilmu falak, ilmu perubatan dan lain-lain. Rentetan itu, pada ruangan kali ini penulis bicarakan pula perkembangan penulisan hadis ulama-ulama di Asia Tenggara.

Perbicaraan ini pernah dibentangkan oleh penulis atas pilihan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Seminar Antarabangsa Pengajian Islam di Asia Tenggara, Universiti Brunei Darussalam. Pilihan judul kertas kerja yang diamanahkan kepada penulis, iaitu Perkembangan Penulisan Hadis di Asia Tenggara dilihat adalah tepat. Namun judul tersebut kemudian terjadi sedikit perubahan dan ditukar kepada Perkembangan Penulisan Hadis Ulama di Asia Tenggara.

Pilihan judul tersebut penulis katakan tepat kerana beberapa perkara, iaitu: Pertama, sesuai dengan perkembangan zaman, iaitu zaman dunia Asia Tenggara dilanda oleh berbagai-bagai aliran termasuk aliran ingkar sunah/anti hadis.

Kedua, merupakan pembelaan dan menyerlahkan nama ulama-ulama silam kita dalam ilmu hadis. Dan ketiga, sekali gus merupakan jawapan atas anggapan segelintir orang yang memandang sinis terhadap ulama-ulama silam Asia Tenggara seperti yang telah disebutkan di atas.

Kertas kerja tersebut mengutamakan pengenalan terhadap ulama-ulama Asia Tenggara dan karya-karya mereka mengenai hadis, yang dimulai abad ke 16-17 hingga abad ke 19-20 saja, iaitu ulama-ulama Asia Tenggara yang menggunakan tulisan Melayu/Jawi.

Adapun ulama-ulama Asia Tenggara yang terlibat penulisan hadis yang menggunakan tulisan Latin/Rumi tidak diperkenalkan. Sebelum memperkenalkan pengkaryaan hadis oleh ulama-ulama silam tersebut, terlebih dulu penulis sentuh sepintas lalu mengenai isnad hadis kerana mengenai isnad adalah termasuk perkara yang sangat penting dalam perbicaraan ilmu hadis.

Catatan mengenai Isnad Ulama Asia Tenggara

Hampir semua ulama Asia Tenggara yang menghasilkan karya memandang penting “salasilah” apabila mereka mengamalkan sesuatu thariqah shufiyah, demikian juga ilmu-ilmu lainnya. Budaya mencatat salasilah dimulai penulisan awal Asia Tenggara seumpama karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri, Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri, dan lain-lain dapat kita jumpa dalam berbagai-bagai judul karya mereka.

Tradisi demikian dilanjutkan oleh ulama-ulama Asia Tenggara abad ke 18-19, dapat kita temui dalam karya-karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud al-Fathani dan lain-lain.

Berlanjutan terus, termasuk ulama-ulama yang muncul abad ke 19-20, seumpama Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Mukhtar Bogor, Sheikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi dan lain-lain. Jika dalam ilmu thariqah shufiyah lebih dikenali dengan istilah “salasilah”, maka dalam ilmu hadis pula lebih dikenal dengan istilah “isnad” atau “sanad.”

Ruangan ini sangat terbatas untuk membahas perkara “salasilah” dan “isnad”, namun sebagai maklumat perlu disebut dengan ringkas saja. Sheikh Nuruddin ar-Raniri menulis “salasilah”nya dalam Jawahirul ‘Ulum, Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri dalam Kifayatul Muhtajin dan ‘Umdatul Muhtajin, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam Siyarus Salikin dan al-‘Urwatul Wutsqa, Sheikh Daud al-Fathani dalam Kaifiyat Khatam Quran dan ramai lagi.

Untuk mengetahui “isnad hadis”, beberapa orang ulama di antaranya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dapat dirujuk kepada al-‘Iqdul Jawahir karya Sheikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang).

Di dalam karya tersebut, Sheikh Yasin Padang menyebut setiap satu “sanad hadis” yang dinisbahkan kepada Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, misalnya, bahawa ulama Palembang itu “sanad musalsal” kepada ulama-ulama yang terkenal. Apabila beliau belajar Kitab Shahih Bukhari, sanadnya musalsal sampai Imam Bukhari, demikian kitab-kitab lainnya. Semua Kitab as-Sittah, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sanadnya musalsal sampai kepada pengarang-pengarang kitab tersebut.

Ilmu hadis

Ulama-ulama Asia Tenggara abad ke 19-20, sebahagian besar sanad hadis mereka diterima dari Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zahir al-Watri al-Hanafi, Saiyid Husein bin Saiyid Muhammad al-Habsyi, Saiyid Abu Bakar Syatha, Saiyid Ahmad Zaini Dahlan dan lain-lain.

Seumpama: Sheikh Ahmad al-Fathani juga belajar ilmu hadis kepada ulama Madinah itu, sanad hadis ulama yang berasal dari Patani itu di antaranya ialah: Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zahir al-Watri al-Hanafi. Sanad hadis yang lain ialah: beliau belajar kepada Sheikh Abdul Qadir as-Syibli at-Tarablusi.

Kedua-dua sanad hadis Sheikh Ahmad al-Fathani itu musalsal hingga kepada pengarang kitab-kitab hadis yang terkenal dan muktabar. Selain itu ada lagi sanad hadis Syeikh Ahmad al-Fathani yang beliau terima dari Saiyid Husein al-Habsyi. Tidak dapat dinafikan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani pernah belajar kepada Sheikh Nawawi al-Bantani.

Sheikh Nawawi al-Bantani melalui Sheikh Zainuddin Aceh bersambung sanad kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Sheikh Nawawi al-Bantani juga ada sanad hadis kepada Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani. Sheikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi (Termas) termasuk peringkat murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, beliau belajar ilmu hadis kepada beberapa orang, di antaranya kepada Saiyid Husein al-Habsyi dan Saiyid Abu Bakar Syatha.

Juga tidak dapat dinafikan beliau juga pernah belajar kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Nawawi Banten, dan lain-lain.

Maklumat tersebut di atas hanyalah sebagai contoh saja, belum dapat dihuraikan panjang lebar dalam ruangan yang terbatas ini. Dalam kajian, penulis menemui bahawa sangat ramai ulama Asia Tenggara yang faham benar mengenai hadis, yang sah ilmu hadis mereka, kerana mempunyai sanad musalsal.

Kitab-kitab hadis Melayu peringkat awal

Penulisan hadis abad ke-17 terdapat dua buah, sebuah karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri dan sebuah lagi karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Hingga kertas kerja tersebut ditulis, penulis belum menemui kitab hadis yang lebih awal dihasilkan oleh ulama Asia Tenggara lainnya.

Kedua kitab hadis tersebut ialah: Al-Fawaidul Bahiyah fil Ahadithin Nabawiyah, disingkat Al-Fawaidul Bahiyah sahaja, atau dinamakan juga dengan Hidayatul Habib fit Targhib wat Tarhib, disingkat kepada Hidayatul Habib sahaja, karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri. Sebuah lagi ialah: Syarh Lathif ‘ala Arba’ina Haditsan lil Imam Nawawi, disingkat Hadits Arba’in sahaja, karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

Pengenalan data yang sangat ringkas kedua-dua kitab hadis tersebut, penulis telah muatkan dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1-2, namun di sini perlu juga disinggung sebagai pelengkap perbicaraan ini.

Penulis dahulukan mengenai Al-Fawaidul Bahiyah fil Ahaditsin Nabawiyah, kitab hadis ini diselesaikan pada hari Jumaat, Syawal 1045 H/1635 M. Di dalamnya terkumpul sebanyak 831 hadis terdiri daripada 46 Bab. Setiap periwayat hadis disingkat dengan huruf kod, misalnya huruf Kha untuk Imam Bukhari, huruf Mim untuk Imam Muslim, dan lain-lain Imam hadis.

Jumlah semua yang digunakan kod seramai 22 orang. Semua hadis dalam karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri tersebut ditulis teks dalam bahasa Arabnya, sesudah itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu.

Sheikh Nuruddin ar-Raniri memulakan kitab hadisnya dengan Bab Menggemari Niat, diiringi dengan Bab Menggemari Islam, Iman Dan Ihsan dan berakhir dengan Bab Menggemari Sentiasa Menyebut Mati, Mentalkinkan Mayat, Berjalan Serta Jenazah Dan Menakutkan Meratap-ratap. Manuskrip karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri tersebut terdapat sebuah dalam simpanan Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMM-PNM) dengan nombor kelas MS 1042 menggunakan judul Hidayatul Habib fit Targhib wat Tarhib.

Cetakan awal kitab ini ditashih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, dicetak di bahagian tepi kitab Jam’ul Fawaid karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Cetakan demikian masih kekal hingga cetakan-cetakan akhir kitab Jam’ul Fawaid itu sampai sekarang.

Mengenai Syarh Lathif ‘ala Arba’ina Haditsan lil Imam Nawawi karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri setakat ini baru dijumpai dua buah manuskrip yang tersimpan di PMM-PNM. Manuskrip yang pertama tidak lengkap, nombor kelas MS 1314, yang sebahagiannya telah ditransliterasi oleh penulis dan sebuah lagi lengkap belum diberi bernombor kelas.

Pada halaman akhir manuskrip yang baru dijumpai itu terdapat tanggal diselesaikan kitab hadis itu, ialah “Tamat karangan al-faqir Sheikh Abdur Rauf bin Ali Bandar Aceh Darus Salam, hari Selasa, bulan Safar sanah 1091 H”. Kitab hadis karya Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ini adalah merupakan terjemahan dan tafsir Hadits Arba’in Imam Nawawi yang pertama sekali dalam bahasa Melayu, dan merupakan kitab hadis dalam bahasa Melayu yang kedua sesudah karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri tadi.

Corak syarah agak berbeza dengan semua syarah hadis itu, kerana Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri mensyarah/ mentafsirnya adalah berdasarkan ilmu tasawuf. Dalam pengetahuan penulis sendiri, bahawa karya Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri mengenai hadis empat puluh tersebut belum pernah diterbitkan berupa cetakan.

Apabila kita membicarakan hadis empat puluh, maka kita akan menemui berjenis-jenis hadis empat puluh itu dalam bahasa Melayu. Jauh sesudah Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri, pada tahun 1272 H/1856 M terdapat lagi sebuah terjemah beserta syarah Hadits Arba’in Imam Nawawi itu yang diberi judul Fathul Mubin karya Sheikh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid Rawa.

Disyarah menurut ilmu fiqh, jadi jauh berbeza dengan syarah Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri yang disyarah bercorak sufisme itu.

Syarah Hadits Arba’in yang kedua ini pernah dicetak di Mekah. Penulis difahamkan oleh Ustaz Abdul Halim Sa’ad (bekas Imam Masjid Negara) bahawa di tangan Tuan Guru Haji Umar Pondok Lanai, Kedah juga terdapat sebuah syarah hadis yang sama, dan disyarah menurut ilmu nahu dan saraf.

Selain itu Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah menyusun Hadits Arba’in yang bukan merupakan terjemahan Hadits Arba’in Imam Nawawi yang terkenal itu.

Hadits Arba’in susunan serta terjemahan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah beliau muat dalam karyanya Hidayatul Muta’allim. Hadits Arba’in susunan Sheikh Khatib al-Munziri, bukan Imam Nawawi, pernah diterjemahkan oleh Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fatani (domisil di Besut, Terengganu). Terjemahan tersebut diberi judul Hidayatul Mukhtar.

Penutup

Melalui penyelidikan penulis, terdapat beberapa ulama-ulama Asia Tenggara yang terlibat dalam penulisan hadis, iaitu: Sheikh Abdullah Bin Abdul Mubin al-Fathani, Sheikh Daud Bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Wan Ali Kutan Kelantan, Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Ahmad Yunus Lingga, Sheikh Utsman Syihabuddin Pontianak, Sheikh Muhammad Mahfuz at-Tarmisi, Sheikh Husein Kedah, Sheikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani, dan Sheikh Idris al-Marbawi. Keterangan maklumat mengenai ulama-ulama tersebut akan dilanjutkan perbicaraannya pada ruangan seterusnya.

Hanya demikian saja ulama-ulama Asia Tenggara yang terlibat secara langsung dalam penulisan hadis yang dapat diperkenalkan. Bagaimanapun kajian yang berterusan perlu dijalankan untuk menyelidik berkemungkinan masih ada ulama-ulama yang belum diperkenalkan, sama ada dalam bidang hadis mahupun bidang-bidang lainnya.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J6GzGXfS
© Utusan Melayu (M) Bhd


Penulisan Hadits Tokoh Ulama Nusantara

oleh Wan Muhd Shoghir

PERBICARAAN ini adalah lanjutan dari ruangan yang lepas yang menyentuh mengenai perkembangan penulisan hadis ulama Asia Tenggara. Pada ruangan lepas telah disentuh dua perkara, iaitu: catatan mengenai Isnad ulama Asia Tenggara dan kitab-kitab hadis Melayu peringkat awal. Rentetan dari itu, perbicaraan ini diteruskan dengan penulisan hadis ulama-ulama yang berkaitan.

Kesemua sejarah biografi ulama-ulama yang terlibat dalam penulisan hadis ini pernah dibicarakan sebelumnya. Penumpuan perbicaraan untuk kali ini pula hanya kepada penulisan-penulisan hadis ulama Asia Tenggara tersebut. Berikut adalah sebahagian ulama-ulama yang berkait berdasarkan kajian penulis, iaitu:

Penulisan hadis Sheikh Abdullah Bin Abdul Mubin Al-Fathani

Ulama Fathani Darus Salam yang sezaman dengan Sheikh Abdur Rauf al-Fansuri ialah Sheikh Abdul Mubin bin Muhammad Jailani Pauh Bok al-Fathani. Beliau menghasilkan karya-karya Sufi, tetapi belum ditemui karyanya mengenai hadis.

Dua orang anak beliau yang menjadi ulama, iaitu Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani (dikenali dengan nama Tok Lubuk oleh masyarakat Brunei Darussalam), manakala seorang lagi bernama Sheikh Abdullah bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani.

Sheikh Abdullah menghasilkan sebuah kitab hadis berjudul Tanbihul Ghafilin, yang diselesaikan penulisannya tahun 1184 H/1770 M. Kitab tersebut juga masih beredar di pasaran kitab.

Karyanya yang pertama ilah terjemahan Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits as-Samarqandi. Terdapat tiga versi terjemahan beliau, ada yang lengkap merupakan terjemahan keseluruhan kandungan kitab asalnya. Namun, yang beredar di pasaran hanyalah merupakan terjemahan petikan-petikan kandungannya saja.

Versi yang sebuah lagi lebih lengkap daripada yang pernah diterbitkan. Dua versi yang agak lengkap tidak pernah dicetak. Beberapa manuskrip daripada ketiga-tiga versi tersebut telah dijumpai penulis, sekali gus menjadikannya koleksi sebagai bahan-bahan rujukan.

Penulisan hadis Sheikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani

Di kalangan masyarakat pengajian Islam tradisional Asia Tenggara, nama Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah tidak asing lagi bagi mereka. Namun bagi sesetengah orang hanya mengetahui bahawa keterlibatan penulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanyalah dalam ilmu-ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf saja.

Memang diakui ketiga-tiga ilmu itulah yang paling banyak ditulisnya, tetapi bukan bererti ilmu-ilmu lain tidak beliau tulis. Beberapa buah kitab mengenai hadis karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga dapat dikesan. Disenaraikan kitab-kitab itu berserta dengan keterangan ringkas mengenainya:

  1. Faraid Fawaidil Fikri fil Imamil Mahdi, disingkat kepada Hadis Imam Mahdi, diselesaikan malam Sabtu, Zulkaedah 1215 H/1800 M. Kitab tersebut merupakan terjemahan dari karya Sheikh Mirghani bin Yusuf. Lafaz hadis tetap dikekalkan dalam teks, sesudah itu diterjemahkan secara langsung ke dalam bahasa Melayu. Kebanyakan yang terkandung di dalamnya ialah hadis-hadis mengenai Imam Mahdi.

Dalam penelitian penulis, ia merupakan karya yang pertama sekali dalam bahasa Melayu yang membicarakan hadis mengenai Imam Mahdi secara lengkap.

  1. Kasyful Ghummah, diselesaikan tahun 1236 H/1822 M. Kitab ini merupakan terjemahan dari Kasyful Ghummahkarya Sheikh Abdul Wahhab asy-Sya’rani. Cetakan pertama kitab ini (1303 H/1885 M) diusahakan dan ditashhih oleh Sheikh Ahmad al-Fathani.
  2. Hikayat Imam, belum dijumpai. Penulis difahamkan oleh beberapa orang tua-tua di Patani bahawa kitab ini merupakan ilmu rijalil hadis. Dengan demikian dipercayai bahawaHikayat Imam ini adalah merupakan kitab yang pertama sekali dan merupakan satu-satunya dalam bahasa Melayu yang membicarakan ilmu rijalil hadis.

Jika kita kaji penulisan mengenai rijal hadis dari zaman dulu hingga sekarang, dilihat ilmu rijal hadis memang agak ketinggalan. Bahkan hingga ke zaman kita belum dijumpai karya Melayu yang khusus tentang itu dalam tulisan Rumi/Latin.

  1. Dalam beberapa buah karyanya yang bercorak fiqh, tauhid dan tasawuf juga banyak membicarakan hadis. Di antaranya pada mukadimahBughyatut Thullabbanyak diperkenalkan hadis, demikian juga dalam Jam’ul Fawaid, dan lain-lain.

Penulisan hadis Sheikh Nawawi Al-Bantani

Nama lengkap ulama yang berasal dari Banten, yang terkenal ini, ialah Sheikh Muhammad Nawawi bin ‘Umar ibnu ‘Arabi bin ‘Ali al-Bantani al-Jawi (lahir 1230 H/1814 M) adalah cucu murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Karya yang dihasilkan demikian banyak semuanya berupa syarah yang ditulis dalam bahasa Arab, yang khas membahas mengenai hadis terdapat dua buah, iaitu: Tanqihul Qaulil Hatsits bi Syarhi Lubabil Hadits, yang disingkat kepada Tanqihul Qaul sahaja dan Nashaihul ‘Ibad Syarhul Munabbihat ‘alal Isti’dad li Yaumil Ma’ad.

Keterangan ringkas mengenai Tanqihul Qaul adalah sebagai yang berikut: Kitab ini adalah merupakan syarah daripada Lubabul Hadits karya Imam Suyuthi. Terdapat dua versi syarah dan dua edisi cetakan yang dilakukan oleh Sheikh Nawawi al-Bantani tersebut, kedua-duanya tanpa menyebut tahun selesai mengerjakan syarah.

Edisi cetakan yang pertama dalam bentuk ukuran kitab tradisional, semua hadis tanpa harakat atau baris. Edisi cetakan yang satu lagi dalam bentuk buku moden, yang semua hadis diberi tanda baris.

Kitab Lubabul Hadits disyarah Sheikh Nawawi al-Bantani dalam bahasa Arab, ada sebuah syarah lagi yang ditulis dalam bahasa Melayu oleh Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani dengan judul Al-Jauharul Mauhub. Kedua-dua ulama itu hidup sezaman di Mekah.

Apabila kita banding kedua-dua syarah yang ditulis ulama yang berasal dari Asia Tenggara itu, kandungannya sangat jauh berbeza. Di antaranya yang sangat ketara ialah pada syarah Sheikh Nawawi al-Bantani, beliau mulai mukadimah lebih menekankan pentingnya “isnad”, oleh itu setiap hadis yang termaktub dalam Lubabul Hadits diberi penilaian menurut kaedah “Musthalah Hadits”. Sedangkan syarah Sheikh Wan Ali Kutan Kelantan lebih mementingkan syarah menuju kepada perbaikan akhlak dan dihubungkaitkan dengan amalan yang dikerjakan sehari-hari.

Ditinjau dari sudut pengajian akademik moden, syarah Sheikh Nawawi Banten lebih dapat diterima, tetapi untuk kepada masyarakat luas tidak sampai pada sasarannya.

Dalam syarah beliau disebut nama-nama perawi hadis, isnadnya ada yang disebut sanad sahih atau sanad daif dan sebagainya. Sedangkan syarah Sheikh Wan Ali Kelantan semuanya itu tidak dibicarakan, jika ada hanya sedikit sekali, namun bukannya beliau tidak mengetahui perkara itu, tetapi sasaran pendidikan dan dakwah tentunya telah dipertimbangkan supaya tepat pada sasarannya.

Oleh itu syarah Sheikh Wan Ali Kutan sangat meluas penyebarannya kerana karya tersebut lebih menyuburkan bagi tarbiyah rohaniah, yang menyentuh ke lubuk hati yang memang digemari oleh setiap insan baik yang khusus mahupun yang umum.

Mengenai Nashaihul ‘Ibad, diselesaikan pada hari Khamis, 21 Safar 1311 H/1893 M, merupakan syarah Munabbihat ‘alal Isti’dad li Yaumil Ma’ad, disingkat Munabbihat ‘alal Isti’dad saja, karya Sheikh Syihabuddin Ahmad ibnu Ali bin Muhammad bin Ahmad asy-Syafie atau lebih popular dengan sebut Sheikh Ibnu Hajar al-Asqalani.

Lebih 250 hadis yang dibahas di dalamnya. Pada mukadimah Sheikh Nawawi al-Bantani menyebut bahawa beliau mengambil tabarruk daripada dua buah hadis yang beliau terima daripada dua orang gurunya.

Hadis yang pertama diijazahkan oleh al-Allamah Sheikh Muhammad al-Khatib asy-Syami (al-Madani) al-Hanbali ibnu Uthman bin Abbas, daripada sheikh-sheikh yang berhubung terus hingga sampai kepada Abi Zar al-Ghifari r.a, daripada Nabi SAW.

Hadis yang kedua diijazahkan oleh al-Allamah Saiyid Ahmad al-Marsafi al-Masri, sesudah diijazahkan oleh Saiyid Abdul Wahhab ibnu Ahmad Farahat asy-Syafie, daripada sheikh-sheikh yang musalsal hingga kepada Abdullah ibnu Amru bin al-As, daripada Nabi SAW.

Jika dibandingkan kedua-dua kitab hadis karya Sheikh Nawawi al-Bantani, Tanqihul Qaul dengan Nashaihul ‘Ibad, maka Nashaihul ‘Ibad lebih banyak dikenal oleh masyarakat seluruh Asia Tenggara kerana banyak diajarkan di pelbagai pondok.

Penulisan Hadis Sheikh Wan Ali Kutan

Sebagaimana di atas telah dibandingkan agak ringkas antara syarah Sheikh Nawawi al-Bantani dengan syarah Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani atas sebuah matan hadis Lubab al-Hadits karya Imam as-Suyuthi. Maka sebagai maklumat tambahan, dirasakan perlu karya beliau disenaraikan juga. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, disingkat Al-Jauharul Mauhub saja, diselesaikan di Mekah, pada malam Selasa, 2 Jumadil Awwal 1306 H/1888 M.

Cetakan awal kitab ini ditashhih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani, terdapat 27 bait puisi beliau dalam bahasa Arab pada cetakan-cetakan mutawal. Selain terdapat cetakan yang tersendiri kitab Al-Jauharul Mauhub karya Sheikh Wan Ali Kutan ini juga dicetak pada semua cetakan Siyarus Salikin yang diletakkan di bahagian tepinya.

Penulisan hadis Sheikh Ahmad Al-Fathani

Umum telah diketahui dalam apa jenis ilmu keislaman yang berkembang di Asia Tenggara, Sheikh Ahmad al-Fathani terlibat selaku penulisnya termasuk juga mengenai hadis. Mengenai hadis terdapat tulisan beliau dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Di antaranya ialah: Bisyaratul ‘Amilin wa Nazaratul Ghafilin, disingkat Bisyaratul ‘Amilin, Hadits Memulakan Makan Dengan Garam Dan Disudahi Dengannya, Hadits-hadits Pilihan, Daftar Rijal Hadits, dan lain-lain yang dimuat dalam Hadiqatul Azhar.

Mengenai Bisyaratul ‘Amilin wa Nazaratul Ghafilin, kitab hadis ini diselesaikan di Mekah, pada malam Ahad, 14 Rabiul Akhir 1304 H/1887 M. Memperhatikan tahun selesai penulisan kitab hadis ini (1304 H/1887 M) bererti lebih dulu daripada karya Sheikh Wan Ali al-Kalantani, iaitu Al-Jauharul Mauhub (1306 H/1888 M) dan karya Sheikh Nawawi al-Bantani, iaitu Nashaihul ‘Ibad (1311 H/1893 M). Namun begitu kedua-dua ulama tersebut adalah sebaya dengan Sheikh Muhammad Zain al-Fathani, ayah Sheikh Ahmad al-Fathani. Bahkan kedua-dua ulama tersebut termasuk dalam senarai guru Sheikh Ahmad al-Fathani juga.

Cetakan pertama kitab ini oleh Matba’ah al- Miriyah Mekah,1304 H/1887 M, kemudian terdapat beberapa edisi cetakan Persama Press, Pulau Pinang. Pada mukadimah Bisyaratul ‘Amilin, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa beliau tinggalkan sanad hadis kerana untuk keringkasan, lagi pula sudah cukup berpegang kepada pengambilan kitab-kitab yang muktamad lagi masyhur.

Kitab-kitab rujukannya disebut pada halaman akhir kitab tersebut, ialah Riyadhus Shalihin karya Imam Nawawi, Al-Jami’us Shaghir dan Lubabul Hadits karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi , Tanbihul Ghafilin dan Qur-ratul ‘Uyun karya Al-Faqih Abi Laits as-Samarqandi , Mukhtasar Tazkirah al- Qurthubi, disingkat Tazkirah al- Qurthubi saja karya Imam Abdul Wahhab asy-Sya’rani dan lain-lain.

Sebagai bukti bahawa Sheikh Ahmad al- Fathani seorang pakar/ahli ilmu-ilmu hadis, terbukti pada jawapan beliau atas pertanyaan hadis yang tersebut dalam Ihya’ ‘Ulumid Din karya Imam al-Ghazali mengenai menggunakan garam dahulu daripada makan dan disudahi dengannya, apakah hadis itu sahih atau tiada sahih.

Sheikh Ahmad al-Fathani menjawabnya dengan huraian yang agak panjang berdasarkan ilmu Mushthalah Hadis dan menyentuh Rijal Hadis. Beberapa nama ulama dan pendapat mereka, serta kitab-kitab mereka beliau sebut.

Nama kitab dan ulama penyusunnya yang beliau sebut di antaranya ialah: Syarah Ihya Ulumid Din karya Saiyid Muhammad al-Huseini az-Zabidi, Kitab al-Maudhu’at karya Ibnu Jauzi, Kitab as-Sya’bi karya Imam Baihaqi, Kitab Taqribit Tahzib karya Ibnu Hajar al-Asqalani, Al-La-ali al-Mashnu’ah karya Imam al-Hafiz as-Suyuthi, Kitab Akhbar Isbahan karya Abu Abdullah bin Mandah, Kitab Al-La-ali al-Marsu’ karya Saiyid Muhammad Abil Mahasin al-Qawaqaji, Asnal Mathalib fi Ahadits, disingkat Asnal Mathalib karya Sheikh Muhammad bin Saiyid Darwisy al-Bairuti, dan lain-lain.

Bahasan hadis oleh Sheikh Ahmad al-Fathani mengenai ini ditulis dalam bahasa Arab kemudian diterjemahkan oleh anak saudaranya Tuan Guru Haji Daud bin Ahmad al-Fathani, Pondok Bukit Rahmah, Tanah Merah, Kelantan. Sebahagian daripada terjemahannya dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah karya Sheikh Ahmad al-Fathani. Pada pandangan penulis bahawa karya hadis yang tersebut cukup tinggi nilai ilmiahnya.

Mengenai Hadis-Hadis Pilihan masih berupa manuskrip, belum pernah diterbitkan. Kandungannya merupakan sekumpulan hadis yang penting untuk dihafal sebagai asas. Ada pun mengenai Rijal Hadits juga masih dalam bentuk manuskrip yang tidak lengkap. Karya ini merupakan catatan Sheikh Ahmad al-Fathani tentang nama seseorang ulama hadis dan ulama-ulama lainnya, dengan catatan nama yang panjang seberapa yang boleh diketahui mulai nama diri hingga ke atasnya.

Dicatatkan juga nama guru mereka seberapa yang boleh diketahui serta lengkap dengan sanad dan tahun lahir serta wafatnya. Sungguhpun catatan beliau ini banyak yang hilang (tidak lengkap), bagi penulis sangat penting sebagai asas dan pedoman, kerana mungkin satu ketika nanti pekerjaan tersebut akan diteruskan.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J6HS0YHL
© Utusan Melayu (M) Bhd


Penulisan Hadits Tokoh Ulama Nusantara

 

TOKOH-tokoh ulama yang dibicarakan ini masih lagi berkisar tentang keterlibatan mereka dalam penulisan ilmu hadis. Sebelumnya, telah diperkenalkan beberapa ulama-ulama Nusantara yang juga menghasilkan penulisan-penulisan sedemikian, antaranya iaitu: Sheikh Abdullah Bin Abdul Mubin al-Fathani, Sheikh Daud Bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Wan Ali Kutan Kelantan, dan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Kesinambungan daripada itu, dibicarakan pula sebahagian lagi tokoh ulama yang juga terlibat dalam penulisan ilmu tersebut. Perlu dijelaskan bahawa sekelian tokoh ulama yang dibicarakan berkaitan penulisan hadis ini pernah diperkenalkan secara khusus sebelumnya. Namun perbicaraan ini pula hanya tertumpu pada penulisan hadis dan perkembangannya.

Penulisan Hadis

lSheikh Ahmad LinggaUlama yang berasal dari Riau-Lingga yang menghasilkan beberapa buah karangan ini nama lengkapnya ialah Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Salah sebuah daripada karangannya ialah mengenai hadis yang diberinya judul Nashihatu Ahlil Wafa ‘ala Washiyatil Mushthafa, yang diselesaikan di Mekah, pada hari Sabtu, 11 Syawal 1312 H/1895 M. Ia merupakan terjemahan wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ali Karamahullahu Wajhah yang pertama dalam bahasa Melayu.

lSheikh Utsman PontianakNama lengkap beliau ialah Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani al-Banjari, merupakan salah seorang ulama yang berasal dari Pontianak, berketurunan ulama Banjar, yang juga menghasilkan beberapa buah karangan.Karangan beliau mengenai hadis ialah Irsyadul ‘Ibad Penjaga Dan Bekal Hari Akhirat, disingkat Irsyadul ‘Ibad, yang diselesaikan tahun 1324 H/1906 M, juga dicetak dalam tahun itu oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah. Kitab tersebut adalah terjemahan daripada kitab Munabbihat ‘alal Isti’dadi li Yaumil Ma’ad karya Sheikh Ibnu Hajar al-‘Asqalani. Irsyadul ‘Ibad merupakan terjemahan secara lengkap kitab tersebut yang dilakukan oleh Sheikh Utsman Pontianak, kitab yang sama pernah diterjemahkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani tetapi hanya dipilih beberapa hadis saja. Pilihan hadis dari kitab Sheikh Ibnu Hajar al-Asqalani oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu dimuat pada beberapa halaman Hadiqatul Azhar. Kitab yang sama juga pernah dibahas oleh Sheikh Nawawi al-Bantani yang diberi judul Nashaihul ‘Ibad yang telah dibicarakan sebelumnya.

lSheikh Mahfuz At-TarmasiUlama yang berasal dari Termas ini menghasilkan beberapa kitab dalam bahasa Arab, karyanya dalam bentuk yang tebal. Nama lengkapnya ialah: Sheikh Muhammad Mahfuz ibnu al-‘Allamah al-Haji Abdullah ibnu al-Allamah al-Haji Abdul Mannan at-Tarmasi. Lahir tahun 1285 H/1868 M di Termas, Jawa Tengah. Dalam karyanya judul Kifayatul Mustafid lima ‘Ala minal Asanid, disingkat Kifayatul Mustafidmembicarakan berbagai-bagai sanad. Pada halaman 10 sehingga halaman 19, khusus membicarakan sanad-sanad ilmu hadis mulai beliau, gurunya, hingga kepada yang lebih atas.Mengenai Al-Jami’ Shahih Bukhari pula, beliau khatam sebanyak empat kali, belajar kepada beberapa ulama dengan sanad yang berbeza-beza. Beliau pelajari hadis tersebut kepada Saiyid Abu Bakar Syatha (1266 H/1849 M-1310 H/1892 M), melalui sanad Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1231 H/1815 M-1304 H/1886 M) hingga sampai kepada Imam Bukhari. Kitab hadis yang sama beliau belajar kepada Saiyid Husein ibnu Saiyid Muhammad al-Habsyi. Saiyid Husein al-Habsyi belajar kepada ayahnya Saiyid Muhammad bin Saiyid Husein al-Habsyi melalui sanad Sheikh Umar bin Abdul Karim bin Abdur Rasul al-Athar hingga sampai kepada Imam Bukhari. Beliau juga belajar kitab Shahih Muslim, Sunan Ibnu Majah, Musnad Imam Abi Hanifah, Musnad Imam Syafi’ie, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, Mukhtasar Abi Jamrah, Asy-Syifa’, Al-Arba’un an-Nawawiyah, Asy-Syamail juga kepada Saiyid Abu Bakar Syatha yang tersebut. Sunan Abi Daud dan Muwaththa’ Imam Malik kepada Saiyid Muhammad Amin Ridhwan al-Madani di Madinah.Sunan Tarmizi dan Sunan Nasai. kepada Sheikh Muhammad Sa’id Babshail, dan lain-lain yang belum disebutkan. Semua penerimaan ilmu hadis itu dibicarakan dengan sanad sampai kepada pengarang sesuatu kitab itu, sanad-sanad itu ada yang sama dan ada yang berbeza-beza pengambilannya. Karya Sheikh Muhammad Mahfuz Termas tentang hadis yang agak besar ialah Manhaj Zawin Nazhar, yang pernah dicetak berkali-kali di Mekah dan Surabaya.

lSheikh Husein KedahUlama keturunan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang berdomisil di Kedah ini tercatat nama pada karya-karyanya ialah Sheikh Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udi al-Banjari al-Qadhi. Nama popular disebut Tuan Husein Kedah. Di antara karya-karyanya yang banyak terdapat sebuah karya hadis yang diberi judul Terjemah Hadis Jawahirul Bukhari. Belum diketahui tahun berapa karya ini beliau selesaikan kerana yang terdapat pada penulis hanya juzuk yang pertama sama. Cetakan pertama oleh Al-Maktabah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, 1350 H. Pada mukadimah, Tuan Husein Kedah menyebut bahawa beliau terjemahkan daripada segala lafaz Hadis Jawahiril Bukhari dan sebahagian daripada Syarh al-Qastalani yang telah disebarkan oleh ulama Mesir moden, iaitu Sheikh al-Allamah Mustafa Muhammad Imarah al-Masriyah daripada kitab Hadiqatul Ahadisil Bukhari, lebih 700 hadis yang sahih sekeliannya. Tuan Husein menyebut judul sebenar terjemahannya itu dengan Tazkir Qabailil Qadhi fi Tarjamatil Bukhari. Hadis-hadis yang dibicarakan di dalam kitab ini sebahagian besarnya adalah sama dengan yang terkandung dalam Mukhthasar Ibnu Abi Jamrah. Terjemahan kitab ini juga terdapat dalam bahasa Melayu yang diusahakan oleh Mustafa Abdur Rahman Mahmud, 1369 H/1950 M yang diberi kata pengantar oleh Sheikh Abdullah Fahim.Walau bagaimanapun, susunan dan model terjemahan kedua-dua kitab tersebut adalah tidak sama. Terjemahan Mustafa Abdur Rahman Mahmud lebih banyak merujuk kepada Hasyiyah ‘ala Mukhtashar Ibnu Abi Jamrah lil Bukhari oleh al-Alim al-Allamah Sheikh Syinwani yang pernah dinobatkan sebagai Sheikhul Islam Universiti Al-Azhar.

lSheikh Utsman Jalaluddin Al-KalantaniUlama yang berasal dari Kelantan ini adalah murid Tok Kenali. Daripada sekian banyak karya beliau, dijumpai juga bahasannya mengenai hadis. Dalam karyanya berjudul Mathali’ul Anwar wa Majami’ul Azhar, disingkat Mathali’ul Anwar. Juzuk yang pertama merupakan bahasan asal-usul ilmu-ilmu keislaman. Mulai halaman 33 pula membahas ilmu-ilmu hadis. Bahasan ini sangat menarik kerana beliau membandingkan dengan aliran mazhab dalam satu segi. Pada segi yang lain beliau membela mazhab fiqh, yang sebenarnya; tokoh-tokoh terutama imam yang empat orang sebagai Mujtahid Muthlaq adalah tidak terlepas daripada keterlibatan mereka daripada sumber al-Quran dan hadis. Syeikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani memulakan penulisan hadisnya dengan memperkenalkan 10 yang dianggap sebagai orang pertama menghimpunkan (menulis) hadis, mereka ialah:- Imam Malik bin Anas di Madinah- Abdullah bin Abdul Aziz bin Juraih di Mekah- Sufyan ats-Tsauri di Kufah- Hammad bin Salamah di Basrah- Sai’id bin Abi ‘Arubah – Husyaim bin Basyir di negeri Wasit- Abdur Rahman Auza’i di Syam- Ma’mar bin Rasyid di Yaman- Abdullah bin al-Mubarak di Khurasan- Jarir bin Abdul Hamid di negeri Raiy

lMenurut beliau, “Dan adalah demikian itu di dalam kurun yang kedua, maka ialah tahun 145H”. Sheikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani, menyebut pula thabaqat ulama hadis sesudah itu dengan kemunculan dua tokoh, iaitu:- Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al- Bukhari, wafat 256 H-Muslim bin al-Hajjaj an-Nisaburi, wafat 261 H.

lSelanjutnya, kata beliau, “… dan mengaranglah seumpamanya empat orang”:- Abu Daud Sulaiman bin Asy’ab Sijistani, wafat 275 H- Abu Isa Muhammad bin Isa as-Sulami, wafat 279 H- Abu Abdullah Muhammad bin Yazid Qazwini (Ibnu Majah), wafat 273 H- Abu Abdur Rahman Ahmad bin Sa’id Nasa’i, wafat 303 H.

lKarya enam orang yang tersebut dikenali dengan Kitabus Sittah (Kitab yang enam). Menurut beliau pula, tidak dapat dinafikan bahawa untuk memastikan sesuatu hadis benar-benar sahih adalah melalui liku-liku yang sangat sukar, kecuali apabila bersungguh-sungguh membuat penelitian terhadapnya. Oleh itu terjadilah perdebatan pada hadis dalam dua perkara:- Adakah hadis itu suatu asal daripada segala asal bagi menjalankan syariat yang dibangsakan kepada Islam, lagi yang menyempurnakan bagi Quran yang mulia.- Apabila kita berkata bahawasanya hadis itu ialah asal, maka apalah jalan bagi kita memegangnya.

lKedua-dua kemusykilan di atas dijawab oleh Sheikh Utsman Jalaluddin bahawa pada kemusykilan yang pertama, “Maka bahawasanya [ada] kaum meninggallah oleh mereka itu akan hadis-hadis sekaliannya dan menyimpan oleh mereka itu di atas Quran jua”. Kemusykilan yang kedua, menurut beliau, bahawa Imam Syafie dalam Al-Umm, suatu bab pada juzuk yang ketujuh akan tanda bagi bab berbantah-bantahan. Dilihat bahawa Sheikh Utsman Jalaluddin tidak sependapat dengan golongan yang tidak mahu menggunakan qias dan istihsan. Ini sangat jelas pada tulisan beliau, “Sungguhnya adalah segala sahabat dan tabien itu apabila tiada mendapat oleh mereka itu akan nas di dalam Quran dan tiada di dalam hadis Nabi SAW nescaya bersandarlah mereka itu kepada barang yang mendengar oleh mereka itu akan dia pada fikiran ijtihad…””Dan sungguhnya segala yang beramal dengan qias dan istihsan itu ialah salaf yang soleh-soleh daripada yang besar-besar daripada segala sahabat seperti Saiyidina Umar pada daur yang pertama, dan Ibnu Abbas pada daur yang kedua, dan Rabi’ah dan Ibrahim Nakha’ie pada tabien. Maka betapalah kaum kami meninggal akan qias dan istihsan? Adakah kaum kami terlebih alim daripada mereka itu?Sebab-sebab Sheikh Utsman Jalaluddin menulis kalimat di atas adalah pada zaman itu mulai hangatnya perselisihan pendapat (khilafiyah) di seluruh Asia Tenggara, maka timbullah istilah “Kaum Tua” dan “Kaum Muda”. Golongan Kaum Tua berpegang kepada salah satu mazhab, terutamanya Mazhab Syafie, sedang Kaum Muda mendakwa hanya berpegang kepada al-Quran dan hadis sahaja. Apabila kita teliti, segolongan besar manusia hanyalah pengakuan saja berdasarkan al-Quran dan hadis, yang sebenarnya hanyalah berpegang dengan kehendak diri sendiri atau nafsu semata-mata. Hanya pengakuan saja berdasarkan al-Quran dan hadis, sedangkan pengetahuan yang menyeluruh mengenai kedua-duanya itu belum dikuasai sepenuhnya. Maka pengakuan demikian adalah satu pembohongan semata-mata atau tertipu dengan diri sendiri. Sangat ramai ulama terdahulu yang pengetahuannya sangat luas dan mendalam termasuk ahli dalam hadis seperti Imam Nawawi, Sheikh Ibnu Hajar dan lain-lain sedangkan mereka tidak juga berlepas daripada mazhab. Oleh itu, semua ulama tradisional Asia Tenggara sungguhpun mereka sangat dalam pengetahuannya tentang hadis, namun mereka tetap berpegang kepada Mazhab Syafie dalam fiqh, Ahlus Sunnah wal Jamaah aliran Sheikh Abu Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi dalam akidah, mengikut ulama-ulama sufi yang muktabar dalam amalan tasawuf dan tarekat.

lSheikh Idris Al-MarbawiUlama yang berasal dari Perak ini, sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah daripada Tok Kenali Kelantan. Karyanya yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, yang judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mukhtashar Shahihit Tarmizi. Karyanya tersebut adalah terjemahan kitab Shahih Tarmizi, serta disyarah oleh Sheikh Idris bin Abdur Rauf al-Marbawi tersebut. Terjemahan Shahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu. Bahrul Mazi adalah merupakan karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilid kitab tersebut pernah dibicarakan sebelum ini dalam perbicaraan yang khusus mengenainya.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J6IFyGPS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Karya Sastera Arab Ulama Melayu

Tulisan Ulama Melayu Dalam Kesusasteraan Arab

oleh Wan Muhd Shoghir

 ba_01.1 syair sy ahmad

SYAIR Syeikh Ahmad al-Fathani untuk Sultan Zainal Abidin III Terengganu.

PERBICARAAN kali ini, penulis cuba memperkenalkan keterlibatan ulama-ulama dunia Melayu dalam kesusasteraan Arab, baik yang dikenal di peringkat antarabangsa mahupun hanya bersifat lokal Asia Tenggara/Tanah Jawi sahaja. Perbicaraan ini juga meliputi sama ada ulama-ulama yang hanya menulis dalam sastera Arab dalam bahasa Arab, mahupun sastera Arab yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu atau terlibat kedua-duanya.

Ulama-ulama silam dunia Melayu memang cukup terkenal dalam berbagai-bagai corak penulisan, namun perbicaraan yang khusus mengenai keterlibatan mereka dalam kesusasteraan Arab adalah kurang dibincangkan.

Sebahagian besar ahli akademik moden berpendapat bahawa ulama-ulama silam dunia Melayu hanyalah terlibat dalam tiga ilmu, iaitu fiqh, tauhid, dan tasauf saja.

Dalam bidang penulisan pula, mereka berpendapat bahawa karya-karya yang dihasilkan oleh ulama-ulama silam dunia Melayu hanyalah bersifat terjemahan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu, hampir-hampir tiada karya yang bercorak kreatif.

Di antara mereka juga ada yang berpendapat bahawa ulama-ulama kita hanya mampu menghasilkan karya dalam bahasa Melayu saja, tidak mampu menghasilkan karya dalam bahasa asli Islam iaitu bahasa Arab.

Semua pandangan yang tersebut adalah tidak benar, kerana sekurang-kurangnya sejak abad ke-16-17 telah dijumpai karya-karya ulama silam kita ditulis dalam bahasa Arab. Di antaranya terdapat karya-karya Sheikh Yusuf Tajul Khalwati al- Mankatsi yang ditulis dalam bahasa Arab.

Namun, perbicaraan ini adalah mengkhususkan mengenai ilmu balaghah (retorika), maka keterlibatan ulama-ulama silam dunia Melayu di bidang lain tidak penulis bicarakan lagi.

Apabila kita membicarakan ilmu balaghah yang tertakluk dengan penggunaan kosa kata ataupun kalimat yang fasih dalam bahasa Arab, yang tidak terbatas hanya dalam bentuk prosa (kalam natsar), tetapi juga dalam bentuk puisi (kalam nazam/syair).

Maka di sini penulis tumpukan pada memperkenalkan puisi ulama-ulama kita. Apabila kita membicarakan nazam atau syair yang semestinya di bawah tajuk ilmu ‘arudh dan qawafi, dibicarakan juga kerana mengingat seseorang ulama yang berkemampuan menggubah puisi yang indah tentunya terlebih dulu menguasai ilmu balaghah dan ilmu-ilmu lain yang tertakluk di bawahnya.

Senarai Nama Ulama/Tokoh Dunia Melayu yang telah ditemui puisi dalam Bahasa Arab dan keterangan-keterangan mengenainya.

Sebelum memperkenalkan corak dan gaya bahasa puisi ulama-ulama dunia Melayu yang ditulis dalam bahasa Arab, terlebih dulu penulis senaraikan sebahagian nama mereka yang ditemui puisinya dalam bahasa Arab, iaitu:

  1. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani

Maklumat peninggalan puisi Arab yang digubah oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani hanya disebut oleh Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, yang dinamakan puisi itu dengan judul Puisi Kemenangan Kedah. Menurutnya bahawa ketika kemenangan Kedah berperang melawan Siam, pada ketika itulah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani menggubah puisi tersebut dalam bahasa Arab.

Puisi tersebut tersimpan di Muzium Negeri Kedah. Penulis telah melihat puisi tersebut di muzium itu yang ditulis di atas kain sutera dalam ukuran lebar dan memanjang dari atas ke bawah pada sekitar tahun 1992.

Setakat ini, karya-karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani yang telah dijumpai selain yang tersebut itu ditulis dalam bahasa Melayu bentuk prosa, tidak bentuk puisi.

  1. Sheikh Nawawi al-Bantani

Ulama dunia Melayu yang digelar oleh Sheikh Ahmad al-Fatani dalam seuntai syair Arabnya dengan Imam Nawawi ats-Tsani ini memang banyak menghasilkan karya dalam bahasa Arab bentuk prosa, hanya beberapa tempat dalam karyanya terdapat gubahan puisinya.

Sebagai bukti bahawa Sheikh Nawawi al-Bantani termasuk seorang yang tabahhur dalam kesusasteraan Arab, terdapat beberapa buah karya beliau berupa syarah dari karya-karya genre sastera Arab yang terkenal. Di antaranya yang ada dalam koleksi penulis ialah:

  1. i)Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumah as-Saiyid al-Barzanji Zainal ‘Abidin fi Maulid Saiyidil Awwalin wal Akhirin,karya ini diselesaikan pada akhir Zuhur, Jumaat 13 Jamadilakhir 1284 H/1867 M. Berdasarkan pengakuan beliau bahawa empat bait nazam Bahar al-Kamil mengenai ibu susuan Nabi S.A.W, pada halaman 20 kitab tersebut adalah digubah oleh beliau sendiri.
  2. ii) Bughyatul ‘Awam fi Syarhi Maulid Saiyidil Anam, diselesaikan pada hari Sabtu, waktu Zuhur, tanggal 17 Safar 1294 H/1877 M. Pada muqaddimahnya, Sheikh Nawawi al-Bantani menyebut bahawa sewaktu beliau menulis Syarah al-Maulid yang dibangsakan kepada Ibnu al-Jauzi, beliau telah mengumpulkan banyak naskhah mengenai itu.

Di antaranya dinyatakan bahawa Sheikh ‘Abdul Wahhab al-‘Arqasusi mempunyai beberapa kelebihan dan kelainan-kelainan yang ada dalam dirinya. Lalu beliau syarahkan pula, iaitulah yang diberi nama dengan judul karya tersebut.

iii). Al-Ibrizud Dani fi Maulidi Saiyidil Adnani yang diringkaskan dari karya Sheikh Ibnu Hajar al-‘As-qalani.

Mengenai karya ini, Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah puisi 12 bait, diangkatnya nama Sheikh Nawawi al-Bantani, selain Nawawi ats-Tsani disebutnya pula sebagai ‘Imam Umat Tanah Jawa’, pada pengertian yang sempit, atau ‘Imam Tanah Jawi/Dunia Melayu’ pada pengertiannya yang luas. Puisi lengkapnya dapat dirujuk buku penulis berjudul Al-‘Allamah Syeikh Ahmad Al- Fathani‘ (1992) pada halaman 156-157.

  1. Sheikh Abdul Haq bin Abdul Mannan al-Bantani

Beliau adalah cucu Sheikh Nawawi al-Bantani. Karya beliau yang telah dijumpai dua buah. Sebuah ditulis dalam bentuk puisi dengan judul Ar-Risalatul Manzhumatu fin Nahwi, 258 bait, yang dicetak di bahagian akhir karyanya mengenai ilmu ushul fiqh.

  1. Sheikh Ahmad al-Fathani

Sheikh Ahmad al-Fathani adalah ulama yang terbanyak menghasilkan puisi jika dibandingkan dengan semua ulama yang terdapat dalam senarai. Mengenai Sheikh Ahmad al-Fathani dalam menghasilkan puisi ini pernah dibicarakan secara khusus dalam ruangan ini sebelumnya.

Walau bagaimanapun, di sini perlu penulis sentuh dengan ringkas perkembangan hasil dari Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu IV, pada 14-16 Ogos 1995. Dalam seminar tersebut, penulis menyentuh mengenai keterlibatan beliau dalam kesusasteraan dunia Melayu dengan agak panjang, tetapi hanya sedikit mengenai keterlibatan beliau dalam kesusasteraan Arab.

Salah satu penemuan baru tentang ‘Teori Sastera Islam’ yang dinamakan Teori Takmilah, pernah dikemukakan oleh Shafie Abu Bakar dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu III, pada 5-8 September 1993, telah menggunakan Hadiqatul Azhar karya Sheikh Ahmad al-Fathani sebagai contoh. ‘Teori Takmilah Shafie Abu Bakar’ sebagai Teori Sastera Islam untuk Kesusasteraan Melayu-Islam nampaknya diterima oleh semua sarjana sastera Melayu.

Hal ini penulis dengar sendiri dari ucapan beberapa orang tokoh terkenal, di antaranya ialah Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad, Prof. Madya Mana Sikana, dan lain-lain dalam perbahasan dalam seminar ke IV tersebut. Dengan demikian, ini bermakna semakin bertambah dalam memperkenalkan nama Sheikh Ahmad al-Fathani, dan secara tidak langsung mengangkat nama Shafie Abu Bakar sebagai pencipta Teori Takmilah yang perlu disokong.

  1. Sheikh Abdul Hamid Kudus

Nama lengkap beliau adalah Sheikh Abdul Hamid bin Sheikh Muhammad Ali bin Abdul Qadir al-Khatib. Beberapa lapis datuk neneknya adalah ulama-ulama yang berasal dari Kudus, Jawa. Beliau mengajar di Masjid al-Haram Mekah dan pada riwayat yang lain dikatakan pernah menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafie di Masjid al-Haram tersebut.

Sheikh Abdul Hamid Kudus telah menghasilkan beberapa buah karya dalam bahasa Arab. Namun, hanya sebuah karya mengenai sastera Arab ialah Fathul Jalil al-Kafi bi Mutammimati Matnil Kafi fi ‘Ilmiyil ‘Arudh wal Qawafi, diselesaikan Rabiulawal 1325 H.

Kitab ini ditashih oleh Muhammad az-Zahri al-Ghamrawi. Kitab beliau mengenai ilmu ‘Arudh dan Qawafi itu telah dipuji oleh beberapa orang gurunya. Di antaranya adalah ulama balaghah Mekah yang terkenal pada zamannya. Mereka ialah: Saiyid Ahmad al-Husaini asy-Syafie, Sheikh Muhammad Musa al-Bujairimi asy-Syafi’ie (Al-Azhar), Sheikh Muhammad Halaby asy-Syafie (Al-Azhar), Sheikh Ahmad ad-Dalbasyani al-Hanafi (Al-Azhar) dan al-‘Allamah an-Natsir an-Nazhim zul Fadhlir Ra’yi asy-Sheikh Qasim al-Azhari al-‘Arabi.

  1. Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif (Tok Kelaba) al-Fatani

Maklumat mengenai tokoh ini pertama sekali penulis perkenalkan dalam majalah Dakwah, dan selanjutnya ditinjau dari segi makhthuthat (manuskrip) dan bentuk-bentuk syair-syair/nazam-nazam dalam bahasa Melayu yang meniru gaya syair/nazam Arab dimuat dalam Jurnal Filologi Melayu (jilid 2, 1993:42-60).

Selain kebolehan beliau dalam menggubah untaian genre syair/nazam dalam bahasa Melayu yang indah, Tok Kelaba juga berkebolehan menggubah puisi dalam bahasa Arab.

Asas mengenai ilmu tersebut dipelajarinya pertama sekali kepada Sheikh Abdul Qadir bin Musthafa al-Fathani di Pondok Bendang Daya, Patani. Kemudian mendalami pelbagai ilmu termasuk ilmu kesusasteraan Arab kepada anak saudara gurunya itu, iaitu Sheikh Ahmad al-Fathani.

Puisi-puisi Arabnya masih dalam bentuk makhthuthat ada dalam simpanan penulis. Pada halaman-halaman bahagian akhir dalam karyanya berjudul Hadaiqus Shalawat fil Khalawat wal Jalawat, beliau mengemukakan berbagai-bagai bentuk puisi Arab yang beliau sebut setiap contoh itu dengan nama baharnya sekali. Semua puisi Arab ditulis dalam bahasa Arab dan beliau terjemahkan dalam bahasa Melayu dengan gaya bahasa Melayu klasik yang balaghah dan fashahah.

Puisi-puisi Arab yang digubah oleh pemuisi/penyair Arab yang terkenal beliau salin, juga beberapa buah puisi gubahan Sheikh Ahmad al-Fathani terdapat dalam karyanya itu.

  1. Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani

Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani adalah antara ulama yang pernah mengajar di Masjid al-Haram (Mekah), Madrasah Shaulatiyah (Mekah), Madrasah Tahtul Yaman, Jambi, dan Sheikh al-Islam Selangor ini memang terkenal ketabahhurannya dalam ilmu- ilmu Arabiyah, baik di kalangan ulama dunia Melayu mahupun ulama Mekah pada zamannya. Beliau berkebolehan menggubah puisi Arab dan sekaligus juga mengarang kitab tentang perbahasan ilmu itu dalam bahasa Arab.

Salah sebuah karya Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani mengenai ilmu isti’arah adalah merupakan syarah karya gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani. Karya Tengku Mahmud Zuhdi itu ialah diberi judul Syarh Tadrijis Shibyan ila Tasywiqil Bayan, diselesaikan pada hari Jumaat, 1332 H/1913 M. Pada cetakan kitab ini terdapat puji-pujian guru beliau, Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi.

Di antara gubahan puisi (10 bait) Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani yang telah ditemui termaktub pada bahagian akhir karya beliau berjudul Tsimarul Khuthub al-Mahbarah al-Minbariyah.

Penutup

Masih terdapat beberapa ulama yang tidak dapat untuk dibicarakan sekaligus dalam ruangan yang terbatas ini, iaitu Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, Haji Abdullah Fahim, Sheikh Wan Ibrahim (Pak Cu Him) al-Fathani al-Qadhi dan Sheikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani.

Oleh itu, perbicaraan ini dilanjutkan pada ruangan seterusnya dengan diperkenalkan juga tokoh-tokoh kesusasteraan Arab dalam dunia Melayu Moden.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J6FjWOKx
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tulisan Ulama Melayu Dalam Kesusasteraan Arab

oleh Wan Muhd Shoghir

PADA ruangan lepas dibicarakan beberapa ulama yang terlibat dalam penulisan kesusasteraan Arab, iaitu Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Haq al-Bantani, Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Abdul Hamid Kudus (Jawa), Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fathani dan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani.

Disebabkan batasan ruangan ini, beberapa nama ulama yang terkenal itu tidak dapat dibicarakan sekali gus.

Kesinambungan daripada itu, maka diperkenalkan pula ulama lain yang juga popular dalam memartabatkan kesusasteraan Arab di dunia Alam Melayu khususnya. Bahkan penulis turut menyentuh beberapa tokoh Islam zaman moden kini yang juga tidak kurang hebatnya dalam bidang kesusasteraan Arab ini.

Keseluruhan ulama tradisional yang dibicarakan ini pernah disentuh penulis, khususnya yang meliputi riwayat hidup, karya-karya yang dihasilkan dan beberapa maklumat-maklumat yang diperoleh.

Perbincangan ini pula hanya mengkhususkan keterlibatan mereka dalam penulisan kesusasteraan Arab. Oleh itu, untuk mengetahui secara terperinci ulama-ulama tersebut, dapat dirujuk melalui ruangan-ruangan sebelumnya.

Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi

Ulama yang berasal dari Minangkabau ini, mengukir populariti tersendiri. Riwayatnya yang panjang dimulai di Mekah, Mesir, Minangkabau hingga akhirnya meninggal dunia di Semenanjung. Beliau adalah bapa Tan Sri Hamdan, iaitu bekas Ketua Negeri Pulau Pinang suatu masa dahulu.

Tidak banyak puisi beliau yang telah dijumpai baik dalam bahasa Arab atau pun bahasa Melayu. Berdasarkan maklumat yang ada, diketahui beliau berkemampuan menggubah puisi dalam bahasa Arab dan Melayu.

Di antara puisi Sheikh Tahir Jalaluddin Minangkabau dalam bahasa Melayu (22 bait) dan bahasa Arab (12 bait) yang dijumpai termaktub pada bahagian akhir kitab Al-Manhajul Masy-ru’ karya Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau.

Haji Abdullah Fahim

Mufti Pulau Pinang ini adalah salah seorang ulama Semenanjung Melayu yang terkenal pada zamannya. Beliau adalah datuk kepada Perdana Menteri Malaysia kini iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Puisi-puisinya yang ditulis dalam bahasa Arab disiarkan dalam beberapa buku karangan beberapa ulama atau tokoh Islam yang berasal dari bahagian utara pantai barat Semenanjung Melayu pada zaman silam.

Maklumat yang ada pada penulis diriwayatkan bahawa Haji Abdullah Fahim, Sheikh Muhammad Nur al-Fathani dan Tengku Muhammad Zuhdi al-Fathani. Ketiga-tiganya mendalami ilmu sastera Arab daripada Sheikh Ahmad al-Fathani. Daripada sekian ramai murid Sheikh Ahmad al-Fathani, dikatakan bahawa mereka bertiga adalah yang paling berbakat dan paling mahir ilmu sastera Arab.

Sheikh Wan Ibrahim al-Fathani al-Qadhi

Dua orang anak Sheikh Abdul Qadir Bendang Daya al-Fathani cukup masyhur bagi masyarakat Melayu, baik di Mekah mahupun seluruh dunia Melayu.

Kedua-dua beliau ialah Sheikh Wan Ismail al-Fathani atau lebih dikenal dengan sebutan Pak De El al-Fathani. Adik beliau ialah Sheikh Wan Ibrahim al-Fathani atau lebih dikenali dengan sebutan Pak Cu Him Gajah Mati.

Sungguhpun Pak De El al-Fathani seorang ulama besar, namun puisinya dalam bahasa Arab ataupun Melayu tidaklah begitu banyak jika dibandingkan dengan adiknya, Pak Cu Him Gajah Mati. Kedua adik-beradik itu adalah sepupu Sheikh Ahmad al-Fathani.

Kepakaran Pak Cu Him menggubah syair dalam bahasa Arab sangat dikagumi sesama golongan ulama di Kedah pada zamannya. Ini kerana beliau boleh mencipta sesuatu syair Arab sambil duduk dalam kereta tanpa menggunakan waktu yang panjang atau lama untuk berfikir.

Menurut riwayat bahawa pada zaman itu memang tidak ditemui ulama di Semenanjung Melayu dan Patani yang berkebolehan menggubah syair Arab dengan cara itu. Tetapi yang berkemampuan berbuat demikian untuk syair bahasa Melayu di Kedah terdapat seorang ulama sahaja, beliau ialah Haji Abdur Rahman Merbok.

Beberapa syair/nazam Pak Cu Him yang sempat dicetak terdapat beberapa tempat, di antaranya ialah dalam karya Fathul Jalil wa Syifaul Ghalil yang diselit-selitkan di perantaraan kalimat-kalimat biasa.

Dalam sebuah risalah judul Riyadhul ‘Abidin karya muridnya Haji Wan Muhammad Yusuf ibnu Wan Husein al-Fathani, terdapat 15 bait syair Pak Cu Him pada halaman terakhir. Seberkas tulisan tangan (makhthuthat) Pak Cu Him yang berupa syair-syair Arab dapat dikumpulkan dan menjadi koleksi simpanan penulis.

Sebagai bukti beliau memang sangat tabahhur menggubah syair Arab, bahawa terjadi dalam keadaan sakit (berada di hospital) menjelang kewafatan beliau masih sempat menggubah syair berupa wasiat. Syair wasiat itu diserahkan kepada muridnya Haji Hasan Sik. Waris Haji Hasan Sik, lalu beliau menyerahkan pula syair wasiat itu kepada seorang anak Pak Cu Him bernama Wan Salehuddin dan penulis sekitar tahun 1990.

Sheikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani

Terdapat beberapa orang murid daripada sekian ramai murid Tok Kenali yang terkenal dan paling menonjol dalam kecemerlangan ilmu pengetahuan, termasuk salah seorang ialah Sheikh Utsman Jalaluddin.

Sheikh Utsman Jalaluddin mempunyai wawasan dan karakter perjuangan keilmuan tersendiri, selain membuka pengajian pondok di Penanti. Beliau juga menghasilkan karangan dengan model dan gaya cipta tersendiri.

Puisi-puisinya disiarkan pada halaman-halaman muka karyanya, ialah; 7 bait pada Mathali’ul Anwar wa Majami’ul Azhar, juzuk yang pertama. Pada karyanya Anwarul Huda wa Amtharun Nada, juzuk yang pertama terdapat tiga jenis puisi. Yang pertama terdiri daripada 4 bait, sesudah itu diceraikan dengan kalimat-kalimat bahasa Melayu terdapat 7 bait, pada halaman 2 hingga 3 terdapat puisi yang panjang terdiri daripada 29 bait. Puisi yang 7 bait dan 29 bait selain teks Arabnya diterjemahkan juga oleh Sheikh Utsman Jalaluddin sendiri.

Pada karyanya berjudul Asy-Syarhul Kabir, terdapat puisi-puisi 10 bait pada halaman depan, disambung dengan 8 bait, dan 3 bait pada halaman terakhir. Karya ini diselesaikan pada Sabtu, 16 Syaaban 1358 H/30 September 1939 M.

Memperhatikan perkara-perkara tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa Sheikh Utsman Jalaluddin berusaha memperkenalkan kesusasteraan Arab melalui karya-karyanya itu kepada masyarakat Melayu.

Kesusasteraan Arab dunia Melayu moden

Semua ulama yang penulis sebutkan di atas dan sebelumnya adalah dianggap sebagai ulama tradisional dunia Melayu, jika mereka melakukan penulisan dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Melayu/Jawi.

Pada waktu menjelang kemerdekaan Indonesia, penulisan Islam mulai bertukar dengan bentuk latin/rumi, yang disebut sebagai zaman moden. Ini kerana sistem pendidikan mulai berubah, maka hafalan kalimat-kalimat Arab berbentuk nazam atau syair mulai menurun.

Jika kita bandingkan dengan zaman tradisional, semua pengetahuan agama Islam adalah dihafal dalam bentuk matan. Matan-matan tersebut hampir semuanya dalam bentuk nazam atau syair. Setiap matan terdiri dari beratus-ratus bait, hingga 1,000 bait, bahkan ada yang lebih panjang daripada itu.

Sistem pengajian moden tidak menekankan hafalan matan seperti zaman tradisional seperti yang dialami oleh ulama-ulama dunia Melayu yang tersebut.

Oleh itu mahu tidak mahu kita mengakui bahawa ilmu kesusasteraan Arab turun menjunam, hampir-hampir tidak dikenali lagi oleh pelajar-pelajar Islam yang memasuki pendidikan Islam secara moden.

Baik di Indonesia mahupun Malaysia, tidak banyak buku yang dihasilkan yang khusus membahas kesusasteraan Arab dalam bentuk tulisan Latin/Rumi jika kita bandingkan dengan bentuk tulisan Melayu/Jawi. Namun sebagai pelengkap beberapa buah buku kesusasteraan Arab yang ditulis dalam tulisan Latin/Rumi, penulis singgung juga di sini, ialah:

Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H

Tokoh terpelajar yang mendapat pendidikan sepadu tradisional dan moden ini dulunya adalah seorang pensyarah universiti di Jawa Tengah, Indonesia.

Beliau menghasilkan banyak karya, mengenai sastera Arab ialah: Sajak-sajak Burdah Al-Imam Muchammad Al-Bushiriy. Menurut penelitian penulis, buku tersebut adalah yang pertama membicarakan Burdah al-Bushiri dalam bahasa Melayu/Indonesia yang terlengkap, terjemahan dari Arab ke Melayu/Indonesia, membahas pelbagai aspek secara ilmiah akademik dalam konteks gabungan antara dunia klasik dan moden dan lain-lain.

Bahkan penulis berpendapat ia merupakan buku pertama seumpamanya yang ditulis dalam bahasa Indonesia.

Perlu dicatatkan di sini bahawa karya Burdah al-Bushiri ini bukan bererti yang pertama diperkenalkan dalam bahasa Melayu, kerana jauh sebelum ini diperkenalkan oleh ulama tradisional, iaitu Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani dengan judul Majmu’ul Qashaid wal ‘Awaid (1320 H/1902 M).

Prof. Madya Osman Bin Haji Khalid

Pada masa penulis sedang kebingungan mencari buku kesusasteraan Arab dalam bahasa Melayu moden setelah karya Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H tersebut di atas, tiba-tiba di sebuah kedai buku di Alor Setar, Kedah sekitar tahun 1989 penulis hanya menjumpai sebuah buku judul Kajian Teks Pilihan Kesusasteraan Arab oleh Osman Bin Haji Khalid.

Buku tersebut bukan berupa cetakan tetapi berupa salinan fotokopi, walaupun di bawahnya terdapat nama Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku tersebut diselesaikan di Kampung Teras Jernang Kajang, Selangor, Rabiulawal 1408 H/November 1987 M.

Bagi penulis, buku yang dihasilkan oleh Ustaz Prof. Madya Osman bin Haji Khalid yang penulis miliki itu tidak kalah pentingnya dengan buku Dr. Moh. Tolchah Mansoer, S.H tersebut.

Setelah penulis semak, mukadimah buku Ustaz Prof. Madya Osman Bin Khalid ternyata beliau telah menghasilkan beberapa buah buku lain mengenai kesusasteraan Arab, ialah: Kesusasteraan Arab Dalam Zaman Permulaan Islam dan Kesusasteraan Arab Di Zaman Abbasiah, Andalus dan Zaman Moden.

Prof. Dr. Haji Muhammad Bukhari Lubis

Karya beliau lebih dulu penulis kenal sekitar tahun 1988 daripada jati dirinya. Karya yang dimaksudkan ialah Pujangga Arab, cetakan pertama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987.

Sepatah kata ditulis pada November 1982 M/Safar 1403 H. Empat tahun setelah buku tersebut penulis miliki (1991), tiba-tiba penulis berjumpa beliau membawa buku penulis berjudul Khazanah Karya di Perpustakaan Negara Malaysia.

Mulai saat itu, terjalin kemesraan dengan beliau kerana sering bertemu dalam pelbagai seminar yang diadakan di Kuala Lumpur dan tempat-tempat lainnya. Sebuah lagi buku sastera Arab karya beliau ialah Pancasuara: Himpunan Sajak Arab Klasik dan Moden (Ramadan 1401 H/Julai 1981 M).

Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam M.A

Pada 1989, Persatuan Ulama Kedah meminta penulis membentang kertas kerja mengenai susur galur ulama Banjar dengan Kedah. Ketika itu juga penulis mulai berkenalan dengan Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam.

Beliau mengemukakan kekagumannya terhadap sebuah puisi gubahan Sheikh Ahmad al-Fathani yang termaktub pada kitab Sabilul Muhtadin karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Secara diam-diam beliau telah menterjemah puisi Sheikh Ahmad al-Fathani itu.

Penghujung tahun 1993, Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam juga pernah diminta membentang kertas kerja dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Islam Sedunia di Bangladesh.

Beliau menulis kertas kerja dalam bahasa Arab dengan memperkenalkan dua puisi Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu puisi Sheikh Ahmad al-Fathani ketika belajar di Mesir dan puisi yang ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.

Puisi-puisi tersebut telah diterjemahkan oleh Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam ke dalam bahasa Melayu, selain puisi Sheikh Ahmad al-Fathani yang termaktub dalam karya Sheikh Nawawi al-Bantani. Beliau yang berasal dari Banjar itu memperoleh pengajian sastera Arab ialah di Nadwah, India.

PENUTUP

Penulis berkesimpulan bahawa di tengah-tengah kelangkaan ilmu balaghah (retorika) dalam masyarakat Melayu masa kini, secara nyata ataupun tersorok-sorok barangkali masih ada ahli atau pakarnya.

Penulis berpendapat bahawa ilmu yang dipusakai dari zaman pengajian Islam tradisional itu tidak akan pupus hingga zaman moden ini apabila beberapa tokoh yang memahami ilmu tersebut berjuang bersungguh-sungguh menghidupkannya.

Oleh itu, kita mesti tambah giat mengumpulkan tenaga pakar untuk menghidupkannya supaya ilmu yang masih tersorok dan diketepikan menjadi bertambah jelas demi memperlihatkan ketinggian dan keagungan ilmu pengetahuan Islam.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J6GOIGkh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Manuskrip Islam Ulama Melayu

Manuskrip Islam Dunia Melayu

 

KEBANYAKAN ulama Asia Tenggara di antaranya ada yang berperanan atau berpengaruh bukan untuk peringkat Asia Tenggara atau dunia Melayu saja, tetapi juga berperanan di peringkat antarabangsa.

Mengenai ini dapat kita bicarakan bahawa sangat ramai yang diberikan kelayakan mengajar di Masjidil Haram, Mekah, mengarang dalam bahasa Arab, menjadi imam dan khatib di Masjidil Haram, Mekah dan pemikiran yang dapat digunapakai oleh masyarakat Islam antarabangsa.

Nama mereka tetap masih diketahui oleh masyarakat Islam di seluruh Asia Tenggara kerana karya-karya mereka adalah merupakan kitab-kitab ‘turas Islami’ yang masih diajar. Mereka adalah penyambungan sanad/salasilah pengajian Islam tradisional Asia Tenggara.

Sebelum ini terdapat banyak siri-siri mengenai ulama Asia Tenggara yang telah penulis perkenalkan. Berdasarkan siri-siri ulama tersebut, maka dibahagikan pula kesemuanya kepada beberapa peringkat dengan berdasarkan karya-karya yang dihasilkan oleh mereka. Oleh itu, secara tidak langsungnya artikel pada kali ini merupakan kesimpulan siri-siri ulama yang pernah dikeluarkan, yang dilihat melalui penulisan-penulisan manuskrip.

Berdasarkan penyelidikan, penulisan meletakkan 10 peringkat perjuangan penulisan Islam oleh ulama Asia Tenggara. Namun penulis perkecilkan menjadi tiga kelompok ulama yang paling terkenal, ialah:

  1. i) Kelompok yang terdiri daripada senarai nama: Sheikh Hamzah al-Fansuri, Sheikh Syamsuddin Sumatra-i, Sheikh Nuruddin ar-Raniri, dan Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, semuanya di Aceh. Sheikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi (Bugis), Sheikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu, dan Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, dan ramai lagi.
  2. ii) Kelompok yang terdiri daripada senarai nama: Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi dan Sheikh Ahmad Khatib as-Sambasi, dan ramai lagi.

iii) Kelompok yang terdiri daripada senarai nama: Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Sheikh Ahmad bin Abdul Latif al-Minkabawi dan Sheikh Muhammad Muktar bin ‘Atarid Bogor, dan ramai lagi.

Peringkat penulisan ulama/tokoh Islam dunia Melayu

Penulisan Islam yang dilakukan oleh tokoh-tokoh ulama dunia Melayu adalah serentak dengan kedatangan Islam di rantau ini. Tahun berapa dan siapa sebagai pelaku pertama dalam penulisan yang berasal dari dunia Melayu sampai sekarang belum diketahui secara pasti.

Apa yang jelas terdapat batu bertulis yang dijumpai di Terengganu dan prasasti-prasasti di kubur-kubur yang dijumpai di pelbagai tempat di dunia Melayu yang membentang dari Cam (dalam Kemboja) hingga kepulauan Indonesia.

Mengenai batu bertulis dan prasasti tidak perlu dibicarakan di sini kerana sudah cukup banyak diketahui dan dibicarakan oleh para pengkaji lain. Artikel ini hanya cuba memperkenalkan pelbagai peringkat/tahap penulisan Islam dunia Melayu yang berupa risalah dan kitab saja, merupakan hasil penelitian yang penulis lakukan memakan masa yang agak lama. Untuk hal yang tersebut dihuraikan sebagai yang berikut:

Peringkat Pertama

Sebuah manuskrip dalam bahasa Arab berjudul Bahr al-Lahut karya Sheikh Abdullah Arif ada dalam simpanan penulis, manuskrip tersebut berasal dari peninggalan Sheikh Yusuf Tajul Mankatsi (Tajul Khalwati) yang berasal dari Makasar. Dipercayai manuskrip itu adalah salinan ulama Bugis yang meninggal di Afrika Selatan yang cukup terkenal itu.

Walaupun dalam manuskrip yang tersebut tidak disebut tahun berapa selesai penulisannya, namun disebabkan maklumat mengenai Sheikh Abdullah Arif dalam Seminar Masuk dan Berkembangnya Islam di Sumatera Utara pada tahun l960an ada dibicarakan tentang Sheikh Abdullah Arif (1177 M) di Aceh, tahun 1177 M, bererti memberikan maklumat bahawa risalah Bahr al-Lahut ditulis lebih dulu dari tahun 1177 M itu.

Dalam penyelidikan penulis, ternyata Sheikh Abdullah Arif berada di Aceh sekitar tahun 560 H/1165 M. Bererti penulisan dilakukan dalam lingkungan tahun 560 H/1165 M – 1177 M.

Terakhir sekali pada 30 Mei 1995, penulis terbaca pula kedatangannya pada tahun 506 M (1111 M), yang disebut oleh Dr. Azyumardi Azra dalam buku Jaringan Ulama (1994:29-30) dengan menyebut rujukan R.H. Djajadiningrat, Kesultanan Aceh, terjemahan T. Hamid, Banda Aceh: Depertemen P & K, 1982.

Selain risalah Bahr al-Lahut dalam bahasa Arab itu, terdapat lagi risalah Bahr al-Lahut terjemahan dalam bahasa Melayu. Dipercayai terjemahan Bahr al-Lahut karya Sheikh Abdullah Arif dalam bahasa Melayu tersebut telah ada dalam zaman kebesaran kesultanan Melayu-Melaka lagi.

Naskhah terjemahan telah dijumpai beberapa buah, di antaranya tersimpan dalam koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMM-PNM)

Peringkat Kedua

Berdasarkan maklumat pada peringkat pertama tersebut bahawa penulisan berupa risalah atau kitab keislaman dunia Melayu telah dilakukan pada abad ke 12 Masihi (dinyatakan sebagai Peringkat Pertama berdasarkan penulisnya Sheikh Abdullah Arif berada di Aceh sekitar tahun 505 H/1111 M hingga tahun 1177 M).

Barangkali sejak kemunculan Bahr al-Lahut, penulisan berjalan terus, tetapi judul karya dunia Melayu pada abad ke l2 hingga abad ke l4 selama lebih kurang 300 tahun belum dikenal pasti. Maka Peringkat Kedua dimulai abad ke l5-l6, judul karya yang dapat dikesan ialah Sia-sia Berguna dan Tarikh Fathani. Kedua-duanya adalah karya Sheikh Shafiyuddin al-Abbasi al-Fathani.

Kandungan kitab Sia-Sia Berguna membicarakan ilmu perubatan yang ditulis dalam bahasa Melayu. Tarikh Fathani pula membicarakan sejarah beberapa kerajaan Melayu yang dimulai perbicaraannya dengan kerajaan Langkasuka.

Karya tersebut ditulis dalam bahasa Arab. Sungguhpun judulnya dapat diketahui, namun manuskrip mengenainya hingga sekarang belum dijumpai.

Perlu penulis nyatakan di sini bahawa berdasarkan sebuah salasilah keturunan Sheikh Shafiyuddin disebutkan bahawa beliau telah sampai di satu tempat di Paya Patani pada tahun l400 M. Atas keberhasilannya menyebarkan agama Islam di Patani lalu beliau memperoleh gelaran Tok Raja Faqih. Kubur beliau terdapat di Kampung Sungai Pandan, Patani.

Peringkat Ketiga

Peringkat ketiga ini memasuki era abad ke l6-l7 M, dijumpai manuskrip-manuskrip karya ulama-ulama Patani, Kedah dan Aceh. Karya yang berasal dari ulama Patani ialah Tarikh Fathani karya Sheikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Abbasi al-Fathani. Beliau adalah cucu Sheikh Shafiyuddin/Dato’ Sri Raja Faqih, penyusun Tarikh Fathani dalam bahasa Arab yang telah disebut pada peringkat kedua.

Ada pun Tarikh Fathani/dalam bahasa Melayu karya Sheikh Faqih Ali adalah merupakan terjemahan Tarikh Fathani karya Sheikh Shafiyuddin yang di dalam bahasa Arab itu, tetapi menurut keterangan Sheikh Faqih Ali al-Fathani sendiri bahawa beliau telah membuat tambahan-tambahan yang banyak.

Tarikh Fathani karya Sheikh Faqih Ali al-Fathani manuskrip aslinya tidak dijumpai lagi, yang dijumpai hanyalah merupakan salinan yang dilakukan oleh seorang ulama terkenal. Beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Penyalinan diselesaikan pada tahun 1228 H/1813 M.

Karya ulama Patani yang lain dalam peringkat ketiga ini ialah karya Faqih Wan Musa al-Fathani. Karya beliau Ilmu Manthiq dan Ilmu Sharaf diselesaikan pada tahun 1002 H/l593 M, kedua-duanya ditulis dalam bahasa Arab, tetapi pada beberapa halaman terdapat catatan-catatan yang ditulis dalam bahasa Melayu. Manuskrip asli karya beliau yang tersebut ada dalam simpanan penulis.

Antara karya Faqih Wan Musa yang lainnya ialah berjudul As-Shawab fil Bayan, tahun selesai penulisan tidak diketahui. Manuskripnya tidak ditemui, maklumatnya diketahui hanyalah berdasarkan karya Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, iaitu seorang ulama Patani yang muncul agak kemudian daripada Sheikh Faqih Wan Musa al-Fathani.

Dijumpai maklumat biodata Faqih Wan Musa al-Fathani bahawa beliau hidup sezaman dengan Sheikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani yang juga mengarang kitab tasauf. Tetapi karya beliau itu tidak sempat diselesaikan, manuskrip yang ditemui diberikan kenyataan bahawa ia diselesaikan oleh anak beliau Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani.

Ulama yang berasal dari Kedah Darul Aman dalam peringkat ketiga hanya diperoleh maklumat seorang saja, beliau ialah Ahmad bin Aminuddin al-Kadi (Kedah). Sebuah risalah berjudul Ilmu Tauhid yang disalin oleh beliau dinyatakan tarikh 1032 H/l629 M. Terdapat tiga buah salinan yang menggunakan nama beliau tersimpan di PMM-PNM, sebuah di antaranya adalah dari koleksi penulis.

Ada pun ulama-ulama yang muncul di Aceh pada abad ke 16-17 sangat ramai, mereka ialah: Sheikh Hamzah al-Fansuri, Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i, kedua-duanya muncul dengan perbahasan tasauf yang mendalam, iaitu tasawuf ketuhanan.

Dalam informasi penelitian yang penulis lakukan, tersenarai karya Sheikh Hamzah al-Fansuri sebanyak 13 judul dan Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i pula sebanyak 24 judul.

Pada tahun 1991, PMM-PNM memperoleh judul-judul baru karya Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i, semuanya 12 judul, antaranya Risalah Jawami’ al-‘Amal.

Sebuah judul yang ada dalam koleksi penulis ialah Taukid al-‘Uqud, jadi semuanya 13 judul. Keseluruhan judul itu adalah nadir atau langka yang berkemungkinan tidak tersimpan di tempat-tempat lain.

Ulama yang berasal dari India tetapi menjalankan aktiviti penulisan di Aceh ialah Sheikh Nuruddin al-Raniri. Beliau mempunyai karangan yang banyak, dianggap tokoh ulama yang mula-mula menulis ilmu fiqh rubu ibadat dalam bahasa Melayu judul Ash-Shirat al-Mustaqim, penulisan dimulai tahun 1044 H/1634 M, selesai tahun 1054 H/1644 M.

Manuskrip kitab tersebut beberapa buah di antaranya tersimpan di PMM-PNM, Muzium Islam Pusat Islam Malaysia, dan tempat-tempat lainnya.

Karya Sheikh Nuruddin al-Raniri yang telah diketahui sebanyak 34 judul, sebagaimana pernah penulis sebutkan dalam artikel-artikel sebelum ini.

Salah seorang murid Sheikh Nuruddin al-Raniri bernama Megat Sati Ibnu Amir Sulaiman menyusun sebuah kitab yang diberi judul Syarab al-‘Arifin li Ahl al-Washilin.

Judul ini adalah nadir hanya ditemui tiga buah manuskrip saja. Satu manuskrip di antaranya tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia. Satu manuskrip dalam simpanan penulis, dan satu manuskrip lagi dipunyai oleh seorang tuan guru di negeri Chaiya.

Penutup

Adapun perbicaraan dalam peringkat ketiga ini belum selesai dibicarakan, maka mengenai peringkat ini disambung pula dalam artikel-artikel selanjutnya.

Disebabkan keterbatasan ruangan ini, maka peringkat-peringkat lainnya juga tidak dapat disebutkan secara sekali gus dan akan dilanjutkan pada ruangan lain.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J5jDIh5E
© Utusan Melayu (M) Bhd


PERBICARAAN pada artikel kali ini masih berkisar kepada penulisan-penulisan kitab yang ditinjau dari pelbagai peringkat. Adapun sebelumnya telah disebutkan dari peringkat pertama hingga ketiga. Namun perbicaraan dalam peringkat ketiga tersebut belum dapat dihabiskan sepenuhnya, maka dalam ruangan ini disambung kembali pada peringkat ketiga dan juga peringkat keempat.

Kesinambungan Peringkat Ketiga

Ulama Aceh yang tak kurang pentingnya dengan ketiga-tiga ulama yang tersebut itu ialah Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri (1001 H/1592 M-1105 H/1693 M). Beliau ini juga menghasilkan karangan yang banyak.

Dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara jilid 1 telah penulis senaraikan karya beliau sebanyak 25 judul. Tetapi setelah buku itu diterbitkan, ditemui pula tiga judul baru iaitu: Aghmadh as-Sail, Kanz al-Insaniyi dan Durrat al-Baida’ Tanbihan li al-Nisa’. Kandungan kitab Aghmadh as-Sail membicarakan ilmu tauhid. Hanya dijumpai sebuah saja dan tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia.

Kanz al-Insaniyi dan Durrat al-Baida’ kedua-duanya tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM) masing-masing dengan nombor kelas MS 1530 dan MS 1625.

Seperti yang pernah disebut oleh penulis dalam artikel-artikel sebelumnya, bahawa Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri adalah tokoh ulama dunia Melayu yang pertama menterjemah dan mentafsirkan al-Quran secara lengkap 30 juzuk ke dalam bahasa Melayu. Ia diberi judul Turjuman al-Mustafid, dalam percakapan lebih popular dengan judul Tafsir Baidhawi.

Dalam sejarah yang diceritakan secara bersambung, bahawa sebenarnya terjemahan dan tafsir tersebut tidak sempat diselesaikan oleh Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri, tetapi disambung penyelesaiannya oleh seorang murid beliau bernama Baba Daud al-Jawi bin Ismail al-Jawi bin Agha Mustafa al-Rumi. Datuk nenek Baba Daud al-Jawi berasal dari Rom, kemudian berpindah ke Turki seterusnya ke Aceh. Salah seorang keturunannya berpindah ke Patani, yang kemudian mendapat seorang zuriat yang menjadi ulama bernama Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani itulah yang menyimpan manuskrip asli Turjuman al-Mustafid hasil penulisan gabungan Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri dan Baba Daud bin Agha Ismail al-Jawi itu. Manuskrip asli itulah yang diserahkan oleh Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani kepada saudara sepupu dan gurunya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Maka kemudiannya manuskrip itu ditashih untuk diterbitkan.

Pada semua edisi cetakan Turjuman al-Mustafid dicantumkan nama tiga orang pentashih iaitu Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Daud al-Fathani dan Sheikh Idris al-Kalantani.

Peringkat murid Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri yang tersebar di pelbagai tempat dalam dunia Melayu juga menghasilkan karya. Di antara karya-karya mereka telah dijumpai manuskripnya atau sekurang-kurangnya dapat dikesan judulnya. Di antaranya ialah yang berasal dari negeri Bugis-Makasar, Sheikh Yusuf Tajul Khalwati (1036 H/1626 M-1699 M).

Sebahagian besar karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Bugis, yang mana dalam bahasa Bugis ditulis dalam aksara Bugis. Setakat ini, hanya sebuah karya beliau yang ditulis dalam bahasa Melayu telah ditemui. Manuskrip dalam bahasa Melayu itu diperoleh dari Sri Langka.

Karya bahasa Melayu

Dipercayai Sheikh Yusuf menghasilkan karya dalam bahasa Melayu itu ketika beliau menjalani hukuman pembuangan oleh penjajahan Belanda di Sri Lanka itu. Manuskrip tersebut dalam simpanan PMMPNM dalam nombor kelas MS 423. Semua karya Sheikh Yusuf Tajul Khalwati yang telah diketahui judulnya sebanyak 22 judul. Beberapa buah manuskrip karyanya dalam bahasa Arab ada dalam simpanan penulis.

Seorang ulama yang menjalankan aktiviti di Jawa Barat yang hidup sezaman dengan Sheikh Yusuf Tajul Mankatsi tetapi agak kebelakang sedikit ialah Sheikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan. Beliau ini juga meninggalkan beberapa buah karya yang ditulis dalam bahasa Melayu dan kemungkinan juga pernah menulis dalam bahasa Sunda.

Sebuah manuskrip karya beliau yang membicarakan Martabat Tujuh ada dalam simpanan penulis. Dalam nombor kelas MI 839 koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia, di beberapa tempat ada menyebut nama Sheikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, yang seolah-olah naskhah itu dinukil daripada sebuah karya ulama sufi itu. Manuskrip MI 839 itu ditulis dalam bahasa Melayu, disalin di Pulau Pinang.

Sezaman dengan Sheikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan ialah Sheikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu (1650 M-1149 H/1739 M) atau lebih dikenali Tok Pulau Manis.

Shafie bin Abu Bakar banyak membicarakan tentang Tok Pulau Manis itu, demikian juga mengenai karya-karya ulama Terengganu itu. Semua karya Tok Pulau Manis yang disebut oleh Shafie Abu Bakar dalam banyak tulisan adalah cukup jelas, kecuali hanya sebuah iaitu judul Syarh Hikam Melayu, yang diragui penulis sebagai karya Tok Pulau Manis.

Salah sebuah karya Tok Pulau Manis pernah disalin oleh Tok Kelaba al-Fathani, iaitu yang berjudul Kifayah. Salinan tersebut ada dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 517.

Sheikh Abdul Mubin

Sezaman dengan Tok Pulau Manis Terengganu ialah Sheikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani. Dipercayai lebih dulu sedikit daripada Tok Pulau Manis Terengganu, diperkirakan beliau adalah sahabat Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri.

Mengenai ini dibuktikan dengan sebuah manuskrip karyanya yang diselesaikan oleh penyalinan anak beliau Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani terdapat tarikh tahun 1121 H/1709 M. Karya tersebut tidak jelas judulnya, tetapi kandungannya adalah membicarakan ilmu tauhid dan hubungannya dengan tasauf falsafi. Manuskrip yang asli ada dalam simpanan penulis tetapi tidak lengkap.

Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani menghasilkan beberapa karya. Di antaranya kitab Manhal ash-Shafi fi Ramz Ahl ash-Shufi. Manuskrip yang tersebut ada dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 693, manuskrip berasal daripada milik Wan Abdullah ibnu Muhammad Saman al-Fathani, yang berasal dari Kampung Perongngok.

Selain itu ada lagi karya beliau yang berjudul Mir-at al-Haq, judul terjemahan menurut Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok sendiri ialah Cermin Yang Sebenar-benarnya. Salah sebuah salinan judul tersebut ada dalam simpanan penulis.

Pada awal tahun 1994, penulis memperoleh beberapa risalah manuskrip yang berasal daripada karya Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, sebuah merupakan salinan Ibnu Qaim Abdul Samad yang berjudul Wasiat Syeikh Abdur Rahman Kepada Muridnya Tuan Haji Ibnu Abdul Mubin, tanpa dinyatakan tarikh.

Sebuah merupakan imlak salasilah tarekat Samaniyah kepada muridnya Ahmad ibnu Muhammad Shalih dan Abdul Samad. Manuskrip yang penulis peroleh itu adalah merupakan salinan, yang pada akhir salinan itu dicatat tarikh wafat Ahmad ibnu Muhammad Shalih itu pada malam Arba’, empat likur hari bulan Rejab tahun 1258 H.

Peringkat Keempat

Penulisan abad ke-17-18 M dijumpai karya-karya ulama yang berasal dari Aceh, Patani, Palembang dan Banjar. Ulama Aceh yang begitu menonjol pada peringkat keempat ini ada dua orang.

Kedua-dua beliau ialah Sheikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dan anak beliau sendiri bernama Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi.

Karya Sheikh Faqih Jalaluddin Aceh yang terawal ialah Hidayat al-‘Awam, diselesaikan pada tahun 1140 H/1727 M. Disusuli dengan Manzhar al-Ajla ila Martabat al-A’la, diselesaikan tahun 1152 H/1739 M.

Karyanya yang terbesar berjudul Safinat al-Hukkam, mulai melakukan penulisan kitab tersebut pada tahun 1153 H/1740 M. Manuskrip kitab itu tebal 502 halaman dengan ukuran yang bertulis 16 x 10 cm, purata 21 baris setiap muka surat. Karyanya yang terakhir ialah Hujjah Balighah ‘ala Jama’ah Mukhashamah, diselesaikan tahun 1158 H/1745 M.

Memperhatikan tahun kemunculan karya, ternyata karya anak beliau Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Faqih Jalaluddin Aceh lebih dulu muncul daripada karya ayahnya sendiri. Karya terawal Sheikh Muhammad Zain Aceh tercatat tahun 1114 H/1702 M, judul ‘Ilm al-Tauhid.

Dalam jarak waktu yang begitu jauh dari tahun 1114 H/1702 M itu muncul pula karya beliau Bidayat al-Hidayah, diselesaikan tahun 1170 H/1757 M. Manuskrip Bidayat al-Hidayah cukup banyak dijumpai, berpuluh buah tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam dan PMMPNM dan tempat-tempat lainnya, termasuk simpanan individu.

Kitab ini adalah merupakan kitab tauhid dalam bahasa Melayu yang tertua yang masih beredar di pasaran kitab. Karya Sheikh Muhammad Zain Aceh yang terakhir, yang terdapat tahun penulisannya, ialah Kasyf al-Kiram, diselesaikan tahun 1171 H/1757 M.

Selain judul-judul yang disebutkan, terdapat lagi beberapa buah karyanya tanpa menyebut tahun penulisan. Semua karyanya yang telah dijumpai dan pernah penulis senaraikan sebelumnya iaitu terdapat lapan judul.

Ulama yang berasal dari Patani yang hidup sezaman dengan Sheikh Muhammad Zain Aceh ialah Sheikh Abdullah bin Abdul Mubin al-Fathani. Karya beliau yang ditemui hanya sebuah, judul Tanbih al-Ghafilin, diselesaikan tahun 1184 H/1770 M. Beberapa manuskrip kitab yang membicarakan hadis targhib dan tarhib itu terdapat dalam simpan PMMPNM dan Muzium Islam Pusat Islam Malaysia. Kitab tersebut juga terdapat pelbagai edisi cetakan dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang.

G.W.J. Drewes berpendapat bahawa ada seorang ulama yang berasal dari Palembang bernama Sheikh Syihabuddin bin Abdullah al-Jawi. Sebuah manuskrip judul Syarh ‘Aqidat al-Iman terdapat nama pengarangnya Sheikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah al-Jawi.

Kitab itu diselesaikan tahun 1162 H/1748 M. Manuskrip yang telah dijumpai adalah merupakan salinan yang dilaksanakan oleh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu, penyalinan diselesaikan tahun 1260 H/1844 M. Salinan tersebut dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1522.

Manuskrip yang telah ditemui itu tidak memberikan sebarang maklumat bahawa pengarangnya berasal dari Palembang yang disebut hanyalah ‘al-Jawi’ saja.

Oleh itu penulis tidak berani menentukan kebenaran pendapat bahawa Sheikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah al-Jawi itu berasal dari Palembang walaupun pendapat Drewes itu telah disokong oleh banyak sarjana, termasuk beberapa orang yang berasal dari Palembang yang membicarakannya dalam Seminar Masuk dan Berkembangnya Islam di Sumatera Selatan.

Walaupun karya terawal Sheikh Abdus Samad al-Falimbani adalah Zahrat al-Murid yang diselesaikan tahun 1178 H/1764 M dan Risalat Yang Haram Kahwin Dengannya yang diselesaikan tahun 1179 H/1765 M, namun beliau tidak dimasukkan ke dalam kategori ulama dunia Melayu peringkat keempat, tetapi akan lebih banyak dibicarakan dalam ulama peringkat kelima.

Demikian halnya dengan sahabatnya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang karya terawalnya Tuhfat al-Raghibin tahun 1188 H/1774 M. Kedua-duanya dimasukkan ke dalam ulama peringkat kelima disebabkan karyanya yang terkenal adalah dalam lingkungan peringkat kelima bukan dalam lingkungan peringkat keempat.

Penutup

Maka selesai perbicaraan mengenai penulisan-penulisan manuskrip pada peringkat ketiga dan keempat tersebut.

Pada artikel sebelumnya telah dinyatakan bahawa penulis membahagikan kepada 10 peringkat penulisan, maka selebihnya iaitu selain peringkat pertama hingga keempat akan diteruskan dalam ruangan yang lainnya.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J5kN9mIE
© Utusan Melayu (M) Bhd


MAKLUMAT yang dibicarakan pada artikel kali ini adalah kesinambungan daripada tajuk-tajuk sebelumnya, iaitu berkaitan penulisan-penulisan manuskrip ulama-ulama Asia Tenggara yang dibahagikan kepada 10 peringkat. Adapun perbicaraan pada peringkat pertama hingga keempat telah selesai dibicarakan. Maka pada kali ini diteruskan pula perbicaraan pada peringkat kelima dan sebahagian peringkat keenam.

Peringkat Kelima

Penulisan abad ke 18-19, dijumpai manuskrip-manuskrip karya ulama-ulama Palembang, Banjar, Patani, Aceh, Sumbawa dan dari tempat-tempat lainnya. Ulama yang berasal dari Palembang yang paling terkenal ialah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani. Sebagaimana telah disebutkan bahawa karya beliau terawal adalah Zahrat al-Murid, 1178 H/1764 M.

Dua karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang paling popular ialah Hidayat as-Salikin dan Siyar as-Salikin. Nama lain untuk Hidayat as-Salikin ialah as-Salikin, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M, yang merupakan terjemahan kitab Bidayat as-Salikin karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-tambahannya yang cukup banyak.

Beberapa manuskrip yang dijumpai memang ada yang memakai judul Bidayat as-Salikin, tetapi jumlahnya jauh lebih sedikit berbanding manuskrip yang memakai nama Hidayat as-Salikin.

Cetakan mutawal karya Sheikh Abdul Samad al-Falimbani itu digunakan judul Bidayat as-Salikin dilakukan pada tahun 1287 H/1870 M, dicetak menggunakan tulisan litografi (huruf batu) di Mekah dan Singapura. Yang diberi kepercayaan pengurusan cetakan di Singapura ialah Tengku Yusuf bin Tengku Ibrahim Terengganu tetapi belok litografnya semuanya diproses di Mekah. Setelah Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani lebih memperkemaskan lagi media cetak dengan menukar huruf litografi (huruf batu) kepada huruf klise timah, maka barulah digunakan judul yang satu lagi, iaitu Hidayat as-Salikin.

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, kitab Hidayat as-Salikin adalah merupakan kitab Melayu/Jawi yang pertama sekali dicetak di Mesir. Adapun karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani judul Siyar as-Salikin adalah karyanya yang terbesar yang terdiri empat jilid.

Sebahagian besar kandungannya merupakan terjemahan Ihya’ ‘Ulum ad-Din karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-tambahan yang cukup banyak. Dimulai penulisan tahun 1194 H/1780 M dan diselesaikan tahun 1203 H/1788 M. Manuskrip Siyar as-Salikin juga terdapat dalam simpanan Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM).

Kitab Siyar as-Salikin yang diproses untuk cetakan yang pertama di Mekah berasal dari manuskrip koleksi Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu naskhah yang beliau gunakan untuk mengajar dan telah ditashihkannya. Manakala akan dicetak dan ditashih sekali lagi oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sheikh Abdus Samad al-Falimbani juga menterjemahkan kitab Mi’raj, diselesaikan tahun 1201 H/1786 M. Manuskrip tentang ini hanya terdapat sebuah dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1079.

Keseluruhan karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang telah dijumpai adalah sebanyak 12 judul, beberapa buah judul yang nadir di antaranya ada dalam simpanan penulis.

Ada dua orang ulama besar dunia Melayu yang berasal dari Banjar (Kalimantan Selatan) sahabat Sheikh Abdus Samad al-Falimbani. Kedua-duanya yang menghasilkan karangan, ialah Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari.

Karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang terawal ialah Tuhfat al-Raghibin, diselesaikan tahun 1188 H/1774 M, disusul dengan Luqthatul ‘Ajlan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M, disusul dengan Sabil al-Muhtadin, diselesaikan tahun 1195 H/1780 M, disusuli Risalat Qaul al-Mukhtashar diselesaikan tahun 1196 H/1781 M.

Keseluruhan karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang telah diketahui 17 judul. Keempat-empat judul yang tersebut semuanya telah dijumpai manuskrip salinannya.

Yang paling terkenal di antara karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah Sabil al-Muhtadin. Kitab ini juga ditashih dan kemudian diperjuangkan penerbitannya oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Ulama besar

Karya Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari yang paling terkenal ialah Ad-Durr an-Nafis diselesaikan tahun 1200 H/1875 M. Karya-karya beliau yang lain yang telah dijumpai ialah Majmu’ al-Asrar li Ahli Allah al-Athyar atau nama yang lain Majmu’ as-Sarair, judul terjemahan dalam bahasa Melayu menurut pengarangnya sendiri ialah Perhimpunan Sekelian Rahsia.

Karya beliau yang lain pula ialah Penjelasan Huruf-huruf Abjad Dalam al-Quran, Ilmu Haqiqat Yang Sebenar-benar, dan Masalah Orang Yang Dijadikan Imam. Pada risalah yang terakhir itu tercatat selesai menulisnya waktu Dhuha 8 Ramadan 1245 H/1829 M. Kitab Ad-Durr an-Nafis cetakannya yang mula-mula sekali dilaksanakan oleh Mathba’ah al-Miriyah bi Bulaq Mesir al-Mahmiyah, tahun 1302 H/1884 M.

Untuk pelaksanaan, pencetakannya telah ditashih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Ada sebuah manuskrip yang merupakan syarah untuk kitab Ad-Durr an-Nafis ini ialah Ad-Durrah an-Nafisah fi Bayan al-Wahdah fi al-Af’al wa al-Asma’ wa ash-Shifat wa az-Zat al-Muqaddasah. Manuskrip ini hanya dijumpai sebuah sahaja.

Manuskrip yang dijumpai dinyatakan mulai penulisan pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 15 Rabiulakhir 1239H/19 Disember 1823M dan selesai pada tengah malam Isnin, 9 Muharam 1240H/3 September 1824M.

Adapun Majmu’ al-Asrar tidak dikenal oleh masyarakat Melayu secara umum kerana belum pernah diterbitkan. Manuskripnya pula adalah sangat nadir belum banyak dijumpai, setakat ini baru dijumpai tiga buah manuskrip sahaja. Sebuah dalam simpanan Muzium Islam Pusat Islam, bukan merupakan tulisan asli pengarang tetapi adalah salinan Muhammad Zain bin Hasan. Selesai melakukan penyalinan pada waktu zuhur, hari Sabtu, 21 Syaaban 1355 H/1936 M. Nombor kelas MI 24.

Pada zaman yang sama dengan kemunculan karya-karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, terdapat sebuah kitab tajwid yang ditulis tahun 1193 H/1779 M, judul Mir-at al-Quran fi Tahshil Ma’rifat Ahkam at-Tajwid li Malik al-Wahhab, disingkat Mir-at al-Quran saja.

Penyusunnya bernama Sheikh Ibnu Mu’thi bin Sheikh Muhammad Shalih al-Jawi. Tidak diketahui dari mana beliau berasal, tetapi dalam dugaan barangkali berasal dari Patani atau Kelantan.

Manuskrip salinan judul itu sangat banyak diperoleh, tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam, PMMPNM dan dalam simpanan individu. Walaupun manuskripnya sangat banyak diperoleh, namun dipercayai kitab tajwid itu belum pernah diterbitkan berupa cetakan. Melihat kepada tahun penulisannya, 1193 H/1779 M, dipercayai kitab tersebut adalah merupakan kitab tajwid yang pertama dalam bahasa Melayu.

Ulama besar yang berasal dari Patani, yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu yang hidup pada zaman ini ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam tahun 1193 H/1779 M itu telah muncul karya beliau dalam bahasa Arab. Tetapi karya-karyanya yang ditulis dalam bahasa Melayu muncul pada tahun 1200an hijrah. Oleh sebab itu mengenai beliau dimasukkan ke dalam kategori ulama dunia Melayu peringkat keenam.

Peringkat Keenam

Masih termasuk dalam lingkungan abad ke 18-19, tetapi agak kebelakang sedikit dari Sheikh Abdus Samad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Beliau adalah tokoh ulama yang paling produktif, baik dibandingkan dengan penulisan sebelum, sezaman mahupun sesudah beliau.

Karya-karya beliau sesudah tahun 1190an hijrah dimulai tahun 1204 H/1789 M dan berakhir 1259 H/1843 M. Ada lagi maklumat hingga tahun 1263 H, bahkan maklumat terakhir hingga tahun 1295 H Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani masih menulis. Walau bagaimanapun yang telah dianggap sahih adalah hingga tahun 1259 H/1843 M, tahun-tahun sesudahnya masih dalam tahap penelitian.

Keseluruhan karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah 101 judul, tetapi yang pernah penulis senaraikan berjumlah hanya 66 judul sahaja. Menurut tertib susunan tahun penulisan dalam bahasa Melayu, dimulai dengan Kifayat al-Muhtaj, diselesaikan tahun 1204 H/1789 M, tetapi kitab ini yang diketahui umum berdasarkan cetakan adalah diselesaikan tahun 1224 H/1809 M. Disusul dengan Faraid Fawaid al-Fikr fi al-Imam al-Mahdi, diselesaikan tahun 1215 H/1800 M.

Judul ini adalah nadir kerana baru ditemui tiga buah salinan saja. Sebuah dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 652, tidak lengkap, yang lengkap ada dalam simpanan penulis, dan sebuah lagi disimpan oleh seorang ulama di Patani, juga lengkap.

Ada tiga karya yang diselesaikan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam tahun 1233 H/1817 M itu, satu buah mengenai fiqh diberi judul Tuhfat al-Raghibin fi Suluk Thariq al-Muttaqin, juzuk yang ke-2, dan yang kedua mengenai tasauf, tanpa menyebut nama judul. Kedua-duanya adalah naskhah nadir. Mengenai ilmu tasauf hanya dua manuskrip saja dijumpai.

Pertama adalah koleksi PMMPNM nombor kelas MS 666. Kedua pula diperoleh 11 April 1993 di Betong, Patani bekas dimiliki oleh Tuan Guru Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Jerimi al-Fathani, iaitu guru kepada Sultan Ahmad, Sultan Pahang.

Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani muncul sebagai seorang penulis kitab fiqh Mazhab Syafie yang pertama lengkap sekalian babnya, iaitu yang berjudul Hidayat al-Muta’allim, diselesaikan tahun 1244 H/1828 M.

Karya beliau juga yang terlengkap mengenai usuluddin dalam Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu yang berjudul Ward al-Zawahir, diselesaikan tahun 1245 H/1829 M. Karya beliau yang paling tebal ialah Furu’ al-Masail yang dimulai penulisannya tahun 1254 H/1838 M dan diselesaikan tahun 1257 H/1841 M.

Ulama Patani yang berhijrah ke Terengganu, yang mempunyai hubungan kekeluargaan dekat dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan hidup sezamannya ialah Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas.

Sebuah karya beliau yang dapat dicatatkan dalam artikel ini ialah At-Targhib wa at-Tarhib li Bai’i wa asy-Syira, diselesaikan tahun 1234 H/1818 M. Manuskrip yang ditemui hanya dua buah sahaja, sebuah koleksi Muzium Islam Pusat Islam nombor kelas MI 128.

Sebuah lagi salinan muridnya Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, penyalinan diselesaikan tahun 1236 H/1820 M. Saudara kandung beliau ialah Sheikh Abdullah bin Abdur Rahim al-Fathani. Beliau ini menghasilkan dua buah karya, iaitu sebuah tidak beliau sebut nama judulnya, diselesaikan tahun 1257 H, disalin tahun 1263 H, nama penyalin tidak tercatat.

Taj al-Muluk

Manuskripnya ada dalam simpanan penulis. Sebuah lagi diberi judul Hadits al-Muhimmah, disalin oleh Muhammad Yusuf ibnu Encik Ali Cenak di rumah Sheikh Daud bin Ab-dullah al-Fathani di tempat yang bernama Bab ad-Du’a tahun 1272 H/1856 M. Judul ini banyak kali dicetak dan masih beredar di pasaran kitab.

Ulama Patani yang lain, juga hijrah ke Terengganu ialah Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani. Karya beliau ialah Hidayat al-Mukhtar, diselesaikan tahun 1249 H/1833 M dan Aiyuha al-Walad, diselesaikan tahun 1266 H/1850 M. Saudara kandung Sheikh Wan Hasan al-Fathani ialah Sheikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani menyusun sebuah naskhah mengenai Tariqat Samaniyah yang diberi judul Silsilah Ratib dan Kaifiyatnya.

Seorang tokoh perempuan yang terpelajar yang berasal dari Patani bernama Wan Maryam menghasilkan beberapa buah karya, dua karyanya yang telah dijumpai tercatat tahun selesai penulisan 1259 H.

Karya yang pertama diberi judul Majmu’ Wan Maryam al-Fathani dan yang kedua mengenai hadis 40. Kedua-kedua manuskrip itu dimiliki oleh individu di Patani tetapi penulis pernah diberikan kepercayaan dari pemiliknya untuk menyemak dan mencatat data mengenainya.

Ulama-ulama Aceh yang muncul dalam peringkat keenam, di antara mereka ialah: Sheikh Muhammad bin Khatib Langien. Karya-karya beliau yang telah dijumpai Dawa’ al-Qulub, diselesaikan tahun 1237 H/1821 M, Asrar ad-Din li Ahl al-Yaqin, Mi’raj as-Salikin dan Ku-us al-Muhaqqiqin, semuanya terkumpul dalam nombor kelas MS 1044 koleksi PMMPNM. Sezaman dengan beliau ialah Sheikh Muhammad bin Abdullah Ba’id yang menghasilkan karya berjudul Hukm al-Jarh, diselesaikan tahun 1236 H/1820 M, tetapi manuskripnya belum dijumpai, namun pernah diterbitkan berupa cetakan.

Kemudiannya disusul pula oleh seorang ulama Aceh yang terkenal beliau ialah Sheikh Abbas Kutakarang, seorang ulama ahli astrologi. Manuskrip karyanya yang telah dijumpai ialah Kitab al-Qunu’ liman Ta’ththuf, diselesaikan tahun 1259 H/1843 M, membicarakan hukum penyembelihan. Di Muzium Islam Pusat Islam tersimpan tiga buah manuskrip kitab tersebut, iaitu MI 220, MI 513 dan MI 670.

Di PMMPNM juga tersimpan beberapa buah manuskrip judul itu. Karya Sheikh Abbas Kutakarang yang lain ialah Siraj azh-Zhalam, diselesaikan tahun 1266 H/1849 M, membicarakan hisab dan falakiyah. Kitab judul ini pernah diterbitkan dalam kumpulan kitab yang dinamakan Taj al-Muluk yang diusahakan penerbitannya oleh Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi. Keseluruhan karya Sheikh Abbas Kutakarang dalam senarai saya sebanyak lima judul.

Ulama yang berasal dari Sumbawa yang hidup sezaman dengan Sheikh Abbas Kutakarang ialah Sheikh Muhammad Ali bin Abdul Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi al-Sumbawi. Karyanya yang telah dijumpai hanya sebuah iaitu Al-Yawaqit wa al-Jawahir, diselesaikan tahun 1243 H/1827 M. Merupakan terjemahan karya Sheikh Abdul Wahhab al-Sya’rani.

Kandungannya mengenai hadis tentang seksaan orang yang berdosa besar, dan tentang syurga dan neraka. Manuskrip judul ini telah dijumpai di Pahang bekas dimiliki oleh Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Jerimi al-Fathani, iaitu guru Sultan Abdullah al-Mu’azzam Syah bin Sultan Ahmad, Sultan Pahang.

Manuskrip tersebut telah diserahkan oleh salah seorang keturunan ulama itu kepada penulis dan penulis telah menyerahkannya kepada PMMPNM (tahun 1993). Kitab Al-Yawaqit wa al-Jawahir karya ulama yang berasal dari Sumbawa itu pernah diterbitkan berupa cetakan dan sampai sekarang masih beredar di pasaran kitab.

Penutup

Disebabkan keterbatasan ruangan, maka perbicaraan mengenai artikel kali ini terpaksa dilanjutkan dalam ruangan yang seterusnya.

Peringkat keenam adalah antara peringkat yang banyak menghasilkan penulisan-penulisan manuskrip. Maka peringkat ini perlu kepada perbicaraan yang panjang, dan belum dapat dibicarakan sepenuhnya. Oleh itu, kesinambungan mengenainya disambung pada selanjutnya.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J5kxJZo1
© Utusan Melayu (M) Bhd


PERBINCANGAN pada kali ini masih berkisar berkaitan ulama-ulama Asia Tenggara dari sudut penulisan manuskrip yang ditinjau dari pelbagai peringkat zaman. Sebelum ini telah dibicarakan dari peringkat pertama sehingga keenam. Peringkat keenam adalah antara peringkat zaman yang banyak dihasilkan penulisan-penulisan manuskrip oleh ulama-ulama yang ada pada zaman tersebut. Antaranya Sheikh Daud al-Fathani, Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Sheikh Muhammad bin Khatib Langien dan beberapa lagi. Maka pada kali ini disambung lagi kepada beberapa ulama yang belum selesai dibicarakan lagi, dan masih pada peringkat keenam.

Kesinambungan Peringkat Keenam

Dalam peringkat keenam ini, ulama-ulama yang berasal dari Terengganu juga menghasilkan karya. Ada tiga ulama Terengganu yang perlu disebutkan di sini, iaitu: Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus, atau lebih popular dengan sebutan Tukku Tuan Besar.

Manuskrip karyanya yang terawal ditulis pada tahun 1250 H/1834 M, tentang sanad Dalail al-Khairat. Manuskrip-manuskrip yang lain ialah: mengenai hadis memakai serban, ditulis tahun 1267 H/1850 M, Salasilah Ratib al-Haddad, ditulis tahun 1267 H/1850 M.

Karya beliau yang paling terkenal Kanz al-Ula, sebuah manuskrip judul ini, tetapi tidak lengkap, telah penulis serahkan kepada Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM).

Manuskrip itu adalah tulisan tangan nenek penulis, Hajah Wan Siti Saudah binti Sheikh Abdullah al-Fathani, yang diselesaikan salinannya tahun 1324 H/1906 M. Salinan tersebut diberi bernombor kelas MS 1101. Karya beliau yang terkenal pula ialah Jauhar as-Saniyah, belum diketahui di mana manuskripnya tersimpan. Keseluruhan karya beliau dalam senarai penulis sebanyak 11 judul.

Ulama Terengganu yang kedua pada peringkat ini ialah Saiyid Ahmad bin Saiyid Muhammad al-Aidrus, digelar dengan Tukku Melaka, gelar yang lain ialah Tuan Saiyid Embun Terengganu. Manuskrip terawal yang telah dijumpai bertarikh 1256 H/ 1840 M, judul Terjemah Muqaddimah dan Doa Dalail al-Khairat, koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia.

Manuskrip yang tersebut adalah asli tulisan tangan beliau. Manuskrip asli tulisan tangan beliau yang ditemui pula ialah Al-Fawaid fi ash-Shalat wa ‘Awaid, diselesaikan pada malam Sabtu, bulan Safar, 1264 H/1847 M. Tukku Melaka sendiri menyerahkan manuskrip karyanya itu kepada Sheikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani, diserahkan pula kepada Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani untuk ditashih dan diterbitkan berupa cetakan.

Manuskrip tersebut pernah penulis miliki berupa pusaka dan kemudian diserahkan kepada PMMPNM. Dicatat dengan nombor kelas MS 1103. Karya Tukku Melaka yang ditulis agak akhir dapat dimasukkan ke dalam kategori peringkat ketujuh, ialah Hidayat al-‘Awam fi Bayan Hukm Syarb ad-Dukhan, diselesaikan tahun 1293 H/1876 M, membicarakan haram tembakau.

Manuskrip judul ini hanya ditemui sebuah sahaja, berupa salinan yang dilakukan di Sungai Cincin, Selangor. Manuskrip tersebut tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia.

Karya Tukku Melaka yang terakhir judul Kumpulan Wirid dan Doa, diselesaikan tahun 1295 H/1878 M. Keseluruhan karya Tukku Melaka dalam senarai penulis ada tujuh judul.

Ulama Terengganu yang ketiga dalam peringkat ini ialah Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir, berasal dari Kemaman, Terengganu, meninggal dunia di Kampung Pusin, Yala. Memulakan kariernya di Sungai Tok Gali, Pujut, Patani, tahun 1235 H/1819 M (membuat salinan sebuah kitab perubatan. Salinan tersebut ada dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1292. Salinan beliau yang terakhir tahun 1291 H/1874 M, judul Kanz al-Minan karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Manuskrip mengenai ini juga dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1240.

Ulama yang berasal dari Minangkabau yang muncul dalam Peringkat Keenam ialah Sheikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi dan Sheikh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid Rawa. Karya Syeikh Ismail Minangkabau yang ada dalam senarai saya sebanyak sembilan judul.

Di antaranya yang ada disebut tarikh selesai penulisan ialah Ar-Rahmat al-Habithah fi Zikr Ism az-Zat wa ar-Rabithah, diselesaikan tahun 1269 H/1825 M, Nazhm as-Silsilah, diselesaikan tahun 1270 H/1854 M. Manuskrip mengenai ini ada dalam simpanan penulis.

Sebuah manuskrip mengenai Tarekat Syaziliyah karya Sheikh Ismail Minangkabau tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia. Manuskrip berbentuk syair dalam bahasa Arab tersimpan di PMMPNM. Karya beliau yang lain yang cukup terkenal ialah Kifayat al-Ghulam.

Karya Sheikh Muhammad Shalih Rawa yang telah dijumpai ada empat buah; semuanya ditulis tahun 1272 H/1855 M. Yang terpenting di antaranya Fath al-Mubin, syarah hadis 40 Imam Nawawi yang disyarah dalam bentuk fiqh.

Ulama yang berasal dari Sambas, Kalimantan Barat yang hidup dalam Peringkat Keenam ialah Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar al-Sambasi (wafat 1280 H/1863 M atau pendapat lain 1289 H/1872 M). Karya beliau hanyalah yang berupa imlak kepada murid-muridnya, judul Fath al-‘Arifin yang sangat popular di kalangan pengikut Tarekat Qadiriyah dan Tarekat Naqsyabandiyah dunia Melayu.

Antara yang sempat diterbitkan atas tashih dan usaha Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ialah yang berasal daripada imlak kepada Sheikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali. Tarikh naskhah 1295 H/1878 M, cetakan pertama di Matba’ah al-Miriyah al-Kainah Makkah tahun 1305 H/1887 M.

Ada lagi manuskrip yang lebih awal yang tidak sempat diterbitkan berupa cetakan iaitu imlak kepada Haji Muhammad bin Sheikh Abdus Samad al-Kalantani, tarikh 1294 H/1877 M.

Manuskrip ini telah menjadi milik PMMPNM yang diperoleh daripada penulis. Penulis pula memperolehnya daripada pusaka peninggalan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Karya Sheikh Ahmad Khatib Sambas yang lain ialah Fatwa Perihal Jum’at. Manuskripnya ada dalam simpanan penulis.

Salah seorang murid Sheikh Ahmad Khatib Sambas yang terkenal ialah Sheikh Nawawi al-Bantani, yang digelar oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dengan Imam Nawawi Tsani. Ulama yang berasal dari Banten, Jawa Barat itu penulisannya dalam dua peringkat, iaitu Peringkat Keenam dan Peringkat Ketujuh.

Oleh sebab lebih banyak karya yang dihasilkan dalam Peringkat Keenam, maka dimasukkan ke dalam Peringkat Keenam ini. Karya beliau semuanya ditulis dalam bahasa Arab melebihi 100 judul, tetapi dalam senarai penulis hanya 44 judul sahaja.

Karya terawal yang telah ditemui judul Targhib al-Musytaqin, diselesaikan tahun 1284 H/1867 M. Bererti beliau mula masuk ke medan penulisan dalam usia 54 tahun kerana beliau lahir tahun 1230 H/1814 M. Bererti pula beliau menghasilkan karya melebihi 100 judul itu diselesaikan dalam jangka waktu 30 tahun kerana Sheikh Nawawi al-Bantani wafat tahun 1314 H/1897 M.

Karya terakhir yang terdapat kenyataan tahun yang telah dijumpai ialah Nashaih al-‘Ibad, diselesaikan hari Khamis, 21 Safar 1311 H/1893 M. Oleh sebab masih banyak karya Sheikh Nawawi al-Bantani yang belum dijumpai dan banyak juga karya yang tidak terdapat kenyataan tahun selesai penulisan, maka tahun berapa sebenarnya beliau mulai melakukan penulisan dan tahun terakhir penulisan belum diketahui dengan pasti.

Hidup sezaman dengan Sheikh Nawawi al-Bantani ialah Saiyid Utsman Betawi, yang terkenal sebagai Mufti Betawi. Penulisan dilakukan dalam Peringkat Ketujuh dan Kelapan. Karya pertama muncul dalam kategori Peringkat Ketujuh, iaitu Jawaz Ta’addud al-Jum’ah, diselesaikan tahun 1286 H/1869 M.

Karya yang terakhir yang diketahui tahun selesai penulisan termasuk dalam kategori Peringkat Kelapan, iaitu Taftih al-Maqalatain, diselesaikan tahun 1313 H/1895 M. Karyanya terdiri beberapa bahasa iaitu Arab, Melayu Betawi, Sunda dan Jawa. Karya beliau dalam senarai penulis ada 36 judul, sedangkan karya keseluruhan difahamkan sebanyak 109 judul.

Seorang ulama Sumbawa yang barangkali sebaya umur dengan Sheikh Nawawi al-Bantani dan Saiyid Utsman al-Batawi ialah Sheikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi al-Sumbawi. Karyanya tidak dapat dipastikan apakah termasuk dalam kategori Peringkat Ketujuh atau pun Peringkat Kelapan kerana karya-karya yang telah dijumpai tidak terdapat catatan tahun selesai penulisan.

Karya-karya ulama Sumbawa ini yang telah diketahui ialah Siraj al-Huda dan Minhaj al-Salam, kedua-dua banyak kali diterbitkan dan masih beredar di pasaran kitab. Karyanya berjudul Tuhfat al-Qudsiyah sampai sekarang masih belum dijumpai.

Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang berpindah ke Kedah mendapat zuriat yang menjadi ulama ada beberapa orang, di antara mereka ada menghasilkan karya. Dalam kategori peringkat keenam ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Syeikh Mas’ud al-Qadhi al-Banjari.

Dua buah karya beliau yang telah dikenalpasti, iaitu Miftah al-Jannah dan Bidayat al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman. Tarikh selesai penulisan Miftah al-Jannah terdapat tiga maklumat yang berbeza-beza. Cetakan Matba’ah al- Miriyah Mekah tahun 1321 H dinyatakan bahawa selesai mengarang tahun 1247 H, cetakan tahun 1328 H dinyatakan selesai pada 16 Syawal 1255 H, cetakan Matba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby Mesir tahun 1342 H, dinyatakan diselesaikan pada 16 Syawal 1274 H.

Barangkali yang betul bahawa Miftah al-Jannah itu diselesaikan tahun 1274 H/1867 M. Adapun Bidayat al-Ghilman, diselesaikan tahun 1297 H/1819 M. Sebuah manuskrip judul ini tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia nombor kelas MI 49.

Ulama yang berasal dari Kelantan pula yang dapat dimasukkan ke dalam kategori peringkat keenam ada dua orang, iaitu: Haji Ahmad bin Muhammad Yusuf bin Abdul Halim. Manuskrip karyanya ialah Durr al-Hisan, diselesaikan tahun 1282 H/1868 M, tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia, nombor kelas MI 725.

Manuskrip karya beliau yang lain, yang membicarakan fiqh, judul tidak jelas, diselesaikan tahun 1287 H/1870 M, tersimpan di PMMPNM nombor kelas MS 780.

Seorang lagi ulama Kelantan ialah Haji Abdus Samad bin Muhammad Shalih, yang lebih popular dengan sebutan Tuan Tabal. Sebahagian besar karyanya dapat dimasukkan ke dalam kategori Peringkat Keenam dan ada di antaranya diselesaikan dalam kategori Peringkat Ketujuh.

Karya-karya Tuan Tabal ialah: Munabbih al-Ghafilin, diselesaikan tahun 1285 H/1868 M, diikuti dengan Jala’ al-Qulub, diselesaikan tahun 1287 H/1870 M. Kedua-duanya membicarakan tasauf. Manuskrip Jala’ al-Qulub tersimpan di PMMPNM nombor kelas 557.

Karya-karya Tuan Tabal yang lain ialah Kifayat al-‘Awam, diselesaikan tahun 1295 H/1878 M. Manhat al-Qarib adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal daripada karya-karyanya yang lain.

Penutup

Maka selesai perbicaraan mengenai penulisan-penulisan manuskrip yang dihasilkan oleh ulama-ulama yang dikategorikan pada peringkat keenam ini.

Selanjutnya pada ruangan akan datang akan dibicarakan peringkat-peringkat selanjutnya, iaitu peringkat ketujuh hingga yang terakhir peringkat kesepuluh.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J5lbubW6
© Utusan Melayu (M) Bhd


Perbicaraan kali ini masih berkisar kepada penulisan manuskrip ulama Asia Tenggara yang ditinjau dari pelbagai peringkat. Perbicaraan mengenainya juga secara tidak langsung merupakan kesimpulan daripada ulama-ulama yang telah diperkenalkan dalam ruangan ini sejak tahun 2005.

Adapun peringkat-peringkat penulisan tersebut penulis membahagikannya kepada 10 peringkat. Sebelumnya telah dibicarakan peringkat pertama hingga keenam, maka diteruskan pula dalam ruangan ini peringkat selanjutnya hingga peringkat yang terakhir.

Peringkat ketujuh

Peringkat Ketujuh ini dimulai dengan kemunculan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, yang sebenarnya penulisan beliau dimulai dalam lingkungan Peringkat Keenam lagi. Kemunculan beliau mendahului beberapa orang gurunya kerana beliau mula menulis sejak berusia 15 tahun.

Karyanya yang pertama dapat dimasukkan dalam kategori peringkat keenam, ditulis dalam bentuk nazam berjudul Nazam Nur al-Anam, diselesaikan tahun 1287 H/1870 M. Manuskrip nazam tersebut hanya ada sebuah yang lengkap, yang dimiliki oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM) nombor kelas MS 764. Manuskrip yang tidak lengkap adalah salinan Tok Kelaba yang ada dalam simpanan penulis.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menulis bukan dalam bahasa Melayu sahaja, tetapi juga dalam bahasa Arab. Jumlah semua karya beliau ialah 183 judul.

Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau juga menghasilkan beberapa karya di antaranya ialah Mawahib al-Makkiyah, diselesaikan tahun 1296 H/1879 M.

Dua manuskrip judul ini tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia (MIPIM) dan dua buah manuskrip pula tersimpan di PMMPNM. Dua edisi cetakan judul ini telah ditemui, sebuah edisi cetakan Mekah dan sebuah cetakan Bombay, kedua-dua edisi itu ditashih oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Karya beliau yang membicarakan tentang batu permata diberi judul Raudh al-Zawahir, hanya sebuah manuskrip saja judul ini yang telah dijumpai, iaitu tersimpan di MIPIM.

Mengenai perbicaraan nasab Nabi Muhammad SAW beliau susun kitab berjudul Ad-Durr al-Munazhzham, diselesaikan tahun 1312 H/1894 M. Judul ini pernah diterbitkan. Beberapa karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang dianggap nadir yang ada dalam simpanan penulis ialah Fatwa Jawab Soal Zakat, Fatwa Zikir Roh dan lain-lain.

Keseluruhan karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dalam senarai penulis adalah 12 judul.

Saudara sepupu Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, seorang ulama yang sangat terkenal ialah Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, juga menghasilkan beberapa karya.

Ulama besar yang berasal dari Patani pada peringkat ini pula ialah Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, digelar dengan Tuan Minal.

Semua yang tersebut pernah diterbitkan berupa cetakan dan masih beredar di pasaran kitab. Adapun yang berupa manuskrip ialah Risalat Sembahyang Jum’at, nombor kelas MS 111 dan Tahqiq al-Kalam, nombor kelas MS 167, kedua-duanya adalah koleksi PMMPNM. Keseluruhan karya Tuan Minal yang ada dalam senarai penulis adalah lapan judul.

Peringkat murid ulama-ulama Patani tersebut yang banyak menghasilkan karangan di antaranya ialah Tok Kelaba. Mengenai karyanya dapat dirujuk kepada Jurnal Filologi Melayu jilid 2, 1993, hlm. 47-54.

Sahabat Tok Kelaba al-Fathani yang juga menghasilkan beberapa judul karya, yang telah dijumpai ada lima judul, di antaranya: Minhaj al-Qawim Pada Menyatakan Hisab dan Taqwim, diselesaikan tahun 1310 H/1892 M. Karya terakhir yang telah dijumpai ialah Al-Futuhat al-Ilahiyah, diselesaikan tahun 1317 H/1899 M.

Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang pernah menjadi Sheikh al-Islam Selangor termasuk ulama Patani yang banyak menghasilkan karya, sama ada dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu.

Keseluruhan karya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani yang ada dalam senarai penulis adalah 10 judul.

Ulama yang berasal dari Kelantan yang mewakili peringkat ketujuh ini ialah Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani. Beliau adalah saudara ipar kepada Tuan Tabal, juga guru dan ayah saudara kepada Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sheikh Wan Ali Kutan menghasilkan beberapa buah karya, yang terawal ialah Al-Jauhar al-Mauhub wa Munabbihat al-Qulub, yang merupakan syarah Matn Lubab al-Hadits karya Syeikh Jalaluddin as-Suyuthi yang terkenal, diselesaikan tahun 1306 H/1888 M, dan karya yang terakhir ialah Majma’ al-Qashaid wa al-‘Awaid, diselesaikan tahun 1320 H/1902 M. Keseluruhan karya Sheikh Wan Ali al-Kalantani yang ada dalam senarai penulis adalah tujuh judul.

Ulama yang berasal dari Aceh dalam peringkat ketujuh ialah Sheikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi.

Keseluruhan karya beliau yang ada dalam senarai penulis adalah empat judul.

Ulama yang berasal dari Palembang pula ialah Sheikh Fakhruddin. Karya beliau ialah Syarh Fath ar-Rahman diselesaikan pada 16 Syaaban 1297 H. Salah sebuah manuskrip judul ini ditemui di Pontianak, Kalimantan Barat, penulis telah serahkan kepada PMMPNM, dengan nombor kelas MS 1731.

Ulama Palembang yang lain ialah Sheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani. Di antara karya yang dihasilkan ialah ‘Aqaid al-Iman, diselesaikan tahun 1309 H/1891 H. Sebenarnya ada sebuah karya beliau yang tahunnya jauh lebih awal iaitu ‘Athiyat ar-Rahman, diselesaikan tahun 1259 H/1843 M.

Namun, oleh sebab tahun 1259 H/1843 M yang dinyatakan dalam cetakan itu sangat jauh jaraknya dengan karya-karyanya yang lain, maka sangat diragui tentang kesahihannya.

Karya Sheikh Muhammad Azhari Palembang yang terakhir ialah Bidayat ar-Rahman, diselesaikan tahun 1324 H/ 1906 M.

Ulama yang berasal dari Minangkabau ialah Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minankabawi. Beliau menghasilkan karya dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Ulama yang berasal dari Riau-Lingga ialah Sheikh Muhammad bin Muhammad Yunus Lingga, digelar dengan Qus bahasa Melayu pada zamannya. Karya yang pernah dihasilkan adalah empat judul. Dua judul di antaranya yang terawal ialah Daqaiq al-Akhbar, diselesaikan pada 20 Muharam 1312 H/1893 M, Nashihat Ahl al-Wafa, diselesaikan pada 11 Syawal 1312 H/1894 M, dan yang terakhir ialah Hadiqat ar-Raihan, diselesaikan tahun 1313 H/1895 M.

Ulama yang berasal dari Pontianak ialah Sheikh Uthman bin Syihabuddin al-Funtiani. Karya terawal ialah Taj al-‘Arus, diselesaikan tahun 1304 H/1886 M. Karya terakhir tiga judul yang diselesaikan dalam tahun 1324 H/1906 M ialah: Irsyad al-‘Ibad, Nur al-Anwar, dan Fath al-Mutafakkirin.

Keseluruhan karya beliau lagi ialah Sheikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani, yang menghasilkan tiga karya, iaitu: Bab al-Jum’ah, diselesaikan tahun 1316 H/1898 M, Tuhfat al-Raghibin, diselesaikan tahun 1319 H/1901 M, dan Nuz-hat ath Tharaf, diselesaikan tahun 1321 H/1903 M.

Peringkat kelapan

Peringkat Kelapan dimulai dengan keterlibatan ulama-ulama serta tokoh-tokoh dunia Melayu menyalurkan pemikirannya dalam penulisan majalah-majalah yang mereka asaskan. Mengenai ini bermula dengan majalah Al-Imam di Singapura mulai terbit 1 Jamadilakhir 1324 H/Julai 1906 M. Mudir yang pertama ialah Sheikh Muhammad al-Kalali.

Pada keluaran berikutnya Rejab 1324 H/Ogos 1906 M, dinyatakan nama pengarangnya Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Diikuti majalah Al-Munir oleh ulama-ulama Minangkabau. Terbitan pertama majalah Al-Munir di Padang pada 11 April 1911 M. Majalah yang paling lama dapat bertahan ialah majalah Pengasuh, diterbitkan oleh Majlis Ugama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, bermula bulan 11 Julai 1918 M hingga sekarang.

Ketua pengarang majalah Pengasuh yang pertama ialah Tok Kenali. Beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang Pengasuh mulai keluaran pertama hingga bilangan 32, tahun kedua 9 Oktober 1919 M. Selain menulis dalam majalah, ulama-ulama pada peringkat kelapan ini juga menulis risalah-risalah agama Islam.

Peringkat kesembilan

Penulisan abad ke 20-21 M, pada abad ini tradisi penulisan mengalami perubahan besar disebabkan berbagai-bagai masalah. Terutamanya menggunakan tulisan Melayu/Jawi, digunakan juga tulisan Rumi/Latin.

Peringkat kelapan bolehlah kita anggap dimulakan menjelang Indonesia merdeka (1945), iaitu sesudah perang dunia yang kedua, hingga sekarang ini. Tokoh ulama yang muncul sebagai penulis pada peringkat kesembilan ini sangat ramai dan karya yang dihasilkan sangat banyak dalam berbagai-bagai disiplin keilmuan.

Di antara mereka seumpama Prof. Dr. Hamka, Prof. Dr. M. Hasbi Ash-Shidqi, Haji Abu Bakar Aceh, dan ramai lagi.

Mengenai mereka dan karya-karya yang demikian banyak belum dibicarakan dalam artikel yang ringkas ini.

Peringkat kesepuluh

Peringkat Kesepuluh ini adalah melibatkan kerja-kerja penulis yang berusaha mengumpul dan mendokumentasikan seluruh aktiviti ulama-ulama dunia Melayu dari Peringkat pertama hingga ke peringkat kesembilan.

Hasil kajian tersebut bertujuan disebarkan kepada masyarakat dalam berbagai-bagai bentuk dan coraknya, mulai dengan keklasikkan keasliannya hingga dalam bentuk perkembangan moden sekarang ini.

Penulisan pertama penulis bermula tahun 1390an Hijrah/1970-an Masihi, lebih kurang 100 tahun setelah kebangkitan perjuangan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (Peringkat Ketujuh).

Semua program mengenai ini sudah disusun sejak lama, tetapi pada awal perjuangan pelaksanaan tersekat-sekat kerana belum mendapat tajaan yang padu dan mantap yang saling mengerti ke arah yang dicita-citakan.

Sangat banyak rintangan yang ditempuh, kesabaran dan tawakal dijadikan modal yang paling utama untuk hasil yang dimaksudkan. Walau bagaimana pun mulai tahun 1990, sekelian rintangan nampaknya telah sirna. Hingga kini (2006 M) semua usaha berjalan lancar, telah banyak buku mengenai penyelidikan dapat diperkenalkan.

Penulis menghasilkan ratusan judul karya dalam pelbagai koleksi, antaranya adalah koleksi Transliterasi Kitab, koleksi kertas kerja ulama, koleksi Pengenalan Bersiri, koleksi Biografi Ulama Asia Tenggara, koleksi Kitab Arab dan Melayu/Jawi, koleksi Kitab Wakaf, koleksi surat dan pelbagai dokumen, koleksi Artifak Warqah, maklumat berupa manuskrip, gambar dan lain-lain.

Koleksi karya ilmiah adalah artikel dalam Utusan Malaysia, Berita Harian, Majalah Dian, Dewan Budaya, Dakwah, Al-Islam, dan Kiblat. Namun, untuk judul-judul penuhnya tidak dapat disebutkan selengkapnya dalam ruangan yang terbatas ini.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J5mAbAhs
© Utusan Melayu (M) Bhd


Pengaruh Dan Pemikiran Saidina Ali di Alam Melayu

oleh Wan Muhd Shoghir

DALAM surat sebaran Borang Pendaftaran Seminar Khazanah Pemikiran Islam yang dianjurkan oleh InfoTaiment Enterprise, pada 21 Julai 1996, jelas disebutkan, “Di dalam Perspektif Sejarah Islam di Alam Melayu, Saidina Ali lebih ditonjolkan sebagai manusia yang perkasa …” Mengenai yang tersebut adalah merupakan pengaruh sebuah hikayat yang tidak diketahui nama pengarangnya, hikayat tersebut dikenali dengan judul Hikayat Ali Hanafiyah. Hikayat tersebut terdapat beberapa versi, ditulis dalam tulisan Melayu/Jawi dan sejak dulu telah diusahakan penglatinan/pengrumiannya.

Dalam ruangan ini penulis tidak akan membicarakan perkara yang sudah cukup banyak dikenal oleh masyarakat, terutama oleh para pengkaji sastera, tetapi cuba untuk memperkenalkan tulisan-tulisan klasik yang bersumberkan dari beberapa tulisan para ulama’ alam Melayu sendiri. Ini bererti adalah merupakan sumber yang kukuh jika dibandingkan dengan Hikayat Ali Hanafiyah yang tidak jelas nama pengarang yang disebutkan di atas.

Sungguhpun demikian yang ditulis oleh para ulama’ bukanlah merupakan kitab yang khusus membicarakan seluruh aspek yang bersangkutpaut dengan Saidina Ali, tetapi adalah merupakan tulisan-tulisan yang dimasukkan dalam karya-karya dalam berbagai-bagai disiplin ilmu, terutama: tarikh, akidah dan tasauf. Selain itu juga dalam karya-karya berupa fiqh, hadis, dan lain-lain.

Pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi dalam berbagai-bagai jurusan. Bermula dari pengaruh beliau sendiri hinggalah keturunan-keturunannya sebagai penyebar Islam di alam Melayu, dan juga mereka telah berhasil menjadi sultan (ketua pemerintahan) dalam banyak kerajaan di alam Melayu ini.

Untuk menulis tentang pengaruh beliau di alam Melayu tidaklah begitu sukar, tetapi untuk mengemukakan pemikiran beliau memang merupakan persoalan yang sukar jika kita tidak tekun dalam dunia pengkajian.

Adapun mengenai pemikiran keturunan beliau juga bukanlah persoalan yang sukar sangat untuk membuktikannya, tidak dapat kita nafikan bahawa sangat ramai keturunan Saidina Ali di Alam Melayu menjadi ulama yang mengarang kitab.

Sebagai contoh termasuk Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Hamid Kudus dan ramai lagi, adalah ulama-ulama besar Alam Melayu yang nasabnya bersambung kepada Saidina Ali bin Abi Talib.

Dua nama yang tidak terdapat pada sahabat- sahabat selain beliau

Terdapat dua sebutan atau gelaran yang ada pada Saidina Ali yang tidak terdapat pada para sahabat Nabi Muhammad SAW, yang dimaksudkan barangkali bukan hanya dunia Melayu saja, tetapi juga di seluruh dunia Islam.

Dua nama itu ialah: “Karramallahu wajhah”, dan “Imam Masyariq wal Magharib”.

Mengenai gelaran pertama di hujung nama Saidina Ali dengan “Karramallahu wajhah”, memang tidak pernah digunakan untuk sekian ramai sahabat Nabi Muhammad SAW, gelaran tersebut khusus untuk beliau seorang saja.

Untuk sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW selain Saidina Ali, sama saja baik memangku pangkat tertinggi sebagai khalifah mahupun sebagai sahabat biasa, hanya menggunakan nama “Radhiyallahu ‘anhu”.

Kebanyakan karya ulama tradisional Melayu, dalam apa saja disiplin ilmu yang mereka tulis, apabila terdapat nama Saidina Ali adalah memakai nama “Karramallahu wajhah” itu. Bahkan demikian juga jika kita buka semua kitab-kitab golongan sunni selain yang ditulis oleh ulama Alam Melayu.

Sama ada disedari mahu pun tidak, diakui ataupun tidak, ini adalah satu bukti bahawa Saidina Ali bin Abi Talib, memang ada ciri khas daripada sahabat-sahabat yang lain. Bahawa beliau mendapat tempat tersendiri di dalam perasaan lubuk hati yang tersembunyi umat Islam dunia Melayu khasnya dan umat Islam antarabangsa amnya.

Bahkan kadang-kadang sewaktu tuan guru-tuan guru Melayu mengajar dijelaskan juga sebab-sebab dinamakan dengan “Karramallahu wajhah” itu, iaitu dua sebab. Pertama: Kerana beliau seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil dan beliau masuk Islam secara fitrah sejak kecil lagi. Sebab yang kedua ialah: bahawa Saidina Ali bin Abi Talib tidak pernah melihat kemaluannya sendiri.

Gelaran yang sangat menonjol untuk Saidina Ali yang kedua ialah: “Imam Masyariq wal Magharib”, yang membawa maksud; Imam seluruh kawasan timur dan barat. Gelaran ini pun tidak pernah wujud untuk sahabat-sahabat yang lain selain beliau. Sebelum munculnya era pembaharuan Islam di Alam Melayu, sebutan itu sentiasa dibaca dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat.

Sehingga sekarang pun sebutan itu di beberapa tempat di Alam Melayu yang masih belum begitu terserap pengaruh pembaharuan tajdid masih digunakan dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat. Mengenai ini juga dapat diambil kira sebagai pengaruh Saidina Ali yang begitu besar bagi masyarakat Islam dunia Melayu sehingga tetap mengakui sebagai “Imam Timur dan Barat”.

Keagungan nama dalam karya sejarah

Sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW sangat banyak dihasilkan oleh ulama Alam Melayu, tetapi sejarah yang bercorak lengkap mulai lahir hingga wafat boleh dikatakan sangat langka. Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani boleh dikatakan termasuk dalam kategori ulama Alam Melayu peringkat awal menulis sejarah Nabi Muhammad SAW mulai lahir hingga wafat.

Terkumpul dalam kitab berjudul, Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan 9 Rabiulakhir 1307 H di Mekah, bahawa Fasal Yang Kedua membicarakan: “Manaqib Saidatina Fatimah Radhiyallahu ‘anha”. Diikuti dengan Fasal Yang Ketiga mengenai: “Manaqib Dua Penghulu Sekelian Orang Muda-muda Ahli Syurga Saidina Hasan dan Saidina Husein Radhiyallahu ‘anhuma”, dan yang terakhir sekali, iaitu Fasal Yang Ketujuh mengenai: “Manaqib Panglima Yang Amat Berani Saidina Ali Karramahullahu Wajhah”.

Kitab yang memperkenalkan kehebatan Saidina Ali pula ialah karya berjudul, Nurul Anwar, diselesaikan pada 16 Rejab 1320 di Thaif, oleh Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani.

Dalam karya ini separuh daripada kandungannya menceritakan kisah Saidina Ali. Judul-judul perbicaraan ialah “Fasal Saidina Ali Islam Dalam Usia 13 Tahun”, “Fasal Saidina Ali Mempunya Perkataan Jadi Pengajaran”, “Fasal Setengah Daripada Berani Perang Saidina Ali”, “Fasal Perang Jamal, “Fasal Perang Siffin”, “Fasal Bersangat Besar Berperang Dan Sebab Jatuh Berbaik Antara Dua Askar”, dan “Fasal Menyatakan Perang Saidina Ali Akan Orang Khawarij”.

Penulis akui sebelum kedua-dua karya tersebut, memang telah ditulis banyak maklumat mengenai Saiyidina Ali dalam bahasa Melayu ditulis oleh Seikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi bukan merupakan dalam karya sejarah yang khusus melainkan ditempatkan dalam karya-karya akidah.

Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengawali perbahasan mengenai Saidina Ali, beliau menulis, “… adalah kuniyahnya Abul Hasan dan Abu Turab anak Abi Talib anak Abdil Mutalib anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan ibunya Fatimah binti Asad anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan Islam ia padahal umurnya tujuh tahun, kata qil sembilan [tahun], kata qil sepuluh tahun …”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut juga bahawa anak Saidina Ali semuanya 15 orang lelaki dan 19 perempuan, jadi jumlah semua 34 orang. Mereka ialah: Hasan, Husein, Muhsin, Zainab, Ummu Kaltsum, ibu mereka ialah Saidatina Fatimah. Muhammad Akbar, Muhammad Hanafiyah, Abdullah, Abu Bakar, ibu mereka ialah Laili. Abbas, Utsman, Ja’far, Abdullah, ibu mereka ialah Ummul Banin anak Hazam. Muhammad Asghar, ibunya adalah dari seorang sahaya. Yahya, Aun ibunya ialah Asma’ binti Umaisy. Umar Akbar, Ruqaiyah, ibunya ialah Sahba’.

Muhammad al-Ausat, ibunya ialah Umamah binti Abil ‘As. Ummul Husein, Ramlah, ibunya Ummu Sa‘id binti Urwah. Umamah, Khadijah, Ummul Kiram, Ummu Ja‘far, Humanah/Jumanah, Nafisah dan seorang lagi anak beliau yang perempuan mati kecil (Fathul Mannan, hlm 35). Walaupun jumlah sebenarnya 34 orang, tetapi yang disebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab tersebut hanya 27 orang saja.

Sungguhpun kitab Badrut Tamam karya Sheikh Ahmad al-Fathani tidak begitu tebal, namun terdapat beberapa riwayat yang menarik dan jarang dijumpai dalam buku-buku moden sekarang ini.

Di antara peranan Saidina Ali yang diceritakan dalam Badrut Tamam, yang masih berpengaruh kepada masyarakat Alam Melayu, dan banyak diceritakan orang ialah peristiwa ketika Rasulullah akan berhijrah dari Mekah ke Madinah yang pada malam itu ditugaskan Saidina Ali mengganti beliau tidur di atas tempat tidur baginda. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memaparkan cerita tersebut merujuk kepada perkataan Ibnu Ishaq (Badrut Tamam, ibid hlm. 19).

Dalam Badrut Tamam juga Sheikh Ahmad al-Fathani menceritakan peranan Saidina Ali dalam upacara ketika baginda Rasullullah wafat. Beliau menulis, “Dan memandikan dia SAW oleh Saidina Ali bin Abi Talib, dan Saidina al-Abbas bin Abdul Mutalib, dan al-Fadhal bin al-Abbas, dan Qatsam bin al-Abbas, dan Usamah bin Zaid dan Syaqran sahaya Rasulallah SAW.

“Maka adalah Saidina Ali menyandarkan dia dan membasuhkan dia. Dan al-Abbas, dan al-Fadhal, dan Qatsam membalik-balikan dia. Dan Usamah dan Syaqran menuangkan air atasnya. Dan sekalian mata mereka itu dibarutkan.

“Diriwayatkan daripada Saidina Ali, bahawasanya berkata ia, “Telah berwasiat akan daku oleh Rasulullah, bahawa tiada memandikan dia lain daripadaku. Maka bahawasanya tiada melihat seseorang akan auratku, melainkan dihimpuskan dua matanya” (Badrut Tamam, hlm. 25).

Ketika mengkebumikan Nabi Muhammad SAW, menurunkannya ke kubur juga dilaksanakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, yang dibantu oleh al-Abbas, al-Fadhal, Qatsam dan Aus bin Khauli nenek Bani ‘Auf. (Badrut Tamam, hlm. 26).

Memperhatikan riwayat di atas dapat dinilai bahawa Saidina Ali adalah berperanan terhadap Rasulullah dalam keseluruhan perjuangan beliau, sama ada ketika hidup hinggalah tamat riwayat baginda.

Perkara yang dipetik tersebut adalah termaktub dalam Fasal Pertama Badrut Tamam, ada pun pada bahagian biografi Saidina Ali sendiri (Fasal Ketujuh dalam Badrut Tamam) lebih banyak maklumat mengenai Saidina Ali. Dimulai daripada beliau di dalam kandungan sehingga kewafatannya.

Adapun Nurul Anwar karya Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani nampaknya lebih banyak memperkenalkan peperangan-peperangan yang diperanani oleh Saidina Ali, sama ada peperangan itu bersama-sama Rasulullah SAW ataupun peperangan yang dipimpin oleh Saidina Ali sendiri.

Sangat banyak juga perkara yang disebutkan oleh Sheikh Utsman al-Funtiani yang tidak tersebut dalam buku-buku sejarah Islam moden. Ini sebagai bukti pembacaan ulama silam dunia Melayu memang luas.

Di antara yang menarik bagi penulis, bahawa disebut dengan jelas nama musuhnya setiap peperangan yang terjadi antara Saidina Ali dengan lawannya. Dalam peristiwa perang antara pihak penyokong Saidina Ali dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, nampaknya sangat lengkap nama disebut satu persatu. Bererti daripada kitab ini kita dapat menyenaraikan siapa di antara sahabat Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyokong Saidina Ali dan siapa pula sebagai penyokong Mu’awiyah.

Demikian halnya perselisihan antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah r.a semua yang berpihak dan penentang disebut dengan jelas. Dalam sekian banyak kitab Melayu/Jawi dalam kajian penulis, kitab Nurul Anwar tersebut adalah satu-satunya kitab yang membicarakan perkara itu.

Bahkan bagi pengamatan penulis bahawa sampai sekarang buku yang ditulis dalam bahasa Indonesia atau Melayu moden memang belum dijumpai perbicaraan yang agak jelas seperti itu.

Penutup

Perbicaraan mengenai pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di alam Melayu ini masih banyak yang perlu diperkenalkan lagi.

Oleh itu disebabkan keterbatasan ruangan ini, maka perbicaraan tersebut pula akan dilanjutkan pada keluaran seterusnya dengan menyentuh mengenai nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW pada konteks ilmu kalam dan pada konteks ilmu tasawuf.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J6IkaAyS
© Utusan Melayu (M) Bhd


Saidina Ali Dalam Karya-karya Melayu

oleh Wan Muhd Shoghir

PERBICARAAN ini adalah rentetan daripada judul terdahulu iaitu Pengaruh dan Pemikiran Saidina Ali di Alam Melayu: Satu Analisis Berdasarkan Karya-Karya Klasik Melayu, yang mana telah dibicarakan mengenai dua nama Saidina Ali K.W yang tidak terdapat pada sahabat-sahabat lain dan keagungan nama beliau dalam karya sejarah.

Dalam perbicaraan tersebut juga dinyatakan bahawa pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi berbagai-bagai jurusan, sehingga ramai ulama-ulama silam Alam Melayu menghasilkan karya-karya mengenai beliau.

Kesinambungan dari itu, diperkenalkan pula pengaruh Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks pelbagai ilmu, iaitu ilmu Kalam, ilmu Hadis Nabi SAW dan ilmu Tasawuf.

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks ilmu kalam

Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengemukakan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah pertikaian antara Saidina Ali dengan Mu’awiyah, iaitu, “Sudah ijma’, adalah Saidina Mu’awiyah dan yang mengikut dia melawan Saidina Ali jadi “taifah baghiyah”, tetapi nyata mereka itu kemudiannya kerana adalah Nabi sudah mengkhabarkan, yakni daripada hal Saidina ‘Ammar. Dengan sabdanya: “Lagi akan membunuh akan dia oleh “taifah baghiyah”.

Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menjelaskan, “Maka ia serta jemaah Saidina Ali, maka yang membunuh akan dia oleh jemaah Saidina Mu’awiyah. Maka nyata Saidina Ali ia yang sebenar khalifah dan Saidina Mu’awiyah melawan imam lagi khalifah. Tetapi tiada berdosa sebab ijtihad dan tiada diambil kesalahan mereka itu, kerana jika belum nyata diberi pahalanya satu, iaitu pahala ijtihad jua”.

Daripada tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tersebut, sangat jelas bahawa telah sepakat ulama Ahlus Sunnah wal Jama’ah bahawa Saidina ‘Ammar yang berpihak kepada Saidina Ali adalah dibunuh oleh pengikut Saidina Mu’awiyah, bukan dari pihak lainnya.

Tetapi pada zaman sekarang ada pihak-pihak tertentu mendakwakan dirinya golongan Ahlus Sunnah wal Jama’ah, tetapi memutarbelitkan sejarah bahawa mereka mengatakan terbunuhnya Saidina ‘Ammar bukan daripada pihak pengikut Saidina Mu’awiyah, tetapi adalah pengikut-pengikut Abdullah bin Saba’.

Kenyataan seperti tersebut ini tidak seorangpun ulama Ahlus Sunnah wal Jama’ah zaman silam, sama ada ulama silam dunia luar, mahupun ulama silam dunia Melayu.

Pendapat yang demikian jelas suatu pembohongan sejarah yang mesti ditolak kerana tidak terdapat rujukan dalam kitab-kitab yang muktabar yang dikarang oleh ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama’ah sendiri, baik yang ditulis dalam bahasa Arab mahupun yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebagaimana ulama-ulama Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang lain, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani berpandangan mengenai perselisihan antara para sahabat Nabi SAW memperingatkan kepada kaum Muslimin terutama golongan awamnya, kata beliau: “Dan barang yang berlaku antara sahabat perangan, kita diam daripadanya, Dan pahala ijtihad mereka itu kita i’tiqad diberi pahalanya.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mentafsirkan dalam Fathul Mannan, iaitu “Yakni barang yang berlaku bantahan dan perangan yang berbunuh padanya beberapa banyak sahabat dan lainnya, antara setengah sahabat dengan setengahnya, seperti hasil perang Saidina Ali dan Saidina Mu’awiyah, dan antara Saidina Ali dengan Siti Aisyah, wajib kita diamkan daripada masuk berkata jika tiada tahu ta’wilnya … “.

Dijelaskan lebih lanjut dalam Warduz Zawahir, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “Ketahui olehmu, adalah bahas barang yang berlaku antara bersalahan sahabat setengah dengan setengahnya, dan yang muafakat mereka itu demikian jua, tiada daripada ‘aqaid agama. Dan tiada pula daripada ‘aqaid kalam. Dan tiada pula daripada barang yang memberi manfaat pada agama tetapi adalah terkadang memberi mudarat jua dengan yakin. Dengan sebab itulah kata Umar bin Abdul Aziz, bahawa demikian itu, yakni “berbunuh antara sahabat darah yang disucikan oleh Allah daripadanya segala pedang kita “.

Maka jangan kita khilaf dengan lidah kita. Dan tiada harus pula kita masuk padanya bicarakan melainkan kerana mengajar atau kerana hendak menolakkan akan orang yang marahkan mereka itu, atau mengaji kutub (maksudnya: kitab-kitab) yang terkandung atas demikian ceriteranya. Ada pun orang yang awam maka tiada harus bagi mereka itu masuk padanya kerana sangat jahil mereka itu dan ketiadaan mengetahui ta’wilnya. Dan wajib atasmu ketika membicara pada barang yang perkelahian antara mereka itu menjauh akan penyakit hasad … “.

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW

Dimaksudkan dengan judul ini dapat dibahagi kepada dua kelompok, iaitu: Pertama: karya Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu yang terdapat hadis Nabi SAW yang menyebut nama Saidina Ali padanya ataupun yang bersumberkan dari riwayat beliau. Kelompok yang pertama ini jumlahnya sangat banyak.

Kedua pula: karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, juga termasuk perkara yang boleh dikatakan nadir.

lContoh bagi kelompok pertama, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut beberapa hadis yang ada hubungan dengan Saidina Ali, namun di sini tidak dapat dipaparkan hadis-hadis tersebut, melainkan terjemahan sahaja. Antara hadis yang menurut terjemahan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab Badrut Tamam, iaitu “Aku benua ilmu dan Ali itu pintunya”. Selanjutnya dikomentarkan, “Dan berkata Abdullah bin Abbas, “Tiada aku dan ilmu segala sahabat Muhammad SAW pada Ali RA, melainkan satu titik pada tujuh laut”. Manakala hadis yang lain, terjemahan menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kitab Badrut Tamam, iaitu “Barang siapa aku ini adalah penghulunya, maka Ali itu penghulunya pula”. Selanjutnya Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut, “Dan beberapa banyak datang padanya hadis yang lain daripada ini, dan turun padanya beberapa ayat daripada Quran tiada hamba sebutkan kerana ikhtisar.”Di antara tulisan Sheikh Utsman al-Funtiani dalam Nurul Anwar, mengenai hadis yang ada hubungan dengan Saidina Ali, beliau menulis, “Sungguhnya datang ayat dan hadis pada kelebihan Saidina Ali RA … Setengah daripada hadis Nabi SAW.”Terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani daripada Hadis Nabi SAW tersebut, iaitu “Seorang kasih ia akan Saidina Ali maka sungguhnya kasih ia akan daku. Dan seorang kasih ia akan daku maka sungguhnya kasih ia akan Allah Taala. Dan seorang murka ia akan Saiyidina Ali R.A maka sungguhnya murka ia akan daku. Maka seorang murka ia akan daku maka sungguhnya murka ia akan Allah, sebenarnya murka Allah azab di dalam neraka.” Dan setengah daripada hadis lagi, terjemahan menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, iaitu “Ali daripada aku menempati kepala daripada badanku”.Sheikh Utsman al-Funtiani menutup perbicaraan ini sama maksudnya dengan kalimat yang digunakan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani. Menulis Sheikh Utsman al-Funtiani, dalam Nurul Anwar, “Dan sungguhnya beberapa banyak ayat Quran dan hadis pada menyatakan kelebihan Saidina Ali RA …”. Adapun “beberapa ayat Quran” ada hubungan dengan Saidina Ali KW, yang diberikan maklumat oleh kedua-dua ulama alam Melayu itu, Sheikh Utsman al-Funtiani memberikan contoh sebab turun ayat 274, surah al-Baqarah, terjemahannya: Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita. Menurut Sheikh Utsman al-Funtiani, “Berkata Saidina Abdullah bin Abbas RA adalah bersama-sama Saidina Ali empat dirham, tiada mempunya yang lainnya, maka bersedekah ia dengan satu dirham siang hari dan satu dirham pada malam, dan satu dirham sirran (tersembunyi) dan satu dirham jiharan (nyata), maka menurun Allah Taala … (maksudnya ayat Quran tersebut)”.

lAda pun kelompok yang Kedua: karya Melayu yang khusus mengenai hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali, yang dikumpulkan dalam sebuah risalah pernah ditulis dan disebarkan oleh seorang ulama besar keturunan Nabi Muhammad SAW, beliau ialah Saiyid Utsman Betawi atau lebih terkenal dengan sebutan Mufti Betawi. Karya beliau khusus mengenai ahlil bait diberi judul Hadits Keluarga. Karya beliau ini merupakan hadis ahlil bait yang pertama sekali diperkenalkan ke dalam bahasa Melayu-Betawi. Walaupun risalah tersebut tipis saja, tetapi sangat besar pengaruhnya dan menjadi pegangan seluruh keturunan Nabi Muhammad SAW, iaitu keturunan yang melalui perkahwinan antara Saidina Ali dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad SAW yang berada di Alam Melayu terutama sekali di Pulau Jawa. Hingga kini memang belum dijumpai kumpulan hadis seumpamanya dalam bahasa Melayu. Beberapa contoh kandungannya tidak dapat diperkenalkan, hanya penulis simpulkan saja bahawa karya ini ditulis dengan lafaz hadis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu. Selain karya Saiyid Utsman Betawi, terdapat lagi sebuah karya judul Nasihatu Ahlil Wafa ‘ala Wasiyatil Mustafa, yang diselesaikan 11 Syawal 1312 H di Mekah oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Kandungannya merupakan wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ali. Setelah mukadimah dimulai dengan perkataan Saidina Ali menulis, Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, “Telah berkata Saidina Ali K.W, “Telah memanggil akan daku Rasulullah SAW maka bersunyi aku sertanya di dalam rumahnya, maka sabdanya, “Hai Ali engkau daripadaku seperti tempat Musa daripada Harun Alaihimas Salam melainkan tiada Nabi kemudian daripadaku. Bahawasanya aku wasiat akan dikau pada ini hari dengan beberapa wasiat, jika engkau memelihara akan dia nescaya hiduplah engkau dapat kepujian dalam dua negeri dan jika mati engkau syahid …” Wasiat yang termaktub dalam risalah/kitab Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga itu mengandungi beberapa fasal semuanya bermula dari perkataan, “Hai Ali”. Dan ditutup dengan perkataan, “Hai Ali, pelihara olehmu akan wasiatku dan amal olehmu dengan dia adalah engkau itu daripada orang yang muttaqin …” Karya yang ditulis oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga tersebut beberapa hadis di antaranya pernah dimuat oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam karya beliau yang berjudul Jam’ul Fawaid.

Nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks ilmu tasawuf

Diriwayatkan bahawa sewaktu Rasulullah akan hijrah, Saidina Ali diperintahkan supaya menunggu di atas tempat tidur baginda, ketika itulah Rasulullah mengajarkan zikir ismuz zat kepada Saidina Ali K.W, zikirnya adalah dibaca secara sir. Tersebut dalam sebuah manuskrip yang ditulis di bahagian akhir kitab Bidayatul Hidayah karya Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh), versi salinan Sheikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, dipercayai adalah karya beliau, iaitu:

“Maka adapun asal tempat bersandar Masyaikh pada mengajar muridnya zikir ‘La ila Ha illallah’ pada jalan seseorang itu, iaitu ceritera daripada Saidina Ali ibni Abi Thalib Radhiyallahu ‘anhu tatkala ia berahi kepada menghampirkan dirinya kepada Allah Ta’ala, maka lalu ia berdatang sembah kepada Rasulullah SAW: (Di sini tidak dapat dipaparkan kalimat asalnya dalam bahasa Arab, hanya terjemahannya saja)

lTerjemahannya: “Ya Rasulallah, tunjuk olehmu akan daku atas sehampir-hampir daripada segala jalan kepada Allah dan semudah-mudahnya atas segala hamba-Nya dan selebih-lebihnya pada Allah Ta’ala”

lTerjemahannya: “Sabda Nabi SAW, “Ya Ali tetap olehmu zikrullah dalam segala khalwat”

lTerjemahannya: “Maka sembah Amirul Mu’minin Ali R.A, “Ya Rasulullah, demikian kiranya fadhilat zikir padahal adalah segala manusia itu menyebut zikrullah mereka itu”

lTerjemahannya:”Maka sabda Nabi SAW, “Diamlah engkau hai Ali, tiada berdiri kiamat itu padahal atas bumi ini orang yang menyebut Allah, Allah”. “Maka sembah Amirul Mu’minin Ali RA, “Betapa aku zikir Ya Rasulallah ?”

lTerjemahannya: “Sabda Nabi SAW, “Hai Ali pejamkan olehmu kedua matamu dan dengarkan olehmu daripada aku, tiga kali, kemudian dari itu kata olehmu, tiga kali, padahal aku mendengar daripadamu”

lTerjemahannya: “Maka zikirlah Nabi SAW ‘La ila Ha illallah’ tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Amirul Mu’minin Ali RA mendengar dia”

lTerjemahannya: “Kemudian dari itu maka zikirlah Amirul Mu’minin Ali RA kalimah ‘La ila Ha illallah’ tiga kali, padahalnya memejamkan kedua matanya dan menyaringkan suaranya dan Nabi S.A.W mendengar dia”.

Inilah asal isnad segala Masyaikh mengajar muridnya zikir dengan kalimah ‘La ila Ha illallah’ padahal sama seorang dengan muridnya …”.

Hujah yang tersebut menjadi pegangan yang kukuh penganut tarekat Alam Melayu, yang takkan tergoyahkan oleh propaganda pihak yang kontroversi dengan tarekat yang mereka amal. Apabila kita kaji hampir semua tarekat mu’tabarah Alam Melayu, sebahagian besar bersanad/bersalasilah kepada Saidina Ali KW. Bermula dari Rasulullah SAW, turun kepada Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya, iaitu: dari Saidina Ali KW turun kepada anaknya Saiyidina Husein, turun kepada Imam Zainal Abidin, turun kepada Imam al-Baqir, turun kepada Imam Ja’far as-Sadiq, sesudah ini turun kepada pelbagai pihak yang bukan keturunan mereka, namun tidak dapat diperjelaskan dengan selengkapnya di sini.

Untuk kejelasan lebih lanjut, dapat dilihat buku penulis berjudul Dhiyaul Murid, mengenai salasilah Thariqat Syathariyah, terbitan Khazanah Fathaniyah (1996), dimulai halaman 112.

Salasilah Thariqat Qadiriyah Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan salasilah Thariqat Qadiriyah Syeikh Ahmad Khatib Sambas, pada bahagian asal tarekat itu juga sama dengan Thariqat Syathariyah, iaitu berasal dari penurunan melalui Saidina Ali KW, turun kepada zuriat-zuriatnya.

Ada juga salasilah yang bermula dari Rasulullah SAW turun kepada Saidina Ali KW, tidak turun kepada zuriat beliau, tetapi turun kepada Hasan al-Basri, seperti terdapat pada Thariqat Qadiriyah Sheikh Zainuddin as-Sumbawi, yang sama pada bahagian atasnya dengan Thariqat Samaniyah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani.

Untuk perbicaraan ini pula dapat dilihat dalam buku penulis berjudul Al-‘Urwatul Wutsqa pada halaman 14, juga dalam buku berjudul Sheikh Abdus Shamad Palembang pada halaman 45. Perkara yang disebutkan mengenai salasilah tarekat ini adalah sebagai pengenalan ringkas saja, selengkapnya penulis muatkan dalam buku berjudul Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu’Tabarah Di Dunia Melayu, terbitan Khazanah Fathaniyah (2000).

Apa yang penulis nyatakan di atas tidak dipertikaikan oleh para ulama silam tradisional alam Melayu, kerana sumber-sumber yang diperkatakan terdapat rujukan-rujukan daripada kitab-kitab turas Islami. Tetapi selain yang tersebut, penulis mempunyai beberapa buah manuskrip Melayu mengenai tasawuf yang sangat erat hubungan dengan Saidina Ali KW, namun sangat sukar dirujuk kepada sumber-sumber muktabar, lagi pula manuskrip-manuskrip tersebut tidak dapat dikesan nama pengarang, di samping tulisan yang kurang memuaskan.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J6JCNnPu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bahasa Jawi/Melayu

Transliterasi Huruf Arab/Jawi ke Roman/Rumi
Arab/Jawi Roman/Rumi Baris Atas Baris Bawah Baris Depan
ا a a i u
ب b ba bi bu
ت\ة t ta ti tu
ث ts tsa tsi tsu
ج j ja ji ju
چ ch cha chi chu
ح h ha hi hu
خ kh kho khi khu
د d da di du
ذ dz dza dzi dzu
ر r ro ri ru
ز z za zi zu
س s sa si su
ش sy sya syi syu
ص sh sho shi shu
ض dh dho dhi dhu
ط th tho thi thu
ظ zh zho zhi zhu
ع ’a ’i ’u
غ gh gho ghi ghu
ڠ ng nga ngi ngu
ف f fa fi fu
ڨ p pa pi pu
ق q qo qi qu
ك k Ka ki ku
ڬ g ga gi gu
ل l la li lu
م m ma mi mu
ن n na ni nu
و w wa wi wu
ه h ha hi hu
لا l laa
ء
ي y ya yi yu
ڽ ny nya nyi nyu

Nisbah Perbangsaan

Al-Jawi – Tanah Jawi
Al-Fathoni – Fathoni Darussalam
Al-Kalantani – Kelantan
At-Tarkanu – Terengganu
Al-Qod-hi – Kedah   (asalnya al-Qodhi, ditambah ‘-‘ untuk elak kekeliruan)
Al-Filfulani – Pulau Pinang
Al-Juhuri – Johor
Al-Malakawi – Melaka
As-Sarawaqi – Sarawak
As-Sanqura – Senggora
As-Sanawi – Sena
Al-Karisiqi – Kerisik
Al-Laqihi – Legih
Al-Jambui – Jambu
Al-Jarimi – Jerim/Jaram
Al-Linqi – Linggi
At-Tankirawii – Tengkera
Al-Fahani – Pahang
As-Salanqur – Selangor
Al-Faraqi – Perak
Al-Farlisi – Perlis
Al-Malbari – Malabar/Malibar
As-Sumathra-i – Sumatera   (asalnya as-sumathrai)
Al-Asyi – Aceh
Al-Fansuri – Fansur
Al-Falimbani – Palembang
Al-Banjari – Banjar
Al-Minankabawi – Minangkabau
Al-Mandaili – Mandailing
Ar-Riyauwi – Riau
Ar-Rawi – Rawa/Rao
Al-Funtiani – Pontianak
Al-Bughri – Bogor
Al-Bantani – Banten
Al-Batawi – Betawi
Al-Maduri – Madura
As-Samarani – Semarang
As-Sambasi – Sambas
Al-Buthuni – Buton
As-Sumbawi – Pulau Sumbawa
Ar-Rafani – Rapang
al-Mankatsi – Makassar
al-Lankati – Langkat
Al-Qodiri – Thoriqot Qodiriyah
Al-Qodiri-Naqsyabandi – Thoriqot Qodiriyah-Naqsyabandiyah
Asy-Syathori – Thoriqot Syathoriyah
Asy-Syazili – Thoriqot Syaziliyah
Al-Khalwati – Thoriqot Khalwatiyah
As-Sammani – Thoriqot Sammaniyah
Al-Ahmadi – Thoriqot Ahmadiyah
As-Sanusi – Thoriqot Sanusiyah
Ad-Dusuqi – Thoriqot Dusuqiyah
Al-Muhammadi – Thoriqot Muhammadiyah
An-Naqsyabandi – Thoriqot Naqsyabandiyah
Al-Kholidi – Thoriqot Naqsyabandiyah Kholidiyah
An-Naqsyabandi Ahmadi/Muzhari/Mujaddidi – Thoriqot Naqsyabandiyah Ahmadiyah/Muzhariyah/Ahmadiyah

Sistem Ejaan Kitab Klasik Melayu/Jawi

oleh Wan Muhd Shoghir

SEBELUM mengemukakan sistem, bentuk atau corak ejaan kitab Melayu/Jawi Klasik, cabaran dan jawapannya, terlebih dahulu penulis ceritakan sejarah ringkas pengukuhan ejaan kitab Melayu/Jawi.

Selama ini para pengkaji hanya mengenal nama-nama seperti Frederick de Houtman (1599-1602), George Henrik Werndly (1736), William Marsden (1812), R.J.Wilkinson (1902),W.G. Shellabear (1901), Van Ronkel, Robinson, Elbinck, Van de Wall, Pieter Willemsz, R.O. Winstedt, Abdullah Munsyi, Za’aba dan ramai lagi.

Antara sekian banyak nama, hanya peranan ulama-ulama di Mekah atau Asia Barat, terutama Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani selaku orang yang pertama menggarap kitab-kitab Melayu/Jawi sehingga dicetak dan disebarkan secara besar-besaran atas perbelanjaan Kerajaan Turki-Uthmaniyah tidak pernah dibicarakan.

Oleh itu, di sini penulis cuba memperkenalkan pemikiran beliau mengenai tulisan Melayu/Jawi dan sebuah karyanya yang berjudul Daftar Cakap Melayu.

Daftar Cakap Melayu adalah catatan-catatan perkataan-perkataan orang Melayu oleh Sheikh Ahmad al-Fatani tahun 1288 H/1871 M sewaktu beliau memulakan pekerjaan pentashihan kitab di Kaherah, Mekah dan Istanbul.

Naskhah aslinya telah hilang, tetapi yang telah dijumpai sebahagian salinan yang dilakukan oleh salah seorang kadernya, iaitu Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fatani (Tok Kelaba), tahun penyalinan 1354 H/1935 M.

Perkataan-perkataan Melayu menurut abjad Arabiyah dimulai dari huruf alif dan berakhir huruf ya’, juga dengan tambahan empat huruf yang tidak terdapat dalam tulisan Arab itu. Banyak kosa kata klasik yang terdapat dalam daftar Sheikh Ahmad al-Fatani itu tetapi tidak terdapat dalam kamus-kamus yang ada sekarang ini.

Keterampilan beliau dengan Daftar Cakap Melayunya seolah-olah lanjutan daripada Raja Ali Haji yang pernah menghasilkan Kitab Pengetahuan Bahasa, yang pernah diterbitkan oleh Al-Ahmadiah Press, Singapura, tahun 1348 H/1929 M.

Jika dibandingkan ejaan Melayu/Jawi Raja Ali Haji dengan ejaan Sheikh Ahmad al-Fatani adalah tidak banyak bezanya. Ada dua ulama yang berasal dari Riau-Lingga yang sezaman dengan Sheikh Ahmad al-Fatani yang melibatkan diri dalam bahasa Melayu dan aktiviti kajian tulisan Melayu/Jawi. Mereka ialah Raja Haji Muhammad Tahir ibnu Marhum Mursyid dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.

Karya Raja Haji Muhammad Tahir ialah Rencana Melayu, yang pernah diterbitkan oleh Al-Ahmadiah Press, Singapura, 1928. Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga pula digelar oleh ulama Sheikh Ahmad al-Fatani sebagai Qus Bahasa Melayu (kemungkinan bermaksud ‘pakar bahasa Melayu’).

Beliau ini banyak membantu Sheikh Ahmad al-Fatani dalam pentashihan kitab di Mekah, penyelidikan pelbagai dialek bahasa dalam dunia Melayu dan lain-lain. Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga juga menghasilkan beberapa karangan, walaupun bukan membicarakan ejaan dan bahasa. Antaranya ialah Daqaiq al-Akhbar, Hadiqat ar-Raihan, Nashihat Ahl al-Wafa dan lain-lain.

Sesudah mereka, muncul pula Haji Muhammad Husein bin Abdul Latif al-Fatani (Tok Kelaba), yang merupakan tokoh yang terbanyak membuat salinan naskhah-naskhah Melayu. Semua ulama tersebut jauh mendahului Haji Muhammad Said Sulaiman dan Za’aba, kedua-duanya yang banyak disebut oleh pengkaji dalam bidang ini.

Tokoh dari Patani yang sezaman dengan kedua-dua tokoh ini pula adalah salah seorang murid Tok Kelaba iaitu Enche Zainal bin Enche Boh. Karya beliau ialah Lunas Akal, cetakan pertama 1941, nama percetakan tidak dapat dibaca kerana ditulis dalam bahasa Thai.

Dalam buku Lunas Akal diperkenalkan ejaan Melayu/Jawi Klasik. Perkara-perkara yang diperkenalkan ialah:

*Huruf yang diatur dengan bertukar-tukar

*Huruf awal

*Huruf tengah

*Huruf akhir

*Huruf saksi

*Huruf yang tiada boleh disambung di belakang tetapi boleh disambung di hadapan

*Jalan menyambung huruf-huruf

*Angka Arab dan angka Inggeris

*Bunyi Huruf

*Bunyi Huruf berpadu

*Perkataan dua bunyi satu erti

*Perkataan tiga huruf satu erti, dua bunyi di hadapannya pendek

*Perkataan empat huruf

*Perkataan lima huruf

*Perkataan enam huruf

*Pengenalan kejadian kalimah

Kandungan perbicaraan dalam Lunas Akal karya Enche Zainal bin Enche Boh itu mempunyai hubungan erat dengan ejaan Melayu/Jawi Syeikh Ahmad al-Fatani.

Jauh sebelum diterbitkan Lunas Akal itu, perbicaraan dan kandungan hampir sama yang pernah diterbitkan dalam bentuk litografi di Mekah dan Singapura, tanpa menyebut percetakan dan tahun. Sebahagian besar kandungan dalam Lunas Akal termaktub dalam cetakan litografi itu.

Usaha yang agak baru dalam perkembangan penulisan kaedah ejaan Melayu/Jawi dari golongan cerdik pandai Patani ialah diusahakan oleh Ismail Haji Daud yang berasal dari Teluban, iaitu tempat Tok Kelaba menjalankan aktivitinya yang terakhir. Kemungkinan tokoh ini juga ada hubungan dengan Tok Kelaba.

Karya Ismail Haji Daud ialah Perintis Bacaan Buku Satu, dikeluarkan oleh Lujnah al-Madaris, Patani, cetakan pertama sebanyak 3000 naskhah. Dalam buku tersebut dikemukakan beberapa kaedah penulisan Melayu/Jawi. Penulis belum dapat membandingkan secara keseluruhan ejaan yang dikemukakannya, tetapi sepintas lalu jelas beliau tidak meniru ejaan Za’aba atau pun ejaan yang dikemukakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dari segi yang lain, penulis lihat tidak banyak merosakkan ejaan kitab-kitab Melayu/Jawi klasik walaupun barangkali tidak keseluruhannya.

Penulis kembali kepada usaha Sheikh Ahmad al-Fatani yang mana menurut beliau bahawa kaedah bahasa Melayu juga seperti bahasa Arab yang ada susunan nahu dan sarafnya.

Menurut Sheikh Ahmad al-Fatani pula, saraf Melayu ada timbangan kata-kata dengan menggunakan jumlah huruf dan suku kata-suku kata. Titik temu pemikiran bahasa Melayu antara Sheikh Ahmad al-Fatani dengan Raja Ali Haji ialah bahawa sebagaimana bahasa Arab, demikianlah halnya dengan bahasa Melayu tidak terlepas daripada: isim, fi’il dan huruf.

Pengertian huruf pada konteks ini bukan bererti huruf abjad dari alif sampai ya’ atau huruf ‘a’ sampai ‘z’, tetapi adalah menurut istilah yang tersendiri.

Huruf dalam bahasa Melayu dalam konteks ini, di antaranya dapat dipetik dari karya Raja Ali Haji, tetapi tidak dapat dilampirkan contoh-contohnya di sini.

Namun begitu disimpulkan bahawa setiap huruf yang dihuraikan oleh Raja Ali Haji dalam Kitab Pengetahuan Bahasa dengan jelas, ada yang dihuraikan agak panjang dan ada yang singkat saja. Istilah nahu Melayu pada zaman itu dinamakan huruf, tetapi beberapa perkataan disebutkan ada yang dinamakan ‘kata sendi’ menurut istilah sekarang.

Raja Ali Haji menulis bahawa yang dinamakan huruf itu mempunyai persamaan dengan Sheikh Ahmad al-Fatani. Kemudian Sheikh Ahmad al-Fatani berusaha untuk menyeragamkan ejaan kitab-kitab Melayu/Jawi yang berpusat di Asia Barat (Kaherah, Istanbul dan Mekah) dalam hal-hal yang lainnya.

Namun disebabkan pekerjaan itu bersangkut paut dengan teknikal, para pekerja yang tidak mahir, pekerja yang bukan hanya bangsa Melayu saja, maka di sana sini ejaan kitab Melayu/Jawi kadang-kadang juga tak dapat diseragamkan.

Mengenai ini dapat diketahui dari beberapa kalimat beliau, contoh:

  1. “Dan adalah kebanyakan orang menyurat sekarang ini memudah-mudah mereka itu dengan tiada ditaruhkan titik padanya kerana memadai mereka itu dengan kerenah membaca jua. Maka yang demikian itu setengah daripada barang yang membawa kesamaran dan kepada payah membaca. Dan meninggalkan hak huruf yang telah dihantarkan oleh yang menghantar dengan kasad hendak membezakan. Dan telah berlaku mengecapkan kitab pada negeri Mekah dan lainnya atas demikian itu, yakni ditinggalkan titik pada (huruf ga) , kerana i’timad mereka itu atas mula-mula naskhah yang meniru mereka itu akan huruf nya pada ketika dituangkan timah buat huruf itu yang tiada bertitik sekelian (huruf ga) nya. Maka sudah beberapa kali perhamba menyatakan bagi tiap-tiap orang yang diperintahkan pekerjaan mengecap kutub (kitab-kitab) pada Mekkah al-Musyarrafah akan demikian itu, dan perhamba menjaga akan dia atasnya, maka tiada hirau ia …” (Hadiqatul Azhar, 1321:158)
  2. “Dan adalah hamba amat-amati pada mentashihkan dia sekira-kira yang mudah bagi hamba.

“Tetapi dengan sebab banyak salah pada naskhah asalnya, tiada ada yang lain boleh muraja’ah serta pula yang menulisnya orang Arab tiada tahu membacanya. Jadi ada juga tinggal sedikit-sedikit yang salahnya. Maka hamba tashihkan pula kemudian daripada capnya. Hamba himpunkan pada satu maka helai akan segala lafaz yang salah yang hamba lihatkan dia dan yang betulnya serta dengan angka muka helainya dan barisnya supaya mudah bagi orang yang membaiki dia kemudian”. (Kata Pengantar Tashih Hidayatus Salikin, format kecil, cetakan Bombay)

Daripada kalimat yang tertulis pada angka (1) dapat disimpulkan Sheikh Ahmad al-Fatani memandang sangat penting hak sesuatu huruf, sehingga perkara kecil mengenai titik pada sesuatu huruf mesti dipelihara dengan baik.

Menurut beliau, setiap huruf mempunyai haknya tersendiri. Dari sini dapat disimpulkan bahawa Sheikh Ahmad al-Fatani juga berusaha menyeragamkan titik atau tanda-tanda lain pada huruf.

Pada angka (2) pula memberikan maklumat bahawa walaupun sesuatu karya telah ditashih, namun kesilapan jalan bahasa ataupun salah pada ejaan juga akan terjadi. Beliau maksudkan dengan perkataannya, “… serta pula yang menulisnya orang Arab tiada tahu membacanya …”, adalah orang yang menjalankan penyalinan naskhah atau pun membuat klise daripada timah yang pada zaman itu memang bukan dikerjakan oleh orang Melayu.

Oleh kerana mereka tidak pandai bahasa Melayu dan tidak pandai membaca tulisan Melayu/Jawi, maka baik jalan bahasa ataupun ejaan pada kosa kata sering terjadi kesalahan. Dari sini juga dapat diambil kesimpulan bahawa akibat daripada ini boleh menjadikan ejaan pada kitab Melayu/Jawi klasik tidak seragam. Maka itu kita tidak perlu mempersoalkan atau mempersalahkan, lalu dikatakan tokoh-tokoh Melayu terdahulu tidak berusaha menyeragamkan ejaan Melayu/Jawi.

Selain persoalan yang tersebut di atas, perlu juga diketahui bahawa ejaan Melayu/Jawi dalam kitab-kitab yang dicetak peringkat awal yang terdiri dari cetakan Matba’ah al-Miriyah al-Kainah bi Bulaq, Mesir, cetakan Matba’ah Miriyah, Istanbul, dan cetakan Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, ataupun cetakan-cetakan lain yang dimulai tahun 1288 H/1871 M hingga tahun 1300 H/1882 M banyak perbezaan dengan cetakan sesudah tahun 1300 H/1880 M itu.

Ini kerana cetakan pada peringkat awal Sheikh Ahmad al-Fatani lebih menekankan supaya judul kitab Melayu/Jawi dicetak dengan sebanyak yang mungkin kerana dikhuatiri di belakang hari permodalan untuk itu akan tergendala.

Cetakan sesudah tahun 1300 H/1882 M barulah ejaan lebih diperkemaskan lagi namun keseragaman juga sukar untuk dicapai, disebabkan hal-hal yang telah disebutkan itu dan lain-lain dalam permasalahan yang belum dapat diceritakan dengan jelas dalam artikel yang ringkas ini.

Selain itu kadang-kadang dalam dunia perniagaan, hanya ditukar nama percetakan dan tahun saja, tetapi klisenya masih digunakan klise cetakan yang diusahakan lebih awal. Cetakan yang dilakukan di Bombay pula ada yang dalam pengawasan Sheikh Ahmad al-Fatani dan sebahagian besarnya merupakan cetak rompak.

Cetakan Asia Barat disalin kembali oleh orang-orang yang bukan berasal dari dunia Melayu di Bombay, dan mereka juga tidak tahu bahasa dan ejaan Melayu/Jawi. Hal ini sangat ketara di antaranya, seperti: Hidayatus Salikin, cetakan format kecil yang berbeza dengan cetakan Asia Barat.

Kesimpulan, penulis tidak sependapat dengan beberapa pengkaji yang mengatakan bahawa telah terjadi perubahan ejaan Melayu/Jawi menurut peringkat-peringkat perkembangan zaman.

Menurut penelitian penulis, dari beberapa tulisan pada manuskrip mulai abad ke-16 hingga abad ke-19, dan pelbagai cetakan litografi hingga cetakan yang menggunakan klise timah dimulai di Asia Barat, bentuk ejaan ada yang seragam pada setiap zaman dan ada pula yang tak seragam. Persamaan ejaan dan ketidakseragaman adalah disebabkan beberapa faktor:

*Kerana luasnya dunia Melayu

*Sistem penerapan ejaan setiap daerah yang berlainan

*Dialek bahasa yang berbeza-beza

*Perkataan yang berasal dari bahasa Arab di tempat yang lebih banyak mengenal bahasa itu berbeza penulisannya dengan tempat-tempat yang kurang menghayati bahasa Arab itu.

lPerkembangan mutakhir tidak ada titik temu antara pendapat golongan pendidikan agama terutama sistem pondok dengan pendidikan cara barat.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J5nKBUHq
© Utusan Melayu (M) Bhd


Analisis Perbandingan Tulisan Melayu/Jawi

oleh Wan Muhd Shoghir

DALAM tahun-tahun kebelakangan ini, banyak seminar untuk menghidupkan kembali tulisan Melayu/Jawi telah diadakan. Banyak hal yang dibicarakan dan diperdebatkan. Hampir semua seminar atau pertemuan mengenai ini penulis ikut hadir, walaupun tidak membentangkan kertas kerja tetapi turut memperdebatkan kepelbagaian pendapat.

Ejaan yang diperkenalkan terutama ejaan Za’aba, ejaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ejaan Utusan Melayu.

Tulisan Melayu/Jawi di Indonesia disentuh hanya sepintas lalu sahaja, sedangkan perkembangan tulisan Melayu/Jawi di Patani tidak pernah disentuh sama sekali. Mengingat hal-hal yang tersebut, maka kesempatan yang diberikan ini penulis memilih judul seperti tersebut di atas. Tulisan Melayu/Jawi menurut ejaan dalam beberapa manuskrip dan cetakan kitab yang tersebar luas mulai dari Cam (Kemboja) hingga ke Kepulauan Indonesia dirasakan perlu dibicarakan.

Pada judul penulis gunakan istilah Tulisan Melayu/Jawi, tidak tulisan Jawi kerana perkara ini ada kaitan yang amat rapat dengan artikel yang dibicarakan ini.

Istilah tulisan Jawi telah rasmi digunakan di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, tetapi berlainan istilah yang digunakan di Indonesia, Patani dan percakapan sebahagian besar masyarakat pengguna tulisan itu. Istilah tersebut termasuklah dalam kategori “sesuatu istilah yang telah diterima secara umum di sesuatu negara dalam ASEAN tetapi berlainan istilah yang digunakan oleh masyarakat Melayu dalam negara ASEAN yang lain.”

Oleh sebab kita membicarakan tulisan itu adalah milik bersama masyarakat Melayu di rantau ini, maka supaya adil penulis gunakan istilah Tulisan Melayu/Jawi, yang akan penulis bahas pada bahagian awal mukadimah ini.

Nama tulisan

Pada pendahuluan telah penulis sentuh serba ringkas istilah yang digunakan untuk tulisan yang dibicarakan ini. Dalam kertas kerja penulis berjudul, Tiga Zaman Pembentukan Istilah Ilmu-Ilmu Keislaman di Asia Tenggara yang dibentangkan dalam Termplan ’90, perkara ini telah penulis bahas secara ringkas.

Dalam artikel ini, penulis bicarakan lagi dengan beberapa tambahan perbahasan kerana memperhatikan perkembangan-perkembangan terbaru yang bersangkutpaut dalam perkara ini.

Kitab-kitab keislaman yang dikarang oleh ulama-ulama dunia Melayu pada zaman silam, terdapat beberapa istilah, turut digunakan istilah Tulisan Jawi dan Kitab Jawi, dan juga Tulisan Melayu dan Kitab Melayu.

Istilah Tulisan Jawi atau Kitab Jawi digunakan di Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura. Sedangkan istilah Tulisan Melayu atau Kitab Melayu digunakan di Indonesia.

Di Indonesia juga digunakan istilah Tulisan Huruf Arab Bahasa Indonesia turut digunakan di beberapa tempat atau oleh tokoh-tokoh yang tertentu di Indonesia.

Istilah Tulisan Jawi sering digunakan oleh ulama-ulama di Aceh seperti Sheikh Nuruddin ar-Raniri. Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari juga menggunakan istilah yang sama mungkin kerana terpengaruh dengan kitab Ash-Shirat al-Mustaqim yang tersebut.

Sheikh Abdul Samad al-Falimbani dalam Hidayah as-Salikin menggunakan istilah Bahasa Jawi-Melayu.

Sheikh Ahmad al-Fatani lebih banyak menggunakan istilah Tulisan Melayu atau Kitab Melayu jika dibandingkan dengan istilah Tulisan Jawi atau Kitab Jawi. Beliau pernah membahas perkara ini dengan lebih terperinci.

Menurut beliau, istilah Tulisan Melayu atau Kitab Melayu atau Bahasa Melayu lebih tepat berbanding istilah Tulisan Jawi atau Kitab Jawi.

Bagi masyarakat Jawa di Indonesia, istilah Tulisan Jawi atau Kitab Jawi juga digunakan. Namun pengertiannya berbeza dengan di Malaysia. Pengertian di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam sudah cukup maklum, adalah: tulisan yang berasal dari Arab tetapi bahasa yang ditulis ialah bahasa Melayu.

Di Indonesia pengertian Tulisan Jawi atau Kitab Jawi itu dalam istilah lain digunakan juga sebagai Huruf Pegon adalah: tulisan yang berasal dari Arab tetapi bahasa yang ditulis ialah bahasa Jawa, Madura dan Sunda.

Tiga orang ulama yang berasal dari Jawa pernah berusaha membuat kaedah tulisan menggunakan Huruf Pegon itu. Mereka ialah Sheikh Nawawi (lahir 1230 H/1814 M) berasal dari Banten, Sheikh Muhammad Shalih berasal dari Semarang dan Sheikh Khalil (lahir 1235 H/1820 M) berasal dari Madura.

Mereka mencipta kaedah itu bukan di Jawa tetapi semasa mereka berada di Mekah. Kaedah itulah yang dikembangkan oleh para murid mereka sehingga penulisan Huruf Pegon itu digunakan secara meluas untuk terjemahan kitab-kitab Arab yang diajar di pondok-pondok pesantren di Jawa hingga sekarang.

Di Indonesia juga, bagi masyarakat Bugis, tulisan Arab yang ditulis dalam bahasa Bugis dinamakan dengan Tulisan Singrang. Perlu penulis sentuh di sini bahawa sama ada orang Jawa mahu pun Bugis, selain tulisan yang berasal dari Arab itu mereka juga menggunakan tulisan tersendiri. Ada tulisan Jawa Kuno dan ada tulisan Bugis.

Selain yang tersebut itu, ada lagi istilah yang dipakai untuk kitab, baik kitab dalam bahasa Arab mahu pun kitab Melayu/Jawi. Istilah itu ialah Kitab Gundul dan istilah yang satu lagi ialah Kitab Kuning.

Kedua-dua istilah ini muncul agak baru, lebih-lebih istilah Kitab Kuning itu. Kedua-dua istilah itu tujuannya adalah sama, iaitu: “kitab-kitab klasik tradisional Islam yang diajarkan, yang kitab-kitab itu tidak menggunakan tanda-tanda baris, titik, koma dan lain-lain”.

Sungguhpun demikian, bagi penulis kedua-dua istilah itu adalah janggal untuk diterimanya kerana apabila kita teliti mengandungi unsur-unsur berpandangan sinis terhadap kitab-kitab yang termaktub ajaran agama Islam yang suci itu, lebih-lebih lagi istilah Kitab Kuning.

Menurut penyelidikan penulis, istilah Kitab Gundul itu merujuk kepada “orang-orang yang gagal membaca jenis kitab-kitab tersebut kerana mereka tidak mempunyai asas pengajian ilmu nahu dan saraf dalam bahasa Arab”.

Istilah Kitab Kuning pula merujuk kepada “orang-orang yang terpelajar dalam dunia pendidikan moden, sedang mereka berasa ada kelainan atau kejanggalan apabila mereka melihat kitab-kitab klasik itu jika dibandingkan dengan buku-buku yang mereka pelajari”.

Oleh sebab sebahagian orang tidak mempelajari apa tujuan mereka memberikan istilah demikian, apakah suatu penghinaan atau pun suatu kemuliaan untuk kitab-kitab klasik itu, lalu tanpa penelitian hanyalah mengikut saja apa yang dikatakan oleh mereka.

Apabila disemak kembali istilah Budaya Kuning, ada yang berpendapat adalah budaya barat. Istilah Buku Kuning, bererti buku seks atau lucah. Apabila diperhatikan pula perkataan kitab jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ialah ‘buku’ sedangkan Buku Kuning ialah buku seks atau lucah.

Adakah dapat diterima takrif istilah Kitab Kuning ialah kitab seks atau kitab lucah? Daripada semua yang tersebut, setiap istilah yang diberikan oleh seseorang atau pun sesuatu kelompok apabila terdapat perkara-perkara yang masih diragukan yang boleh menjejaskan imej agama Islam dan khazanah bangsa Melayu, maka hendaklah dipelajari secara yang lebih teliti apabila menggunakannya.

Penulisan huruf Melayu-Jawi

Kesimpulan dari semua kertas kerja dalam seminar mengenai tulisan Melayu-Jawi yang terdahulu daripada ini sependapat bahawa tulisan ini tiba ke dunia Melayu bersama-sama dengan kedatangan Islam di kawasan ini.

Beberapa prasasti di atas batu-batu nisan dan batu bersurat sudah cukup banyak ditemui dan dibicarakan, maka tidak perlu penulis kemukakan lagi di sini. Yang ingin penulis bahas di sini adalah penulisan dalam manuskrip dan kitab cetakan Melayu/Jawi serta masyarakat penggunanya, yang dapat dilihat dalam beberapa perkara barangkali ada jalan pemikiran penulis yang agak berbeza dengan pendapat-pendapat lain.

Klasifikasi penulis Melayu/Jawi

i). Penulisan yang ditulis oleh golongan terpelajar pada zaman-nya, yang terdiri dari para ulama dan penulis-penulis istana yang diketahui nama mereka.

ii). Penulisan yang ditulis oleh golongan terpelajar tetapi tidak dapat dikesan namanya.

iii). Ditulis oleh orang biasa atau masyarakat awam.

Bentuk tulisan golongan i) dan ii) adalah sangat berbeza dengan golongan iii). Bahawa bentuk tulisan golongan i) dan ii) mempunyai kaedah susunan penulisan yang baik, rapi dan menurut timbangan nahu-saraf dalam bahasa Melayu walau pun terdapat perbezaan-perbezaan yang menyolok.

Hal ini disebabkan kerana berlainan daerah dalam dunia Melayu berlainan pula kaedahnya. Berkemungkinan juga golongan i) dan ii) terdiri daripada tokoh terpelajar atau ulama, tetapi di antara mereka ada yang mendapat pendidikan khusus mengenai kaedah tulisan Melayu/Jawi termasuk sarafnya, dan yang lain pula tidak mendapat pendidikan khusus mengenai itu.

Ada pun golongan iii) pula, tulisan mereka adalah bercorak sembarangan, asalkan dapat dibaca saja.

Mereka menulis Melayu/Jawi tidak menurut kaedah, tulisan tidak rapi, bentuk huruf tidak menentu. Mengenai ini dapat dikenal pada sebahagian risalah-risalah ilmu wafaq/wifiq, ilmu hikmat, mantera-mantera, ilmu perubatan tradisional, dan lain-lain.

Tiga klasifikasi pelaku golongan penulis atau penyalin tulisan Melayu/Jawi yang penulis sebutkan ini adalah untuk perbahasan lanjut yang manakah boleh diterima atau ditolak kaedah penulisan Melayu/Jawi yang mewakili setiap zaman.

Sebagai contoh ringkas, ramai pengkaji merumuskan bahawa batu bersurat Terengganu, dan ‘Aqaid an-Nasafi, masing-masing adalah mewakili tulisan Melayu-Jawi pada zamannya. Mereka beranggapan bentuk ejaan pada masing-masing tulisan itu mewakili bentuk atau corak tulisan Melayu/Jawi abad itu, bererti pada zaman itu begitulah bentuk atau corak tulisan Melayu/Jawi.

Pada pandangan penulis kedua-dua tulisan tersebut tidak dapat dijadikan bukti mewakili tulisan Melayu/Jawi pada abadnya kerana masih terdapat kelemahan. Baik batu bersurat Terengganu (702 H/1303 M) mahu pun ‘Aqaid an-Nasafi (998 H/1590 M), kita tidak mengenal latar belakang, riwayat hidup penulisnya, bahkan nama penulisnya memang tidak terdapat pada kedua-dua tulisan itu.

Apakah dia menulis benar-benar menurut kaedah tulisan Melayu/Jawi yang umum digunakan pada zaman itu?. Persoalan ini pasti tidak akan terjawab. Hanya dijumpai sebuah naskhah tanpa perbandingan tidak dapat dijadikan hujah sebagai mewakili zamannya.

Oleh itu jika tidak diperolehi tahun yang sama dengan penulisan tersebut, sekurang-kurangnya kita boleh membanding dengan tahun atau abad yang berdekatan dengan tahun atau abadnya.

Menurut penelitian penulis, semua ejaan hingga kini masih tidak dapat menyaingi penyebaran secara luas ejaan kitab-kitab klasik Melayu/Jawi kerana ejaan itu masih tetap digunakan oleh masyarakat Melayu mulai dari Cam (Kemboja), Thailand, Burma, Filipina, Brunei Darussalam, Patani, Malaysia, Singapura, Indonesia dan tempat-tempat lain yang ada masyarakat Melayunya terutamanya di Mekah.

Sebagai contoh bahawa ejaan selain kitab-kitab Melayu/Jawi klasik itu tidak kukuh, ialah: ejaan Dian, manakala majalah Dian tidak diterbitkan ejaannya juga tidak digunakan lagi. Sewaktu majalah itu masih diterbitkan, penyebarannya pun terbatas hanya di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan sedikit di Patani, sedang di Indonesia majalah itu tidak dikenali oleh masyarakat.

Sebenarnya setiap daerah Melayu di Indonesia, dan Patani sejak dulu lagi, juga ada usaha-usaha pembaharuan-pembaharuan ejaan Melayu/Jawi itu, tetapi ternyata semuanya tidak dapat berkembang. Usaha pembaharuan ejaan Melayu/Jawi di Indonesia tidak pernah dikenal di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Patani dan lain-lain.

Demikian halnya dengan pembaharuan ejaan Melayu/Jawi yang dilakukan di Patani. Selama ini ramai sarjana mengemukakan kelemahan tulisan Melayu/Jawi yang selalu mereka ungkit-ungkit ketidakseragaman tulisan itu. Oleh itu mereka berpendapat bahawa tulisan Melayu-Jawi mempunyai kelemahan yang banyak.

Sungguh sedih, kerana bangsa kita sendiri sama ada secara sedar atau pun tidak telah menghina terhadap khazanah pusaka nenek moyangnya. Bangsa penjajah ternyata tidak berhasil menghapuskan tulisan Melayu-Jawi secara keseluruhannya.

Baik di Hindia Belanda (sekarang Indonesia) yang dijajah oleh Belanda mahu pun di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak (sekarang Malaysia) dan Singapura yang dijajah oleh Inggeris, ternyata kedua-dua bangsa penjajah itu tidak berhasil menghapuskan tulisan Melayu/Jawi secara total. Sungguhpun demikian, idea-idea penjajah itu ‘bak api dalam sekam.’

Ternyata kemerosotan tulisan Melayu/Jawi, bahkan kini sakit teruk, nazak hampir mati, adalah setelah kita mencapai kemerdekaan.

Di Brunei Darussalam, setelah merdeka khabarnya berusaha ke arah penggunaan tulisan Melayu/Jawi secara padu dan mantap. Patani, yang dulunya adalah Daulah Islamiah Fathani Darus Salam, walaupun masih dalam tangan pemerintahan Thailand, jika dibuat analisis perbandingan secara keseluruhan pemakaian tulisan Melayu/Jawi di dunia Melayu, maka pemakaian tulisan Melayu/Jawi di Patani masih lebih membudaya pada seluruh aspek kehidupan masyarakatnya.

Penutup

Disebabkan kepadatan ruangan, maka perbahasan mengenai ini akan dilanjutkan kemudiannya dengan membicarakan cabaran dan jawapan kepada tulisan Melayu/Jawi, perbandingan ejaan Melayu/Jawi dengan ejaan Rumi/Latin dan lampiran transliterasi pemikiran Sheikh Ahmad al-Fatani mengenai tulisan Melayu/Jawi.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz3J5mj3Aye
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tokoh-tokoh Penyebar Islam di Nusantara

Tokoh-tokoh Penyebar Islam di Asia Tenggara

oleh Wan Muhd Shoghir

KEDATANGAN Islam di Asia Tenggara telah banyak dibicarakan, terutama oleh para sarjana Islam. Walaupun sampai sekarang masih wujud perselisihan pendapat antara satu dengan yang lainnya, namun sebagai perkenalan diringkaskan di bawah ini:

Banyak pendapat mengatakan Islam tersebar di Asia Tenggara sejak abad 11, 12 dan 13 M. Ada berpendapat bahawa pengislaman negeri Kelantan datangnya dari negeri Patani. Sejak akhir abad ke- 2 Hijrah atau abad ke-7 Masihi telah datang pedagang Arab ke Patani yang kemudian terjadi asimilasi perkahwinan dengan orang-orang Melayu, dan dipercayai, sekali gus mereka menyebarkan Islam di pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu.

Pertemuan

Dikatakan seorang bangsa Arab bernama Sheikh Ali Abdullah yang dahulunya tinggal di Patani, mengislamkan raja Kelantan. Pengakuan Perdana Menteri Kelantan, Haji Nik Mahmud Nik Ismail tentang pertemuan mata wang tahun 577 Hijrah atau 1181 Masihi, tulisan dengan angka Arab, juga tertulis dengan huruf Arab sebelah menyebelah mata wang itu masing-masing dengan Al-Julusul Kalantan dan Al-Mutawakkal ‘alallah.

Sekitar tahun 1150 Masihi, datang seorang Sheikh dari Patani menyebarkan Islam di Kelantan. Diriwayatkan pula oleh ulama Patani secara bersambung bahawa Islam masuk ke Patani dibawa oleh Sheikh Abdur Razaq dari Tanah Arab. Sebelum ke Patani, beliau tinggal di Aceh hampir 40 tahun.

Selain itu, tulisan Arab telah lama digunakan sekali gus bersama tulisan Melayu/Jawi. Hal ini dibuktikan dengan mata wang yang digunakan di Patani. Sebelah hadapannya tertulis dengan bahasa Melayu, “Ini pitis belanja di dalam negeri Patani”, manakala di sebelah belakangnya dengan bahasa Arab yang jika diterjemahkan ertinya seperti di atas, tetapi di sebelah bahasa Arabnya ditambah dengan kalimat Sanah 1305.

Mata wang itu dibesarkan tiga kali ganda dari aslinya, maka sebelah yang bahasa Melayunya tertulis, “Duit ini untuk perbelanjaan dalam negeri Patani”, manakala sebelah bahasa Arabnya tertulis kata-kata ‘tahun Masihi 1305’. Tulisan Arab bahasa Melayu pada mata wang Patani tersebut tidak berjauhan tempoh jaraknya dengan Batu Bersurat yang terdapat di Kuala Berang, Terengganu yang bertahun 702 Hijrah atau 1303 Masihi atau 786 Hijrah atau 1398 Masihi.

Dikatakan Kedah menerima agama Islam dibawa oleh seorang mubaligh bernama Sheikh Abdullah bin Syeikh Ahmad bin Sheikh Ja’far Qaumiri dari negeri Syahrir, Yaman. Beliau sampai di Kedah pada tahun 531 Hijrah. Beliau berhasil mengislamkan Sri Paduka Maharaja dan menteri-menterinya.

Aceh termasuk negeri yang pertama diketemui oleh para pedagang Islam yang datang ke wilayah Nusantara tersebut. Di antara penyebar Islam yang terkenal bernama Sheikh Abdullah Arif (di abad ke 12M). Salah satu karya tasawufnya dalam bahasa Arab berjudul, Bahrul Lahut.

Dalam karya klasik karangan Tun Sri Lanang, dalam Sejarah Melayunya yang terkenal itu, bahawa beliau menceritakan kedatangan Sheikh Ismail yang berhasil mengislamkan seorang yang akhirnya terkenal dengan nama Sultan Malikush Shaleh.

Islam di Aceh sampai ke puncak kejayaannya di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Melalui Aceh sehingga negeri Minangkabau menerima Islam, walaupun pada mulanya berjalan agak lambat lantaran pengaruh agama Hindu yang masih sangat menebal.

Pada tahun 1440 Masihi, Islam mulai bertapak di Palembang (Sumatera Selatan) yang disebarkan oleh Raden Rahmat. Di Leren Jawa diketemukan batu nisan seorang perempuan bernama Fathimah Maimun bertahun 495 Hijrah atau 1101 Masihi. Kira-kira tahun 1195 Masihi, Haji Purwa iaitu salah seorang putera Raja Pajajaran kembali dari pengembaraannya, lantas mengajak semua keluarga kerajaan supaya memeluk agama Islam. Namun usaha beliau itu gagal.

Para penyebar Islam di Pulau Jawa memuncak tinggi dengan sebutan Wali Songo/ Wali Sembilannya, yang terkenal di antara penyebar itu seumpama Maulana Malik Ibrahim yang makamnya di Gersik tahun 1419 Masihi.

Pada abad ke-15 Masihi Islam berkembang di Maluku dengan pantas, terkenal penyebarnya bernama Sheikh Manshur yang berhasil mengislamkan Raja Tidore serta rakyat di bawah pemerintahannya.

Adapun Sulawesi berdasarkan buku Hikayat Tanah-Tanah Besar Melayu, tanpa nama pengarang, yang diterbitkan oleh Printed at the Government Printing Office, Singapore, Straits Settlement, 1875 dikatakan bahawa yang terakhir menerima Islam ialah bangsa Bugis. Barangkali lebih kurang tahun 1620 Masihi.

Tahun 1620 Masihi boleh disejajarkan dengan tahun kedatangan mubaligh-mubaligh penyebar Islam yang datang dari Minangkabau. Dato’ Ri Bandang (Khathib Tunggal Abdul Makmur) telah mengislamkan Raja Tallo I Malingkaan Daeng Manyore dan Raja Goa I Mangarangi Daeng Manrabia, yang memeluk agama Islam pada hari Jumaat 9 Jamadilawal 1015 Hijrah bersamaan 22 September 1605 Masihi.

Dato’ Ri Bandang dibantu oleh Raja Goa menyiarkan Islam di Wajo. Beliau meninggal dunia di Patimang negeri Luwu (Indonesia), maka terkenallah beliau dengan sebutan Dato’ Patimang. Penyiar Islam yang seorang lagi bernama Dato’ Ri Tiro.

Barangkali Islam masuk di Sulawesi lebih awal dari tahun tersebut di atas. Pada tahun 1412 Masihi, seorang ulama Patani pernah mengembara hingga ke Pulau Buton dengan tujuan menyiarkan agama Islam ke bahagian Timur. Raja Mulae i-Goa menyambut kedatangan ulama itu dengan berlapang dada.

Pada tahun 1564 Masihi, disusul oleh Sheikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman yang lama menetap di Johor lalu melanjutkan perjalanannya ke Pulau Buton. Walaupun beliau berasal dari Patani tetapi dikatakan masyarakat bahawa beliau adalah ulama Johor.

Seorang bangsa Portugis bernama Pinto pernah datang ke Sulawesi Selatan dalam tahun 1544 Masihi, beliau melaporkan bahawa di Sulawesi Selatan telah banyak pedagang Islam yang datangnya dari Johor, Patani dan Pahang.

Selanjutnya terjadi perkahwinan para pedagang yang beragama Islam itu dengan penduduk asli sehingga ramai rakyat memeluk agama Islam.

Pada tahun 1565-1590 Masihi, Raja Goa Tunijallo mendirikan sebuah masjid untuk pedagang Islam itu di sebuah kampong bernama Mangallekana berdekatan kota Makasar/Ujung Pandang (Indonesia).

Di dalam Hadiqatul Azhar, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Musthafa Al-Fathani menyebut Islam masuk ke Sulawesi pada tahun 800 Hijrah, dan raja yang pertama Islam bernama Lamadasilah (La Meddusala).

Kalimantan (Indonesia) dikatakan menerima Islam pada abad ke 16M, Raja Banjar yang pertama memeluk agama Islam ialah Raden Samudera yang menukar namanya kepada Sultan Surian Syah selepas memeluk Islam dan akhir pemerintahannya ialah pada tahun 1550 Masihi.

Dikatakan sebagai penolong kanannya dalam pemerintahan ialah bernama Masih. Beliau mengambil tempat di pinggir Bandar. Dari perkataan Bandar, lalu dikenali dengan nama ‘Kerajaan Banjar’ dan lama kelamaan menjadi ‘Bandar Masih’ kerana mengambil sempena nama ‘Masih’ dan kini terkenal dengan nama ‘Banjarmasin’. Tetapi huruf ‘h’ ditukar dengan huruf ‘n’.

Di antara ulama Banjarmasin yang paling terkenal ialah Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah Al-Banjari, penyusun kitab Sabilul Muhtadin dan Sheikh Muhammad nafis bin Idris Al-Banjari, penyusun kitab Ad-Durrun Nafis.

Sukadana menerima agama Islam yang dibawa oleh dua mubaligh bernama Sheikh Syamsuddin dan Sheikh Baraun, mubaligh yang membawa surat dari Mekah untuk memberi gelaran Raja Sukadana itu dengan Sultan Aliuddin atau juga digelar dengan nama Sultan Shafiuddin.

Sambas didatangi oleh mubaligh-mubaligh Islam yang paling ramai setelah Portugis menakluk Melaka dan setelah Aceh menakluk Johor. Di antara mubaligh yang sampai sekarang sebagai keramat (disebut keramat Lumbang) bernama Sheikh Abdul Jalil berasal dari Patani.

Ada juga mubaligh berasal dari Filipina, salah seorang keturunannya sebagai ulama besar, iaitu Sheikh Nuruddin kuburnya di Tekarang, Kecamatan Tebas, Sambas (meninggal dunia tahun 1311 Hijrah), Indonesia.

Pengislaman Sulu dilakukan dengan aman, yang datang ke sana adalah seorang mubaligh yang berpengalaman sejak dari Mekah, dan beliau sampai di Sulu pada tahun 1380 Masihi. Nama beliau ialah Syarif Karim Al-Makhdum.

Selepas Syarif Karim Makhdum datang pula Syarif Abu Bakar pada tahun 1450 Masihi. Beliau juga dipercayai seorang mubaligh yang banyak pengalaman dan aktiviti dakwahnya dilakukan sejak dari Melaka, Palembang dan Brunei.

Selain itu yang agung juga namanya dalam pengislaman di Filipina ialah Syarif Kebungsuan. Nama asalnya ialah Syarif Muhammad bin Zainal Abidin yang datang dari negeri Johor. Adapun Syarif Zainal Abidin itu diketahui adalah keturunan Rasulullah yang menyebarkan Islam di Johor.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J2lEjHqw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ulama Borneo & Karyanya

Mengenali Pelbagai Karya Ulama Borneo

oleh Wan Muhd Shoghir

Bahagian 1

 

Ulama Nusantara

PULAU Borneo dan Kalimantan yang demikian besar melahirkan ramai ulama yang terkenal. Mereka juga telah menghasilkan karya yang menjadi bahan pengajian, bacaan dan rujukan, baik khusus untuk umat Islam Borneo dan Kalimantan mahu pun umat Islam di Nusantara.

Di antara ulama yang berasal dari Borneo/Kalimantan yang paling terkenal ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah (lahir 1122 H/1710 M, wafat 1227 H/1812 M) berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan, Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar (lahir 1217 H,1802 M, wafat 1289 H,1872 M) berasal dari Sambas, Kalimantan Barat dan Syeikh Utsman bin Abdul Wahhab (lahir pada 1281 H,1864 M, wafat 1339 H,1921 M) berasal dari Sarawak dan lain-lainnya.

Dalam artikel ini, penulis hanya akan membicarakan beberapa ulama yang berasal dari Pulau Borneo dan Kalimantan yang belum lagi diperkenalkan. Adapun penulis hanya menyentuh secara ringkas dan digabungkan sekali kerana maklumat yang ditemui sedikit berbanding ulama-ulama yang pernah penulis bicarakan.

Mengenai ulama Borneo dan Kalimantan dan karya-karya mereka, ringkasannya adalah seperti berikut:

Ulama Banjar dan karya mereka

Antara ulama-ulama berasal dari Banjar yang pernah penulis bicarakan adalah Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang terkenal dengan penghasilan karya-karya yang banyak. Sheikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari penyusun kitab sufi terkenal iaitu Ad-Durrun Nafis, Syeikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dan Tuan Husein Kedah al-Banjari.

Adapun mengenai ulama-ulama Banjar dan pengkaryaan mereka yang selain tersebut adalah:

Muhammad Ali bin Hamim Al-Banjari Al-Funtiani.

Riwayat hidup Muhammad Ali bin Hamim al-Banjari al-Funtiani belum diketahui. Namun diketahui hasil karyanya berjudul Risalah Mufidah lis Shalah wal ibadah diselesaikan pada hari Jumaat 14 Zulkaedah 1317 H.

Kandungannya membicarakan pelbagai aspek mengenai sembahyang dan ibadat yang ada hubungan dengannya. Cetakan huruf batu (litografi) Haji Muhammad Amin, Kampung Melayu, No. 15 Singapura, 14 Muharam 1318 H. Belum dijumpai manuskrip mahu pun edisi cetakan selainnya.

Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin Al-Banjari

Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang menghasilkan karya pula ialah Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin. Beliau ini menjalankan aktiviti di Pontianak. Karya-karya beliau adalah:

lTajwidul Quran, diselesaikan hari Isnin, 8 Ramadan 1347 H di Pontianak. Kandungan merupakan pelajaran tajwid untuk pedoman membaca seluruh surah al-Quran. Cetakan yang pertama Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura pada 29 Jamadilawal 1348 H/1929 M.

lTajwidul Fatihah tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan merupakan pelajaran tajwid surah al-Fatihah sahaja. Cetakan yang pertama Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 1348 H/1929 M.

lSabilul Muhtadin Jalan Iktikad Ahli Sunnah wal Jamaah, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan merupakan pelajaran akidah Ahli Sunah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba’ah As-Saiyid Utsman, Kramat, 30 B. Betawi.

lSheikh Abdul Ghani Al-Banjari, Rad Agama Banjar Amuntai

Ulama di atas belum diketahui adakah termasuk keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ataupun bukan. Karya beliau yang telah ditemui hanya sebuah iaitu Risalah Luqthah Hasanah Bagi Hukum Khalifah, diselesaikan pada Rejab 1332 H.

Kandungannya soal jawab tentang masalah Jumaat. Dicetak oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura. Diberi kata pujian oleh Abdur Rahman bin Muhammad Arif Halabai al-Banjari, Haji Ja’far Khathib Banjar Halabai dan Haji Abdur Manaf bin Telawang Banjar Halabai.

Haji Abdur Qadir bin Ahmad Al-Banjari

Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ahmad al-Banjari adalah ulama yang berasal dari Banjar yang menjalankan aktiviti penyebaran Islamnya di Mempawah Kalimantan Barat. Meninggal dunia dan dikebumikan di Sungai Bakau Kecil, Darat.

Karya beliau yang telah ditemui juga hanya sebuah ialah Kifayatul Mubtadi fi ‘Ilmit Tauhid. Diselesaikan hari Isnin, 14 Zulkaedah 1353 H. Kandungan membicarakan tauhid dalam bentuk soal-jawab. Cetakan pertama oleh Mathba’ah al-Nasawi, 14 Ulu Palembang.

Haji Abdur Rasyid al-Banjari

Di antara kitab Melayu/Arab yang paling popular dan banyak diajarkan orang ialah Kitab Perukunan Sembahyang Besar, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan kitab tersebut merupakan pengetahuan fardu ain yang paling lengkap.

Selain itu, dilengkapi juga dengan berbagai-bagai amalan yang menjadikan khabar kegembiraan untuk dunia dan akhirat. Terdapat juga tentang khutbah Jumaat dan khutbah nikah.

Tercatat pada semua edisi cetakan, “Diambil daripada karangan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar…..” Selain dalam Bahasa Melayu, kitab ini juga terdapat terjemahan dalam bahasa Bugis, Sunda dan Jawa. Dicetak oleh Mathba’ah al-Aminiyah, nombor 12 dan 14, Baghdad Street, Singapura, bertarikh 23 Zulhijjah 1352 H/ 9 Mac 1935 M, dicetak dengan huruf litograf.

Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan dan masih dicetak serta banyak diajarkan di seluruh dunia Melayu hingga kini. Walaupun karyanya sangat terkenal, namun riwayat hidup penyusunnya masih gagal dikesan.

Haji Ahmad bin Haji Abdus Shamad al-Banjari

Tokoh ini juga tidak dapat dikesan sejarah hidupnya, hanya dijumpai sebuah karya berjudul Nafaisul Aurad, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisannya.

Kandungan merupakan kumpulan amalan-amalan pilihan yang dipetik dari kitab-kitab yang muktamad sebahagiannya berasal daripada Rasulullah s.a.w. Dicetak oleh Percetakan an-Nashar, Pontianak, Indonesia.

Ulama-ulama Pontianak dan karya mereka

Apabila kita membicarakan ulama Pontianak maka dapat dibahagi dua. Pertama, ulama yang berasal dari Pontianak atau Kalimantan Barat sendiri dan kedua ulama yang datang dari luar.

Disebabkan pendiri Kerajaan Pontianak berasal dari Arab keturunan Rasulullah s.a.w marga ‘Al-Qadri’, maka beberapa ulama yang pernah berpengaruh di Mekah atau tempat lain di tanah Arab pernah tinggal dan mendapat kedudukan tinggi dan terhormat di Kerajaan Pontianak.

Di antara mereka; Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi (lahir 1266 H/1850 M, wafat 1343 H/1924 M), sewaktu di Mekah adalah Mufti Mazhab Syafie. Umat Islam Mazhab Syafie seluruh dunia, bahkan golongan mazhab lain pun pada zamannya tahu mengenai ulama besar ini.

Setelah beliau berhijrah ke Riau-Lingga, seharusnya mendapat kedudukan tertinggi dalam bidang agama di kerajaan itu, namun Sultan Pontianak tidak membiarkan ulama besar itu tinggal di Riau-Lingga. Seboleh-bolehnya atau dengan apa cara sekalipun Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi mesti diberi tempat yang paling istimewa di Kerajaan Pontianak.

Maka Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi tinggal di Pontianak dalam masa beberapa tahun. Dalam satu buku catatan yang dijumpai di Pontianak ada dinyatakan bahawa ayahnya iaitu Saiyid Muhammad Shalih bin Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi pada 1295H pernah datang ke Pontianak mengajar beberapa ilmu dan membaiah Tarekat Naqsyabandiyah.

Dalam artikel ini penulis dahulukan dengan memperkenalkan ulama dan karya-karya mereka yang berasal dari Pontianak seterusnya diperkenalkan pula ulama-ulama dari luar.

Haji Muhammad Qasim bin Nakhoda Haji Ahmad bin Abdullah (Dato’ Senara)

Di antara ulama yang berasal dari Pontianak yang menghasilkan karya ialah Haji Muhammad Qasim. Nama lengkapnya, Haji Muhammad Qasim bin Nakhoda Haji Ahmad bin Abdullah (Dato’ Senara) bin Ali (Dato Bendahara di Kuantan) bin Tuan Kadi Ahmad.

Wafat dalam usia lebih dari 100 tahun, hari Rabu, pukul 9.30 pagi, pada Rabiulawal 1341 H, di Kuala Maras, Jemaja, Pulau Tujuh (Kepulauan Riau). Nampaknya hasil karya beliau dalam tahun 1238 H adalah mendahului karangan ulama-ulama Pontianak yang lainnya.

Karya yang dimaksudkan ialah berjudul Ushulud Din fi Sabilil I’tiqad, diselesaikan pada 2 Syawal 1238 H. Kandungan membicarakan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang kedua Mathba’ah Al-Ikhwan, Singapura, awal Rabiulawal 1337H.

Jika kita perhatikan jarak waktu dari karya di atas diselesaikan (1238 H) hingga beliau wafat 1341H ialah 103 tahun. Sekiranya sewaktu menulis itu beliau berusia 20 tahun, maka ini bererti beliau wafat dalam usia 123 tahun.

Paduka Seri Sultan As-Saiyid Utsman Ibni Al-Marhum Paduka Seri Sultan As-Saiyid Asy-Syarif Abdur Rahman Ibni Al-Marhum Al-Habib Husein Al-Qadri

Nama yang tersebut di atas adalah seorang Sultan di Kerajaan Pontianak. Baginda menterjemah karya berjudul Tuhfah al-Ikhwan fi Fadhli ar-Rajab wa asy Sya’ban wa ar-Ramadan, diselesaikan pada hari Isnin, 16 Rabiulawal 1244 H.

Nama pengarang asal ialah Syeikh Ahmad bin Majjazi al-Qisyti asy-Syafi Yahya. Namun yang dijumpai sekarang adalah merupakan salinan Ali bin Khathib Jailani ibni al-Imam Muhammad bin Abdullah, putera Siak Seri Inderapura.

Kandungan pada halaman depan terdapat mohor/cop Sultan Saiyid Utsmani ibni Saiyid Abdur Rahman al-Qadri. Pada halaman akhir tercatat, “Pada hijrah an-Nabi s.a.w. sanah 1244 kepada enam likur hari bulan Rabiulawal, hari Isnin, pukul 10, ketika itu khatam al-kitab Tuhfah al-Ikhwan Paduka Seri Sultan as-Saiyid asy-Syarif Abdur Rahman al-Marhum al-Habib Husein al-Qadri di dalam negeri Pontianak, dalam Kampung Saiyid asy-Syarsyaikh al-Ba’abud adanya. Yang menyurat al-faqir ialah Taala, iaitu Ali bin Khathib Jailani ibni al-Imam Muhammad bin Abdullah al-walad al-bilad Siak Seri Inderapura”.

Kandungan dalaman secara keseluruhan mengenai peristiwa hari kiamat dan mengenai akhirat. Manuskrip diperoleh di Kampung Dalam Bugis, Pontianak di persekitaran Istana Qadhariyah/Istana Sultan Pontianak.

Saiyid Hasan Bin Saiyid Abdullah Al-Aidrus, Kampung Tengah, Pontianak

Tokoh di atas menghasilkan karya berjudul Tanaman Padi, diselesaikan pada 30 Rabiulakhir 1252 H. Kandungan menceritakan asal usul kejadian padi, dan lain-lain.

Syarif Ahmad Bin Saiyid Hasan Al-Haddad Pontianak

Beliau pula menghasilkan karya berjudul Risalatul Fiqh. Judul sebenar belum diketahui kerana tidak terdapat maklumat, diselesaikan pada 13 Jamadilawal 1290 H.

Kandungan membicarakan fikah serta gantungan maknanya dalam bahasa Melayu. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M di persekitaran Keraton Qadhriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Haji Muhammad Arif Bin Encik Muhammad Thahir Pontianak

Nama lengkapnya ialah Haji Muhammad Arif bin Encik Muhammad Thahir bin Malim Sutan bin Jupa Suara bin Dato’ Bendahara bin Tuan Kadi Ahmad. Ibunya, Zainab binti Abdul Mannan melahirkan tokoh ini di Kampung Tambelan, Pontianak, pada Rabu, pukul 4 petang 29 Rabiulakhir 1279 H. Wafat pada Ahad, pukul 1 tengah hari pada 6 Zulkaedah 1353 H di Kampung Tambelan, Pontianak.

Di antara karya tokoh ini yang telah ditemui adalah:

lMatnul Ajrumiyah, diselesaikan di Semarang, 29 Muharam 1291 H. Kandungan membicarakan nahwu Arab yang terkenal diberi gantungan makna Melayu pada setiap perkataan Arabnya. Merupakan terjemahan karangan Sheikh Shonhaji. Manuskrip diperoleh manuskrip di Pontianak, Kalimantan Barat bekas dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak. Tarikh perolehan pada Jumaat, 11 Rabiulawal 1423 H/24 Mei 2002 M.

lSebuah buku catatan yang terkandung di dalamnya pertama sekali asal usul datuk neneknya, ialah Dato’ Bendahara. Dilanjutkan dengan peristiwa mulai berdiri Kerajaan Pontianak dan tahun-tahun terjadi peperangan antara Kerajaan Pontianak dengan kerajaan-kerajaan sekitarnya.

Tidak kalah juga pentingnya catatan tahun lahir, wafat dan peristiwa yang terjadi mengenai keluarga besar penulisnya (Haji Muhammad Arif bin Encik Muhammad Thahir). Catatan ini diperlengkap dengan pelbagai amalan untuk kepentingan dunia dan akhirat.

Adapun mengenai ulama-ulama yang berasal dari Pontianak ini masih ramai yang perlu diperkenalkan. Sama ada mengenai riwayat hidup mahu pun karya-karya mereka. Antaranya ialah Pangeran as-Saiyid as-Syarif Abdur Rahman bin Saiyid Yusuf al-Qadri iaitu tokoh istana Kerajaan Pontianak, Haji Ismail bin haji Mushthafa Pontianak, Sultan Kerajaan Pontianak iaitu Sultan Syarif Hamid bin Syarif Utsman al-Qadri Pontianak, Sheikh Husein bin Sulaiman al-Jawi al-Funtiani dan ramai lagi.

Oleh itu, kesinambungan daripada tersebut akan dibicarakan lagi dalam artikel seterusnya.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J2dRWCW9
© Utusan Melayu (M) Bhd


Ulama-ulama Pontianak Dan Karya Mereka

oleh Wan Muhd Shoghir

Bahagian 2

Sebelum ini telah dibicarakan secara ringkas mengenai ulama-ulama yang berasal dari Kalimantan Selatan iaitu Banjar, dan disentuh juga sebahagian ulama yang berasal dari Pontianak.

Pontianak merupakan ibu negeri bagi Kalimantan Barat (Indonesia) dan terdapat banyak Kabupaten (daerah) di dalamnya yang juga banyak melahirkan ulama dan tokoh yang akan dibicarakan. Antara daerah-daerah yang dimaksudkan adalah Ketapang, Mempawah, Sambas, Sanggau dan Sintang.

Namun, artikel ini masih membicarakan kesinambungan daripada ulama dan tokoh yang berasal dari Pontianak serta pengkaryaan mereka. Antaranya adalah seperti berikut:-

Pangeran As-Saiyid As-Syarif Abdur Rahman Bin Saiyid Yusuf Al-Qadri

Tokoh istana Kerajaan Pontianak ini menghasilkan sebuah karangan yang diberi judul Catatan Pangeran Abdur Rahman Bin Sulthan Yusuf Al-Qadri. Diselesaikan pada 9 Rejab 1295H.

Kandungan ringkas merupakan pelbagai peristiwa sewaktu Sultan Syarif Yusuf Al-Qadri membina Maqam Batu Layang, iaitulah makam Sultan Syarif Abdur Rahman al-Qadri (pendiri Kerajaan Pontianak) dan para kerabat baginda.

Haji Ismail Bin Haji Musthafa Pontianak

Riwayat hidup Haji Ismail bin Haji Musthafa belum diketahui dengan jelas. Namun karya beliau yang telah ditemui ada dua iaitu:

  1. Ilmu al-Hikmah wa at-Thib atau Hikmah dan Perubatan. Judul sebenar tidak diketahui, mulai disalin dari buku Haji Musthafa Bin Haji Mahmud pada malam Selasa, di Kampung Tambelan, 9 Rejab 1298H, dan diselesaikan pada 19 Rejab 1302H.

Kandungannya membicarakan ilmu hikmah dan pelbagai jenis perubatan dalam bentuk wakaf, doa, fadilat ayat, ilmu astronomi, jampi-jampi Melayu, tumbuh-tumbuhan, organ binatang dan lain-lain.

Masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

  1. Ilmu Perubatan Melayu, diselesaikan pada hari Rabu, bulan Zulhijjah 1325H. Kandungan membicarakan perubatan yang bersumberkan tumbuh-tumbuhan di alam Melayu sendiri. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Sultan Syarif Hamid bin Syarif Utsman al-Qadri Pontianak

Sultan kerajaan Pontianak yang menghasilkan karangan selain Syarif Utsman al-Qadri ialah Sultan Syarif Hamid bin Syarif Utsman al-Qadri. Di antara karya baginda yang telah ditemui ialah Syair Ibadat. Tercatat selesai penulisan, “Tamat hazal kitab Allah s.w.t, Syair Ibadat pada yaum al-Ahad, jam pukul delapan malam betul, kepada tiga puluh hari bulan, tanpa dinyatakan tahun”. Kandungannya membicarakan nasihat dan pelajaran agama Islam. Manuskrip diperoleh di Kampung Bugis, Pontianak di persekitaran istana Qadriyah/Istana Sultan Pontianak.

Haji Daeng Mangemba Abdullah Bin Sulaiman Ahmad Muhammad Sunur Kampung Bugis

Walaupun selama ini cukup popular mengenai peristiwa anak Raja Bugis lima bersaudara termuat dalam Salasilah Bugis dan Melayu oleh Raja Ali Haji, namun masih terdapat karya-karya lain yang membicarakan perkara itu.

Di antaranya termasuklah karya yang berjudul Sejarah Lima Orang Upu Bersaudara Menyerang Riau oleh Haji Daeng Mangemba Abdullah, seorang Bugis dilahirkan di Pontianak.

Kandungan karya ini menceritakan tentang lima putera Bugis berasal dari Luwuk membantu Raja Sulaiman yang berperang melawan Raja Kecil Siak. Kemudian terjadi jalinan perkahwinan mereka di negeri-negeri Melayu dan Aceh.

Manuskrip yang ditemui tidak terdapat tahun mulai atau pun selesai penulisan. Manuskrip diperolehi di Pontianak, pada 29 Muharam 1423H/12 April 2002M.

Haji Abdus Shamad Bin Encik Harun

Nama lengkap ialah Haji Abdus Shamad bin Encik Harun bin Malim Bungsu. Ibunya bernama Ruqaiyah binti Haji Abdul Qadir bin Haji Abdul Ghani. Tokoh ini adalah abang kepada Muhammad Umar bin Encik Harun. Lahir di Kampung Tambelan, Pontianak, malam Selasa pukul 12, pada 5 Syawal 1264H. Wafat hari Selasa, pukul 7 pagi, pada 4 Syawal 1343H, dalam usia 79 tahun.

Karyanya yang telah ditemui ialah Rumus Hisab dan Jurnal Pelayaran, diselesaikan tahun 1316H. Kandungan merupakan rumus hisab atau perkiraan barangan yang semuanya menggunakan kod tertentu. Selain itu juga dibicarakan Perkara Jurnal Pelayaran Dari Kuala Pontianak Pergi Di Tanah Jawa Dan Serta Pergi Di Kutaringin Pergi Di Banjarmasin.

Manuskrip tersebut diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Sheikh Husein Bin Sulaiman Al-Jawi Al-Funtiani

Sesudah Sheikh Utsman bin Syihabudin Al-Funtiani ulama Pontianak yang namanya juga dikenal di seluruh Nusantara ialah Sheikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani. Ada tiga karangannya pernah beredar dalam pasaran kitab di Nusantara.

Syeikh Husein bin Sulaiman al-Jawi al-Funtiani meninggal dunia di Surabaya sewaktu akan menziarahi salah seorang gurunya di Pulau Madura. Barangkali guru yang dimaksudkan ialah Sheikh Khalil al-Bankalani. Tiga judul karangan Sheikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani yang tersebar di Nusantara ialah:

  1. Babul Jum’ah , diselesaikan pada 28 Jamadilawal 1316H di Belitung. Kandungan membicarakan hukum Jumaat. Cetakan yang pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1317H. Selain cetakan ini sentiasa dicetak pada bahagian tepi karya beliau Tuhfatur Raghibin.
  2. Tuhfatur Raghibin fi Taqlidil Qauli bi Shalatil Jum’ati bi Dunil Arba’in, diselesaikan pada 27 Syawal 1319H. Kandungan membicarakan hukum Jumaat. Cetakan yang pertama oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada 1319H.

Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan di antaranya Mathba’ah at-Taraqqil Majidiyah al-Uthmaniyah, Mekah, pada akhir Muharam 1332H. Cetakan ini ditashih oleh Sheikh Idris bin Husein al-Kalantani. Terdapat juga edisi cetakan Mathba’ah at-Taqaddum al-‘Ilmiyah, Mesir, Syawal 1348. Cetakan ini ditashih oleh Haji Abdullah bin Ibrahim al-kadi (Kedah).

  1. Nuzhatut Tharaf fi Auzani ‘Ilmis Sharfi, diselesaikan pada 6 Syawal 1321H di Mekah. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf. Cetakan pertama di Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah pada 16 Safar 1322H. Dicetak atas zimmah Sheikh Muhammad Majid bin Muhammad Shalih al-Kurdi al-Makki.

Mengenai Sheikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani ini agak ringkas dapat diketahui daripada tulisan cucu murid beliau, bernama Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani dalam karyanya berjudul Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim wat Tarhim.

Pada halaman 26 terdapat catatan, “Adalah tarhim yang dianjurkan oleh datuk guru kami al-Allamah Husein Pontianak seperti yang ditulis akan datang. Adalah Tok Guru Husein bin Sulaiman ini satu masa dengan guru kami Sheikh Mukhtar bin ‘Atharid al-Batawi al-Bughri, dan guru kami al-Allamah Utsman Sarawak, dan guru kami asy-Sheikh Abdul Qadir Mandailing, dan asy-Sheikh Ahmad Khathib Minkabau.

Husein Sulaiman ini hafiz al-Quran , cantik parasnya, al-amil ash-shalih. Ia mengambil ilmu daripada ulama Mekah Muusyarrafah, seperti Husein al-Habsyi dan lain-lain. Aku tidak tahu ahli Pontianak yang lebih alim daripadanya. Berkata guru kami asy-Sheikh Abdul Qadir Mandailing, “Kalau Husein bin Sulaiman tidak selalu turun ke Jawi nescaya boleh ia mengajar di Masjid al-Haram di waktu Daulah al-Uthmaniyah itu, Asy-Sheikh Abdul Qadir berkata bagiku”.

Abdul Aziz bin Muhammad Nur al-Funtiani

Di antara sekian ramai ulama besar Pontianak termasuk dalam senarai ialah Abdul Aziz bin Muhammad Nur al-Funtiani. Beliau ini termasuk salah seorang Mursyid di dalam Tarekat Naqsyabandiyah, tinggal di Kampung Kemboja, Pontianak.

Selain giat mengajar masyarakat tentang beberapa jenis ilmu mengenai keislaman, beliau telah menghasilkan beberapa buah karangan. Di antaranya yang telah ditemui ialah:

  1. Risalah Kitabish Shalah, diselesaikan pada bulan Zulhijjah 1316H di Pontianak. Kandungan pelajaran sembahyang untuk peringkat kanak-kanak atau peringkat permulaan belajar. Dicetak di Tempat Cap Haji Muhammad Amin, Singapura, pada 6 safar 1317H, dengan huruf batu (litografi).
  2. Isnadul Ghulam fi Bayanil Imani wal Islam atau dalam bahasa Melayu oleh pengarangnya Persandaran Budak-budak Yang Baharu Belajar Pada Menyatakan Iman Dan Islam, diselesaikan pada 12 Jamadilawal 1325H di Pontianak. Kandungan membicarakan ilmu fardu ain mengenai akidah dan pengetahuan sembahyang.

Dicetak di Tempat Haji Muhammad Amin bin Abdullah, Kampung Gelam Singapura, pada 1325H. Dicetak dengan huruf batu (litografi).

Zain Pul Bin Abdur Rahman Al-Qadri

Beliau ini termasuk tokoh dalam lingkungan Istana Kerajaan Pontianak. Karya yang telah ditemui hanya sebuah iaitu Ilmu Hikmah, tercatat pada halaman depan, “Sanah 1327H, Selasa 4 Muharam, tahun Dal, awal yang punya ini Zain Pul bin Abdur Rahman al-Qadri”.

Terdapat tandatangan seni yang indah. Pada halaman yang lain dinyatakan sebagai berikut, “Sanah 1328H, hari Khamis kepada sanah 15 Muharam, yang punya ini tulisan Zain Pul bin Abdur Rahman al-Qadri, Kampung Melayu Pontianak adanya”. Terdapat juga tandatangan seni yang indah.

Kandungan membicarakan beberapa amalan untuk mendatangkan rezeki. Di antara amalan terdapat doa yang berasal dari Sheikh Abdul Mannan Kadi Pontianak. Judul tersebut masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kerajaan Pontianak).

Abdul Wahhab Bin Haji Abdur Rahman

Nama lengkap Abdul Wahhab bin Haji Abdur Rahman bin Abdul Jeragan bin Nakhoda Abdul Mannan bin Nakhoda Ahmad bin Abdullah (Dato’ Bendahara). Tokoh ini lahir di Kampung Tambelan, Pontianak pukul 2 pagi Jumaat, 2 safar 1302H.

Ibunya bernama Zainab binti Encik Harun. Sepanjang hayatnya telah menghasilkan banyak karya. Antara yang telah ditemui ialah:

  1. Ilmu Binaan, judul sebenar tidak diketahui, diselesaikan pada 15 Ramadan 1333H/28 Julai 1915M sampai 1921 M. Kandungannya membicarakan ilmu binaan, cara-cara membuat rumah lengkap dengan jenis-jenis atau nama-nama ukuran yang digunakan. Juga terdapat beberapa catatan lainnya.

Pada halaman depan dicatatkan, “1333-1915. Pontianak tanggal 15 Ramadan bersama-sama bulan Julai. Yang empunya ini, hamba Abdul Wahhab bin Haji Abdur Rahman Tambelan”. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kerajaan Pontianak).

  1. Keturunan Minangkabau, catatan selesai penulisan terdapat pada halaman depan, “Pontianak tanggal kepada 26 Muharam 1345 waktu itulah sahaya Abdul Wahhab bin Haji Abdur Rahman habis menulis ini surat salasilah keturunan tua-tua dari asal dulu-dulu. Ada juga yang ditambah-tambah yang setahunya menyalin dalam buku nenda Haji Sulaiman bin Abdul Mannan adanya”.

Catatan dilengkapi dengan tandatangan yang dinyatakan, “ila Pontianak Kampung Tambelan, tandatangan, tarikh 6-8-1926”. Kandungan membicarakan jalur keturunan pembesar yang berasal dari Minangkabau yang menjadi raja di beberapa tempat di antaranya ialah: Johor, Pontianak, Dato’ Kaya Tambelan, Dato’ Kaya Serasan, Pembesar di Campa/Kemboja dan lain-lain. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperolehi di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

  1. Ilmu Tauhid, diselesaikan pada 3 Zulhijjah 1348 H. Kandungan membicarakan akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Manuskrip atau tulisan tangan asli Abdul Wahhab bin Abdur Rahman, Kampung Tambelan Pontianak.
  2. Catatan Peristiwa, diselesaikan pada malam Khamis, jam 8.00, 12 Rabiulakhir 1358 H. Kandungan merupakan catatan tahun lahir, wafat dan pelbagai peristiwa lingkungan keluarga besar Abdul Wahhab bin Abdur Rahman dari tahun 1225H hingga tahun 1358H.

Masih dalam bentuk manuskrip yang diperolehi di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J2eVmjsU
© Utusan Melayu (M) Bhd


Ulama-ulama Pontianak Dan Karya Mereka

oleh Wan Muhd Shoghir

Bahagian 3

Dalam artikel yang lepas penulis telah memperkenalkan sembilan tokoh ulama yang berasal dari Pontianak, termasuk tiga tokoh dalam lingkungan Istana Kerajaan Pontianak.

Artikel kali ini masih membicarakan kesinambungan daripada ulama dan tokoh yang berasal dari Pontianak, serta pengkaryaan mereka. Namun di bahagian akhir artikel penulis memuatkan pengenalan ulama luar yang datang dan berperanan besar dalam kerajaan Pontianak seperti Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi, Mufti Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani dan Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani.

Ulama-ulama Pontianak yang diperkenalkan pada kali ini adalah seperti berikut:

Umar bin Ahmad bin Muhammad ‘Athar

Hanya ditemui sebuah karya oleh tokoh ini iaitu ialah Ilmu Azimat dan Wafaq, diselesaikan hari Ahad, 11 Safar 1334 H, di Kampung Melayu, Pontianak.

Kandungannya membicarakan ilmu azimat dan wafaq. Diperoleh dalam bentuk manuskrip asli tulisan tangan penyusunnya.

Muhammad Thaiyib bin Encik Ya’qub

Tokoh ini juga hanya ditemui sebuah karya iaitu Kitab Ditertibkan Mi’rat, diselesaikan 21 Rejab 1344 H.

Kandungannya membicarakan Nabi s.a.w serta mikrajnya. Ia merupakan terjemahan kitab Fatawal Masyhur. Pada halaman empat dicatatkan, “Maka bahawasanya ditertibkan terkarang olehnya tiga ulama.

“Pertama, Sheikh Muhammad Arsyad ahli fiqh, Sheikh Daud ahli usuluddin dan Sheikh Abdus Shamad ahli tasauf. Bahawa ketiganya meninggalkan dunia di dalam perang sabilillah di negeri Siam.”

Manuskrip judul tersebut diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M. Pada halaman akhir tercatat, “Muhammad Thaiyib peranakan bangsa Bugis ibnu Encik Ya’qub di Pontianak, Kampung Bugis…”

Mufti Haji Ismail Bin Abdul Karim bin Utsman al-Funtiani

Sebuah salasilah yang diperoleh di Pontianak ada menyatakan bahawa Haji Utsman (Daeng Pegalak) datang ke Pontianak bersama seorang anaknya Nakhoda Tuzu dari Bugis. Anak Haji Utsman (Daeng Pegalak) ada 6 kesemuanya, anak yang ketiga bernama Haji Abdul Karim.

Haji Abdul Karim memperoleh empat anak lelaki. Anak sulungnya bernama Haji Ismail. Haji Ismail bin Haji Abdul Karim mendapat pendidikan akhir di Mekah dan setelah pulang dari Mekah dilantik menjadi Mufti di Kerajaan Kubu.

Dalam masa yang sama, di Pontianak ada tiga ulama besar yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Haji Ismail bin Haji Abdul Lathif atau lebih dikenali dengan Haji IIsmail Jabal. Pangkatnya adalah sebagai Penasihat Rad Agama Kerajaan Pontianak.

Anaknya seorang lagi ialah Haji Ismail bin Abdul Majid Kelantan yang kemudian dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak. Ketiga-tiga ulama yang tersebut sama-sama mendapat pendidikan di Mekah. Di antara karya Haji Ismail bin Haji Abdul Karim ialah:

  1. Kitab Mukhtashar ‘Aqaid, diselesaikan di Teluk Pak Kedai, hari Jumaat, pukul 5, 18 Rejab 1351 H. Kandungannya adalah pelajaran ilmu akidah untuk hafalan kanak-kanak. Dicetak oleh Annashar & Co, Pontianak.
  2. Jadwal Hukmin Nikah atau Jadwal Nikah Soal-Jawab, diselesaikan hari Selasa, 1 Jamadilawal 1357 H di Mekah, Kampung Syubaikah.

Ia membicarakan hukum perkahwinan. Dicetak oleh Mathba’ah al-Islamiyah, Victoria Street, Singapura tanpa dinyatakan tahun cetak. Diberi kata Pendahuluan oleh Muhammad Ahmad az-Zawawi, kata Akuan oleh Mufti Kerajaan Johor, Alwi bin Thahir bin Abdullah al-Haddad al-Aawi dan kata Pujian oleh ketua Kadi Singapura, Abbas bin Muhammad Thaha, Pejabat Kadi Qudhah, Singapura 7 Rabiuts Tsani 1358 H.

Abdullah bin Haji Abdur Rahman al-Buqisi al-Funtiani

Karya yang telah ditemui ialah Tajwid, judul sebenar belum diketahui kerana tidak terdapat maklumat, diselesaikan hari Jumaat, 8 Muharam 1346 H.

Ia membicarakan ilmu tajwid untuk memperbetulkan bacaan al-Quran. Masih dalam bentuk manuskrip yang diperolehi di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M.

Abdur Rasyid bin Mahmud Pontianak

Karya yang telah ditemui ialah Ath-Thariqatul Haddadiyah, diselesaikan pada hari Selasa, 5 Zulkaedah 1353 H.

Kandungan membicarakan amalan wirid Ratib al-Haddad yang dilengkapi dengan sanad. Selainnya juga disebutkan beberapa amalan yang lain di antaranya tentang Khatamun Nubuwwah ketika akan keluar dari rumah.

Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani

Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat, mendapat pendidikan di Mekah. Pernah mengajar di Masjidil Haram, Pontianak, Singapura dan beberapa tempat dalam Kepulauan Riau. Di antaranya Pulau Midai dan Pulau Bunguran/Natuna.

Beliau meninggal dunia di Singapura tahun 1967 M. Pada hari beliau meninggal dunia secara kebetulan penulis berada di Singapura, dapat menyaksikan bahawa sangat ramai orang yang menziarahinya baik masih di rumah, mahu pun hingga menghantar ke kuburnya.

Antara karyanya yang telah ditemui ialah:

  1. Tafrihul Murid wal Ikhwan fi tahshil Tajwidil Quran, diselesaikan 1 Jamadilakhir 1357 H/14 Januari 1956 M.

Kandungan membicarakan berbagai-bagai aspek Tajwid Quran termasuklah perbandingan beberapa qiraat. Cetakan yang pertama oleh All-Ahmadiyah Press, 101 Jalan Sulthan, Singapura.

  1. Al-Muna fi Asbabil Ghina, diselesaikan hari Khamis, 21 Syawal 1359 H. Kandungan membicarakan berbagai-bagai amalan tilawah surah-surah tertentu dalam al-Quran, selawat, wirid, doa dan lain-lain sebagai ikhtiar mendapatkan kemudahan rezeki dan kekayaan. Dicetak yang pertama di Mathba’ah al-‘Umariah, 786, North Bird Road, Singapura, 1359 H.
  2. Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat taslim tak Tarhim. Judul dalam bahasa Melayu oleh penyusunnya ialah Harapan Orang-Orang Yang Menuntut Kelebihan Khatam al-Quran Dan Taslim Dan Tarhim. Diselesaikan malam Sabtu, pukul 12.20, tarikh 2 Zulhijjah 1379 H/28 Mei 1960 H.

Kandungan membicarakan cara-cara melakukan khatam al-Quran, tarhim yang dibaca menjelang Subuh, taslim yang dibaca bulan Ramadan ketika akan melakukan sembahyang tarawih. Cetakan yang pertama al-Ahmadiah Press, Singapura, 1379 H.

Yusuf Ibnu Muhammad al-Makkiyah

Ulama yang tersebut di atas hanya ditemui sebuah karya iaitu Bayanullah fi Bayani Ma’rifatil Bayan min Kulli Bayan. Diselesaikan di kampung Bugis, Pontianak, 16 Zulkaedah 1357 H.

Kandungan membicarakan tasauf hakikat yang ditulis dalam bahasa Arab, manakala pada bahagian tepi terdapat terjemahannya dalam bahasa Melayu. Masih dalam bentuk manuskrip salinan Shalih bin Abdullah bin Hasan al-Haddad, Kampung Bugis Pontianak.

Pada bahagian akhir, penyalin mencatatkan, “Adalah ini kitab Bayanullah, disalin sebagaimana naskhah yang kami dapat dari guru kami, dan dengan izin guru kami. Tetapi tiada dibenarkan dan tiada dihalalkan kepada seseorang menyalinnya istimewa yang tiada ahlinya daripada mengajinya. Dengan pertolongan Allah S.W.T selesailah saya menyalin ini kitab pada tanggal 16 Zulkaedah, malam Sabtu, pukul 10, pada tahun 1357 (Hijrah), tamat di Kampung Bugis,….(tandatangan tulisan Melayu/ Jawi, Pontianak)”.

Manuskrip judul tersebut diperolehi di Pontianak pada 6 Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Ulama luar yang menghasilkan karya di Pontianak

Telah disebutkan bahawa di antara ulama besar Mekah yang datang ke Pontianak dan sekali gus dilantik sebagai Mufti Pontianak ialah Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi.

Karyanya sewaktu berada di Pontianak, yang judulnya diberi oleh Mufti Haji Iismail bin Abdul Majid a-lKalantani ialah Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah ibnu al-Marhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi Jawab Soal Dari Tanah Jawa. Kandungannya adalah mengenai ayat-ayat al-Quran dalam piring hitam. Diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu daripada karya asalnya yang ditulis dalam bahasa arab, pada bulan Rejab 1326 H. Diberi gantungan makna Melayu oleh Mufti Haji IIsmail bin ‘Abdul Majid al-Kalantani, diselesaikan pada 25 Syawal 1330 H. Dicetak dengan kehendak as-Saiyid Ja’far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak.

Dicetak di Mathba’ah Haji Muhammad Said bin al-Marhum Haji Arsyad, No. 82 Arab Street Singapura, pada 25 Syawal 1330 H oleh Muhammad bin Haji Muhammad Said, Basrah Street, No. 49 Singapura.

Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani sewaktu di Mekah adalah termasuk salah seorang murid Saiyid Abdullah bin Muhammad Shalih az-Zawawi yang kemudian dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak.

Selain memberi gantungan makna karya gurunya itu, sewaktu di Pontianak Haji Ismail Kelantan juga menulis beberapa karya di antaranya adalah Risalah Pada Bicara Jumaat dan sembahyang Zuhur Mu’adah, tanpa dinyatakan tarikh. Tarikh salinan 2 Rabiulawal 1345 H.

Kandungannya bahasan mengenai sembahyang Jumaat dan sembahyang zuhur atau mu’adah. Manuskrip di atas adalah merupakan salinan muridnya, seorang Kathib Peniti Kecil. Manuskrip diperolehi di Pontianak pada 8 Syawal 1422 H/22 Disember 2001 M.

Oleh kerana manuskrip ini adalah karya ulama yang berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak, maka manuskrip ini adalah dinilai sangat penting.

Selain Saiyid Abdullah az-Zawawi, salah seorang anak Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani juga pernah tinggal di Pontianak. Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani ialah seorang ulama besar Mekah yang sangat terkenal. Beliau inilah yang mensyarah kitab Tuhfatul Muhtaj karangan Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami.

Ulama tersebut sangat terkenal di kalangan Mazhab Syafie di seluruh dunia Islam. Anak beliau ialah Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani, diambil oleh Sultan Sambas dan Sultan Pontianak untuk berkhidmat di kedua-dua kerajaan itu.

Selanjutnya dijumpai lembaran-lembaran surat mengenai tersebut. Di antaranya dari Sheikh Mahmud bin Sheikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani kepada Saiyidi asy-Syarif Qasim ibnu al-Marhum Saiyidi asy-Syarif Hasan bertarikh 23 Jamadilakhir 1310 H.

Kandungan ringkas merupakan laporan pelbagai peristiwa di Pontianak dan Sambas. Dimulai laporan dengan pelbagai peristiwa kesempitan dan kesusahan yang dialami oleh penulis surat. Walau bagaimanapun, beliau selalu mendapat pertolongan.

Dilanjutkan dengan peristiwa di Sambas, bahawa dari Mekah datang seorang Arab bernama Sheikh Muhammad ‘Amudi. Beliau ialah seorang tukang gambus yang terkenal. Terjadi peristiwa beliau tidak dibenarkan tinggal di Sambas, namun penulis surat telah memberi pertolongan menemui Pangeran Bendahara Sambas, akhirnya dia dibenarkan tinggal di Sambas dan dibenarkan pula membuat siri-siri pertunjukan kesenian itu.

Dinyatakan juga bahawa penulis surat ingin meninggalkan Sambas untuk pindah mengajar di kampung Melayu Pontianak. Dilaporkan juga bahawa Sultan Sambas akan menemui Residen di Pontianak kerana akan memindahkan pusat pemerintahan ke arah sungai besar agak ke Kuala Sungai Sambas.

Sultan Sambas bermaksud negeri Sambas menjadi ramai, bahawa dua Sultan Sambas telah membawa dari Eropah fabrik tupu, fabrik kisaran padi dan lain-lain. Di dalam surat ini terdapat kalimat, ditegaskan, “Seboleh-boleh mahu tetap di Pontianak sahaja, biarlah mati di Pontianak di antara cucu Rasulullah jangan mati di Sambas di antara orang Dayak”.

Dalam sepucuk surat tarikh 30 Zulhijjah 1324 H, dilaporkan bahawa salah satu upacara perkahwinan di istana Sultan Pontianak di Balai Cermin yang dihadiri oleh beberapa orang pembesar yang terdiri daripada: Saiyidi Mufti, sekalian Pangeran Bendahara, Saiyidi Ismail, Pangeran Temenggung, Pangeran Jaya, Pangeran Suma, Pangeran Cakra, Pangeran Jaya, jemputan-jemputan kenamaan dan rakyat jelata.

Perkahwinan yang dilakukan adalah salah seorang kerabat Diraja dengan Fatimah, iaitu anak seorang ulama besar bernama Sheikh Mahmud Daghistani. Dalam surat diceritakan adat istiadat baik sebelum mahu pun sesudah perkahwinan secara sempurna dan terperinci.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J2fSKxsm
© Utusan Melayu (M) Bhd


Mengenali Karya Ulama, Tokoh Kalimantan Barat

oleh Wan Muhd Shoghir

DALAM tiga tulisan yang telah lalu telah diperkenalkan ulama-ulama dari Pontianak, Kalimantan Barat, sama ada yang berasal dari Pontianak sendiri mahupun ulama yang berasal dari luar yang memainkan peranan yang besar di dalam kerajaan Pontianak, rencanal pada kali ini memberi tumpuan kepada ulama dan karya-karya dari Ketapang dan Mempawah yang juga termasuk dalam daerah Kalimantan Barat. Dimulakan dengan dua ulama yang berasal dari Mekah yang datang menyebarkan Islam di Ketapang iaitu Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin.Selanjutnya mengkaji ulama serta karya mereka menerusi artikel ini.

Ulama Ketapang dan pengkaryaannya

Pada zaman dulu berdirinya sebuah kerajaan yang dinamakan Kerajaan Sukudana, yang sekarang disebut Kabupaten Ketapang. Selanjutnya di sana pula letaknya Kerajaan Matan. Ketika masih bernama Kerajaan Sukudana, kerajaan itu sangat terkenal. Pengembangan Islam diriwayatkan dalam beberapa tulisan klasik Melayu, di antaranya dalam satu manuskrip dinyatakan sebagai berikut, “Dan sampailah ke negeri Mekah dan Madinah. Maka Raja Mekah pun (mengirim) sebuah kapal ke negeri Sukudana serta membawa persalinan pakaian yang indah-indah. Serta membawa sahmurah dan Quran dan baju azimat satu serta dengan nama Sulthan Muhammad Shafiyuddin. Ada pun yang disuruh oleh Raja Mekah menjadi utusan ke Sukudana itu Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin. Setelah datang utusan itu maka dipersalin dengan sepertinya. Maka surat dari Mekah itu pun dibaca, maka berhimpunlah sekalian rakyat Sukudana dan segala (daerah) seperti Kota Ringin, Jali Kendewangan, Pesaguan, Biyak Keriyu, Semandang Kawalan, Landak, Mempawah, Sambas, Tembelan, dan Subi, Serasan, Bunguran sekalian itu ke Sukudana di pasiban agung hingga sampai ke alun-alun daripada kebanyakan manusia….”

Sejak kedatangan Imam Qari Jamal dan Syeikh Syamsuddin dari Mekah itu secara berkesinambungan di Kerajaan Sukudana, agama Islam terus berkembang dan melahirkan beberapa orang ulama dan cendekiawan. Bahkan ada pendapat mengatakan, kedatangan Syeikh Syamsuddin ke Sukudana itu adalah merupakan titik awal penyebaran Islam di seluruh Kalimantan/Borneo.

Menjelang kemerdekaan Indonesia hingga 1980-an, di antara ulama yang berasal dari daerah tersebut yang terkenal ialah Haji Ali Utsman Ketapang yang pernah menjadi Rektor Universitas Islam Bandung (UNISBA). Haji Ali Utsman mendapat pendidikan Darul ‘Ulumid Diniyah di Mekah. Sewaktu belajar di sana, beliau bersahabat dengan ulama besar terkenal iaitu Syeikh Yasin Padang. Ulama yang berasal dari Ketapang ini adalah seorang hafiz al-Quran. Kemampuannya menghafaz tiga puluh juzuk al-Quran hanya mengambil masa enam bulan sahaja. Dalam waktu yang demikian singkat, beliau juga menghafal pelajaran-pelajaran lain. Riwayat ini mencerminkan kecergasan beliau dan termasuk sesuatu yang luar biasa.

Sewaktu Haji Ali Utsman tinggal di Pontianak, beliau berhasil mendirikan Madrasah Raudhatul Islamiyah yang merupakan sebuah sekolah agama yang terkenal di Pontianak. Sekolah tersebut berjaya melahirkan tokoh-tokoh, baik di bidang agama, mahupun cendekiawan pelbagai bidang lain.

Beliau juga sempat menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah Pemimpin Kepada al-Lughatul ‘Arabiyah , yang diselesaikan di Ketapang, Kalimantan Barat, pada 19 Zulkaedah 1369 H/2 September 1950 M. Kandungannya mengenai bimbingan untuk mengetahui bahasa Arab termasuk ulasan ringkas mengenai nahu dan sharafnya. Dicetak oleh Percetakan Qalam, 356 Geylang Road, Singapura.

Dari Ketapang pula muncul Dr. Hamzah Haz yang pernah memegang peranan sebagai wakil Presiden Republik Indonesia.

Para ulama Mempawah dan pengkaryaannyaMenurut riwayat, sewaktu Upu Daeng Menambon secara rasmi telah menjadi Raja Mempawah beragama Islam yang pertama, beliau telah menyusun riwayat tentang perhubungan Bugis dan Melayu yang ditulis dalam bahasa Bugis.

Tulisan beliau telah diterjemah daripada bahasa Bugis ke bahasa Melayu oleh putera beliau bernama Gusti Jamiril. Berdasarkan terjemahan itulah yang dimanfaatkan oleh Raja Haji Ahmad bin Raja Haji dan puteranya, Raja Ali Haji sehingga tersusun kitab Salasilah Bugis dan Melayu yang terkenal.

Di Mempawah pula telah dijumpai beberapa manuskrip yang membicarakan perkara yang sama. Ia juga dipercayai bersumberkan terjemahan Gusti Jamiril itu.

Di antaranya ialah; Salasilah Keturunan Raja-Raja Negeri Mempawah Yang Termasuk Keturunan Raja-Raja Tanah Jawa, Sukudana, Matan, Sampang dan Sebelah Kapuas, yang diselesaikan pada 21 Syaaban 1288 H. Kandungan menceritakan asal-usul raja-raja Melayu terutama Kalimantan dan Riau. Manuskrip diperoleh di Pontianak, pada 29 Muharam 1423 H/12 April 2002 M.

Selanjutnya di antara nama-nama ulama atau tokoh serta karya-karya yang berasal dari Mempawah disenaraikan sebagai yang berikut di bawah ini:

lMuhammad Ali Al-BuqisiKarya tokoh ini ditemui dua judul, ialah:1. Salasilah Asal Raja-Raja Mempawah, Dan Pontianak, Dan Matan, Dan Sambas, Dan Riau, Dan Selangor, Dan Yang Termasuk Jadi Kerabat, diselesaikan di Mempawah, 2 Januari 1882 M. Kandungan menceritakan asal-usul raja-raja Melayu yang berasal dari negeri Bugis.2. Risalah Tauhid, Isnin, 8 Syaaban 1288 H. Kandungan pelajaran akidah Ahlis sunnah wal Jamaah. Manuskrip mengenai ini bekas dimiliki oleh Syeikh Mahmud Muhammad Syarwani. Pada lembaran terakhir tercatat, “Yang punya buku ini Syeikh Mahmud Muhammad Syarwani”.

lUmar Ibnu Uu’ Maju’ MempawahPenulisan mengenai Thariqat Syaziliyah pula pernah dilakukan oleh ulama yang berasal dari Mempawah ini, beliau ialah Umar ibnu Uu’ Maju’ yang menghasilkan karya berjudul Salasilah dan Amalan Thariqat Syaziliyah, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan salasilah dan cara-cara mengamalkan Thariqat Syaziliyah. Diperoleh di persekitaran Kesultanan Pontianak, Kalimantan Barat. Catatan dan penilaian bahawa manuskrip / naskhah tersebut adalah nadir atau langka, kerana belum banyak manuskrip mengenai Thariqat Syaziliyah yang ditulis dalam bahasa Melayu. Bahawa beliau mengaku sebagai murid Syeikh Ali bin Abdur Rasyid al-Jawi as-Sumbawi yang berasal dari Sumbawa tersebut adalah seorang ulama besar yang terkenal, hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

lAli bin Sulaiman, Kampung Kuala MempawahRamai memperkatakan bahawa di Kuala Secapah/ Kuala Mempawah sekitar 100 tahun yang lalu, hidup seorang ulama besar yang dianggap mempunyai keramat. Ulama itu berasal dari Kedah, beliau adalah Haji Muhammad Yasin Kedah. Sehubungan itu dalam sebuah rumah besar tersimpan kitab-kitab peninggalan ulama besar Kedah itu. Pertama kali penulis memijak kaki di Kuala Secapah, Mempawah pada 1969 M dan pernah menginap di rumah besar tersebut. Semalaman hingga Subuh memeriksa kitab-kitab yang sangat banyak. Setelah masuk tahun 2000 M, berkali-kali kitab itu diserahkan kepada penulis, maka barulah penulis dapat membuat penelitian yang lebih sempurna dan teliti.Ternyata kitab yang tersimpan dalam rumah besar tersebut sebahagian besarnya adalah milik dan karangan Ali bin Sulaiman, bukan Haji Muhammad Yasin Kedah. Masih sukar dipastikan hubungan antara Ali bin Sulaiman dengan Haji Muhammad Yasin Kedah.Di antara karya Ali bin Sulaiman yang dapat diperkenalkan di sini ialah:1. Ilmu Aqidah, diselesaikan hari Ahad, jam 10, bulan Jumadil Akhir 1298 H. Kandungan membicarakan akidah menurut Mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah. Dalam manuskrip ini juga disebut Salasilah Thariqat Naqsyabandiyah.2.Kumpulan Doa Mustajab, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan berbagai-bagai doa mustajab atau hikmat yang terdiri daripada Doa Mustajab, Syarah Doa Nabi Allah Yusuf, Isim Empat Puluh, dan lain-lain. Salah satu amalan untuk ketahanan badan zahir dan batin diterimanya daripada Tuan Syeikh Khalifah Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 3. Ilmu Perubatan, tanpa dinyatakan tarikh. Kandungan membicarakan berjenis-jenis wafaq dan perubatan. Ketiga-tiga manuskrip di atas diperoleh di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, di rumah pemilik dan penulisnya.

lHaji Sulaiman bin Abdul Mannan di TerudukanNama lengkap Haji Sulaiman Intan bin Nakhoda Ahmad bin Adullah (Dato’ Bendahara). Catatan pada satu halaman dalam Salasilah keluarga besar ini oleh Abdul Wahhab bin Haji Abdur Rahman. Dinyatakan bahawa Haji Sulaiman bin Abdul Mannan lahir pada malam Khamis, 12 Rabiulawal 1243 H. Pada 27 Syaaban 1266 H dinikahkan oleh Haji Abdul Qadir dengan anaknya bernama Hajah Maimunah di Mekah. Haji Sulaiman bin Abdul Mannan meninggal dunia pada hari Rabu, jam 2.00 tengah hari di Kampung Terudukan, di Mempawah . pada 12 Zulkaedah 1317 H. Walaupun penulis tinggal lama di Mempawah, nama Kampung Terudukan hanya penulis ketahui melalui riwayat ini. Kemungkinan nama kampung itu telah berubah sehingga tidak diketahui oleh generasi kini. Berdasarkan beberapa karyanya, dapat dipastikan bahawa Haji Sulaiman adalah seorang ulama. Di antara karyanya yang telah ditemui ialah Sullamush Shu’ud ila Hadhrati Zainil Wujud. Kitab tersebut diselesaikan pada malam Jumaat, 27 Jumadilakhir 1298 H. Ia dibesarkan terdapat pelbagai doa, di antaranya Doa Nur Muhammad, Selawat atas Nabi SAW. Pada halaman yang lain, terdapat pelajaran mengerjakan sembahyang tarawih.Sesudah memperkenalkan Istighfar Abdullah Syatari, terdapat catatan, “Tammat al-kalam kepada tiga likur hari bulan Jumadilakhir, hari Selasa, waktu jam dua siang serta tarikh kepada tahun Dal akhir sanah 1298”. Sesudah itu dilanjutkan lagi dengan doa pelias, yang diteruskan dengan hijab-hijab. Terakhir sekali dibicarakan tatacara membaca Yasin. Dinyatakan mengenai ijazahnya, “Maka sekarang hamba Haji Sulaiman bin Abdul Mannan ijazahnya kepada Tuan Haji Muhammad Nur, dan Tuan Haji Muhammad Nur ijazahkan Ali bin Sulaiman di Kuala Mempawah. Hamba, Haji Sulaiman mengambil daripada guru yang mukarramm, iaitu Encik Sunang Banjari, dia mengambil daripada Pangeran Abdul Qadir, dia mengambil daripada bapanya, iaitu Pangeran Haji Musa, dia mengambil daripada Syeikh yang mukarram di Mekah al-Musyarrafah, iaitu Saiyiduna wa Syaikhuna Saiyid Muhammad Shalih Rais Mufti Syafi’ie…”. Manuskrip diperoleh di Kampung Kuala Secapah, Mempawah, di rumah pemiliknya, Ali bin Sulaiman Mempawah.

lAbdur Rasyid bin Hasan al-Mampawi Ulama yang berasal dari Mempawah ini bernama Abdur Rasyid bin Hasan, penyusun risalah Ikhtisharul Mubtadi fi Ahkamit Tajwid, yang diselesaikan hari Selasa, 15 Zulkaedah 1353 H. Kandungan membicarakan ilmu tajwid. Cetakan yang pertama dicetak oleh Mathba’ah al-Masawi, 14 Ulu Palembang.

lMuhammad Bakran bin Haji Muhammad Yasin, Sungai Bundung, Kecamatan Sungai Kunyit, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat.Penulis mempunyai kesan tersendiri terhadap Kampung Sungai Bundung. Pada 1974, pertama sekali penulis mendirikan pondok-pesantren Al-Fathaanah bersama Munzir Kitang murid Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein Kelantan (murid Tok Kenali juga merupakan mufti yang terakhir di kerajaan Mempawah). Seorang ulama yang berasal dari Kuching, Sarawak bernama Haji Muhammad Shalih kuburnya juga di Sungai Bundung, dan isterinya yang lain ialah ibu saudara kepada Ustaz Haji Abdur Rani Mahmud, seorang ulama Pontianak yang pernah sebagai Ketua Majlis Ulama Propinsi Kalimantan Barat. Tanpa penulis duga bahawa Muhammad Bakran bin Haji Muhammad Yasin, yang riwayat hidupnya belum jelas, pernah menghasilkan karya Tajwid, tanpa dinyatakan tarikh, di Sungai Bundung. Manuskrip diperoleh di Pontianak pada 29 Muharam 1423 H/12 April 2002 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J2gPjeNp
© Utusan Melayu (M) Bhd


Pengkaryaan Ulama Sambas, Sanggau Dan Sintang

oleh Wan Muhd Shoghir

KERAJAAN Sambas telah melahirkan beberapa orang ulama yang terkenal di peringkat dunia Melayu. Namun yang paling terkenal dan tersohor ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang hidup sezaman dengan Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani bahkan ulama besar tersebutlah yang bertanggungjawab membawa Syeikh Ahmad Khathib Sambas ke Mekah dan mengajarnya pelbagai ilmu keislaman.

Kesohoran Syeikh Ahmad Khathib Sambas di kalangan pengamal tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, sama ada di peringkat nusantara mahupun antarabangsa pada zamannya, memang tidak dapat dinafikan. Ini kerana pada zamannya di Mekah, Syeikh Ahmad Khathib Sambas merupakan mursyid yang teratas sekali. Ia bukan saja bagi masyarakat dunia Melayu, tetapi juga diakui oleh ulama-ulama dunia luar.

Ini dapat dibuktikan bahawa salah seorang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berasal dari Uzbekistan yang bernama Syeikh Abdul Murad. Beliau ini adalah ulama tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang menerima tawajjuh kedua-dua tarekat itu daripada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Namun, penulis tidak ingin melanjutkan pengenalan mengenai Syeikh Ahmad Khathib Sambas kerana telah penulis perkenalkan pada Utusan Malaysia, Isnin 6 Disember 2004.

Pada artikel kali ini, penulis ingin memperkenalkan ulama Sambas, Sanggau dan Sintang yang belum pernah dibicarakan orang. Di antara mereka yang menghasilkan karya, penulis mulakan dengan memperkenalkan:

Haji Khairuddin ibnu Haji Qamaruddin Sambas.
Karya-karya beliau ialah;

lIlmu ‘Aqidah dan Fiqh, diselesaikan sebagaimana tercatat,”… daripada masa hijrah Nabi kita Muhammad SAW kepada masa faqir menyuratkan risalah ini seribu dua ratus empat puluh tahun lamanya (1240H)”. Daripada maklumat ini berertilah kitab ini diselesaikan pada tahun 1240H/1824M. Tahun selesai penyalinan pula 1256 H. Kandungan membicarakan akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dan fiqh. Di antara kenadiran pada kandungan mengenai nasab Nabi Muhammad SAW ialah disebut secara lengkap dari Nabi Muhammad SAW sampai kepada Nabi Adam a.s., sedangkan pada kitab-kitab lain hanya menyebut nasab sampai kepada Adnan saja.

lIlmu Sharaf, diselesaikan sebagaimana tercatat, “Terkhatam kepada empat hari bulan Rabiulawal, waktu Asar, yang menyuratnya Haji Khairuddin ibnu al-Haji Qamaruddin al-Marhum, orang kampung Angus kepada tahun 1277H”. Kandungan membicarakan ilmu sharaf secara lengkap, merupakan pemberian gantungan makna kalimat-kalimat bahasa Arab ke bahasa Melayu.

lIlmu Tajwid, tanpa catatan tarikh. Kandungan membicarakan ilmu tajwid secara lengkap untuk peringkat asas.

lJadwal Hukum ‘Aqli, Hukum Syar’i dan Hukum ‘Adi, tanpa catatan tarikh. Kandungan merupakan jadual perbandingan tiga asas hukum dalam Islam iaitu hukum ‘aqli, hukum syar’i dan hukum ‘adi.

lHadits dan Akhlak/ Adab, tanpa catatan tarikh. Kandungan merupakan pelajaran akhlak dalam pelbagai bidang yang dilengkapi dengan hadis Nabi SAW, dan pendapat ulama terutama imam al-Ghazali.

l‘Aqidah/ Sifat Dua Puluh, tanpa catatan tarikh. Kandungan perbahasan akidah dalam bentuk soal dan jawab dengan huraian yang lengkap dan mendalam.

Semua manuskrip-manuskrip yang tersebut (no.1 hingga 6) diperoleh di Sambas, bekas dimiliki oleh Imam Muhammad Arif, salah seorang ulama Sambas. Tidak terdapat nama pengarang tetapi penyalinnya ialah Haji Khairuddin ibnu Haji Qamaruddin Sambas. Diperoleh pada hari Khamis, 15 Jumadilakhir 1421H/14 September 2000M.

Haji Abdur Rahman Bin Marhum Haji Qamaruddin
Kampung Angus, Sambas. Karya beliau yang telah ditemui hanya sebuah, iaitu;

lTafsir Bermakna, diselesaikan sebagaimana tercatat, “Tammat kalam kepada tujuh belas hari bulan Safar tahun hijrah Nabi 1280 (17 Safar 1280H, pen:). Yang menyurat faqir Haji Abdur Rahman ibnu Marhumi Haji Qamaruddin, Kampung Angus…”. Kandungan merupakan terjemahan al-Quran mulai ayat 1 hingga akhir surah al-Baqarah. Manuskrip tersebut diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422H/22 Disember 2001M.

Penterjemah surah di atas iaitu Haji Abdur Rahman ibnu Marhum Haji Qamaruddin. Ini dapat dipastikan adalah adik-beradik dengan Haji Khairuddin ibnu al-Marhum al-Haji Qamaruddin yang juga berasal dari Kampung Angus Sambas tersebut.

Dengan dijumpai manuskrip Tafsir Bermakna tersebut adalah merupakan terjemahan al-Quran klasik bahasa Melayu yang ketiga terawal berdasarkan tarikh yang telah diketahui. Dua yang terdahulu daripada ini ialah Tafsir al-Baidhawi oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dan Tafsir Jamal oleh Syeikh Maksum bin Jamaluddin al-Fathani.

Terjemahan surah al-Baqarah tersebut pula oleh Haji Abdur Rahman ibnu Marhum Haji Qamaruddin Kampung Angus, Sambas yang dibicarakan ini. Pada manuskrip halaman depan tercatat, “Haza waqaf Pangeran Bendahara balu isterinya di Kerinci nazhir pada Haji Ismail ibnu Rajab Samsu al-Marhum sanah al-wau 1285”.

Haji Muhammad Yasin Bin Al-Haji Muhammad Sa’ad Sambas
Ulama Sambas yang hidup sezaman dengan ulama-ulama Sambas yang tersebut di atas yang juga perlu dicatatkan ialah Haji Muhammad Yasin ibnu al-Haji Muhammad Sa’ad. Karya beliau yang telah ditemui ada dua judul, iaitu;

lIlmu Tajwid, diselesaikan di Mekah, waktu Dhuha, hari Sabtu, pada 20 Syawal 1285H. Kandungan membicarakan ilmu tajwid al-Quran. Pada bahagian awal ditulis dalam bahasa Arab yang diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu. Bahagian kedua semuanya menggunakan bahasa Melayu. Manuskrip diperoleh di Pontianak, Kalimantan Barat. Ia pernah dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak. Tarikh perolehan pada hari Jumaat, 11 Rabiulawal 1423H/24 Mei 2002M.

lSyair Ushul, diselesaikan tahun 1305 H. Kandungan membicarakan akidah dalam bentuk puisi/syair. Salinan manuskrip dilakukan oleh cucu pengarang bernama Ahmad Daud. Tarikh salinan dinyatakan, “Telah selesai daripada menulis ini surat pada lima belas hari bulan, waktu Zuhur, Syaaban pada 1329 (15 Sya’ban 1329H), hamba al-faqir Ahmad Daud menyalin surat nenda Al-Muhammad Yasin ibnu Al-Haji Muhammad Sa’ad…”.

Seri Paduka Sultan Muhammad Shafiyuddin.
Sebagaimana sultan-sultan atau raja-raja di Kerajaan Pontianak, Kerajaan Mempawah, dan lain-lain, yang mereka menghasilkan karangan, demikian juga dengan Sultan Sambas, Seri Paduka Sultan Muhammad Shafiyuddin, beliau merupakan murid kepada Syeikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani.

Beliau telah menghasilkan karya berjudul Silsilah As-Sulthan Muhammad Shafiyuddin /Almarhum Sultan Sulaiman Raja Sambas Yang Pertama, diselesaikan malam Jumaat 17 Ramadan 1321 Hijrah / 4 Disember 1903 Masehi. Kandungan membicarakan asal-usul Sultan Muhammad Shafiyuddin I, Sultan Sambas yang pertama. Iaitu berasal dari Brunei, dan seterusnya berasal dari Johor. Mulai dari beliau terus diceritakan keturunannya, hinggalah Sultan Muhammad Shafiyuddin II, itulah penyusun karya di atas. Manuskrip di peroleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422H/ 20 Disember 2001M di persekitaran Keraton Qadiriyah (Istana Kerajaan Pontianak).

Ulama Sanggau dan pengkaryaan
Sanggau, pada zaman dulu juga mempunyai kerajaan sendiri dan sekarang adalah sebuah Kabupaten Daerah Tingkat II di Kalimantan Barat. Tidak banyak diketahui mengenai ulama yang berasal dari Kerajaan Sanggau ini, namun begitu seorang tokoh bernama Haji Abbas bin Ahmad bin Hamzah as-Sanggau Maul Kapuas, iaitu seorang Penghulu Agama di Sanggau, menghasilkan sebuah karya berjudul Fat-hul Qulub, yang diselesaikan pada sepertiga malam Jumaat, 29 Jumadilakhir 1328H.

Kandungan membicarakan tentang tasawuf, akhlak, doa dan ungkapan syair dalam bahasa Melayu. Selain itu, sebagai tambahan membicarakan takwim haribulan dan perjalanan bintang dua belas untuk mengetahui ketika yang baik dan buruk. Mengenai ini dapat digunakan untuk permulaan perjalanan (pengembaraan), waktu yang baik dan kurang baik ketika mendirikan rumah dan lain-lain.

Cetakan pertama, huruf batu atau litografi oleh Mathba’ah Al-Qadimah Tuan Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Arab Street, No.82, Singapura, pada 20 Syaaban 1328H. Diperoleh hanya sebuah naskhah di Tanjung Pinang, Kepulauan Riau yang asalnya daripada bekas milik Raja Haji Abdullah Hakim Riau. Beliau pula memperoleh melalui Raja Muhammad bin Raja Muhammad Shalih pada 11 Rabiulawal 1420H/25 Jun 1999M.

Dimaksudkan dengan perkataan as-Sanggau Maul Kapuas ialah suatu tempat di Sanggau yang terletak di tepi Sungai Kapuas.

Antara yang berasal dari Sanggau dari daerah Sekadau pula ialah Abang Bujang Ibnu Sekadau. Beliau telah menulis kitab berjudul, Muqaddimatul Mubtadin, diselesaikan tahun 1328H. Kandungan membicarakan ilmu akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Manuskrip judul di atas diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422H/22 Disember 2001M. Pada halaman depan tercatat, “Ali-milk faqir haqir ilallah Ta’ala al-Haji ‘Abdur Rahim Banjar mustautin fi balad Sekadau….”.

Ulama Sintang dan pengkaryaan
Sintang juga sebagaimana Sanggau, pada zaman dulu mempunyai kerajaan sendiri dan sekarang adalah sebuah Kabupaten Daerah Tingkat II Sintang. Mengenainya juga tidak banyak diketahui berkenaan ulama yang berasal dari Kerajaan Sintang ini.

Pun begitu, terdapat seorang tokoh yang berasal dari Sintang bernama Abang Jarman Sintang menghasilkan karya berjudul, Silsilah Kerajaan Sintang dan Asal Usul Pendiri Kerajaan Sintang, yang diselesaikan bulan Rabiulakhir 1289 H. Kandungan menceritakan salasilah dan asal usul Kerajaan Sintang, iaitu seorang yang bernama Uji Melayu yang berasal dari Melaka dan berkahwin dengan suku Dayak. Manuskrip judul di atas diperoleh di Sintang, Kalimantan Barat bekas dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Sintang. Tarikh perolehan pada Sabtu, 12 Rabiulawal 1423H/ 25 Mei 2002M.

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz3J2gp1lmx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuan Guru Haji Wan Sulong al-Fathani

Tuan Guru Haji Sulong al-Fathani

 

Telah tercatat dalam sejarah bahawa kelima-lima anak lelaki Tuan Minal al-Fathani (Sheikh Zainal Abidin al-Fathani) menjadi ulama. Salah seorang antaranya ialah Sheikh Abdul Qadir bin Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Beliau melahirkan ramai keturunan yang menjadi ulama, antaranya adalah ulama yang dibicarakan ini iaitu Tuan Guru Haji Sulong al-Fathani.

Haji Sulong al-Fathani adalah seorang ulama yang sangat besar pengaruhnya bagi umat Islam Patani. Bahkan hampir semua orang Islam yang berasal dari Patani mengenali beliau. Beliau turut diakui oleh masyarakat Patani sebagai Bapa Perjuangan Patani, kerana pembangkit Revolusi Patani Merdeka pada zaman moden.

Pada zaman Perang Dunia Kedua, beliau dilantik sebagai ketua untuk pergerakan ulama Patani yang membuat tuntutan kemerdekaan dengan dinamakan Hai-atun Nafaz al-Ahkam asy-Syari’yah.

Ketika remajanya, Haji Sulong selalu mengikuti bapanya belajar kepada Sheikh Ahmad al-Fathani. Tidak dapat dinafikan bahawa sehinggakan kesan kewibawaan dan kepimpinan Sheikh Ahmad al-Fathani turut sebati dalam diri Haji Sulong. Disimpulkan bahawa Haji Sulong ialah kader politik tempaan Sheikh ahmad al-Fathani walaupun ketika itu usia Haji Sulong masih muda.

Karya-karya

Kesemua karya Haji Sulong menggunakan nama Haji Muhammad Sulum bin Abdul Qadir bin Muhammad al-Fathani. Menurut penelitian penulis dan selepas berbahas dengan beberapa keturunan ini. Antaranya Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong, Hajah Nik Wan Nafisah (iaitu isteri Abdullah bin Sheikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani, merupakan saudara kandung Haji Sulong), bahawa memang tidak terdapat anak Sheikh Zainal Abidin al-Fathani yang bernama Muhammad.

Maka kami simpulkan bahawa munculnya nama ‘Muhammad’ yang dikatakan ayah kepada Sheikh Abdul Qadir al-Fathani hingga kini belum diketahui sebab-sebabnya. Ia berkemungkinan memang sengaja ditulis oleh Haji Sulong seperti demikian yang merujuk kepada ayah Tuan Minal sendiri.

Nama Haji Sulong terkenal bukan kerana penulisan tetapi kerana perjuangan. Namun beliau juga telah menghasilkan beberapa artikel. Berikut dibicarakan sebahagian maklumat berkaitan penulisan yang beliau hasilkan.

  1. Kitab Cahaya Islam– Gugusan Maulid Saiyidil Anam

Cahaya Islam ditulis oleh Haji Sulong al-Fathani sempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW pada tahun 1362 H/1943 iaitu dalam masa darurat suasana Perang Dunia Kedua.

Di bawah judul kitab, dinyatakan juga, “Dan perihal asal bagi berbuat Maulid Yang Karim. Dan Menyatakan kelebihan yang amim“.

Karya judul tersebut kemungkinan terdiri dari beberapa jilid, tetapi yang sempat diterbitkan hanya jilid yang pertama saja. Cetakan yang pertama oleh Mathba’ah Patani Press, pada 23 Rabiulakhir 1372 H, bererti 10 tahun setelah selesai ditulis.

Tumpuan utama kandungan kitab Cahaya Islam adalah tentang Maulid Nabi Muhammad SAW. Namun pendekatan yang digunakan jauh berbeza dengan penulisan-penulisan lain yang pernah dihasilkan oleh ulama dunia Melayu yang terdahulu daripadanya. Hampir separuh kandungan jilid pertama adalah membahas pembahagian bidaah.

Seterusnya dilanjutkan pula pendapat para ulama-ulama yang terkenal dunia Islam tentang hukum mengadakan Maulid Nabi Muhammad SAW.

Sebelum membahaskan lebih lanjut, Haji Sulong al-Fathani menyatakan abstrak karangannya terlebih dahulu, iaitu: 1. Kenyataan fasal bidaah, dan maknanya, serta segala bahagiannya. 2. Kenyataan fasal dalil bagi sunat berbuat maulid, dan sunat bangun berdiri. 3. Kenyataan fasal kelebihan berbuat maulid, dan kelebihan orang yang hadir pada majlisnya.

Mengenai yang pertama iaitu fasal bidaah yang terkandung pada halaman 4-5 kitab tersebut, Haji Sulong al-Fathani menulis, “Bahawa berbuat maulid itu bidaah, kerana tidak diperbuat oleh Nabi SAW, dan begitu juga sahabat-sahabat dan ulama-ulama yang kemudian daripada sahabat.

” Hingga sampai kepada tahun hijrah 300 tahun tiada ada siapa-siapa yang berbuat akan dia. Dan kemudian daripada hijrah yang tersebut itu barulah timbul maulid. Dan tatkala timbul maulid itu sentiasa orang-orang Islam pada tiap-tiap negeri mengadakannya, istimewa pula negeri yang besar-besar seperti Baghdad, negeri Syam, negeri Mesir, negeri Mekah, Madinah, pada tiap-tiap tahun menghimpunkan manusia serta diperbuat beberapa kebajikan daripada jamuan, dan membaca Quran, dan berzikir, dan membaca kisah maulid…”.

Namun, Haji Sulong al-Fathani menolak pendapat golongan tertentu yang mengatakan bahawa mengadakan perayaan maulid adalah bidaah yang keji (terlarang). Selanjutnya beliau menulis perkara tersebut yang terkandung pada halaman 5-6, iaitu “Maka sesungguhnya berbuat maulid itu bidaah. Akan tetapi masuk di dalam bahagian ‘bidaah hasanah’ diberi pahala akan orang yang mengerjakan dia, seperti memperbuat ibadat yang sunat … Maka perhamba sebutkan sedikit fasal bahagian bidaah kerana takut terkeliru di atas mereka yang tidak tahu bahagian bidaah, maka ia berkata bahawasanya berbuat maulid itu bidaah yang keji atau haram, seperti sangkaan mereka yang telah disesatkan…”

Haji Sulong al-Fathani berpegang bahawa merayakan maulid Nabi SAW adalah termasuk dalam kategori Bidaah Hasanah atau sunat dikerjakan. Untuk menguatkan pendapat tersebut, beliau memetik pendapat-pendapat di antaranya Sheikh Ibnu Hajar al-‘Asqallani, Imam as-Sayuthi, al-Muhaddits Muhammad bin Mas’ud al-Kazaruni dan ulama-ulama lainnya, sedangkan mereka adalah ulama ahli hadis yang sangat terkenal.

Semua pendapat ulama yang tersebut dilengkapi dengan petikan yang agak panjang dan pada beberapa tempat disebut pula kitab-kitab rujukan.

Pada penutup bahagian pengenalan Cahaya Islam di halaman 42, karya Haji Sulong menulis, “Dan telah lalu cerita Hikayat Raja al-Muzhaffar Abu Said, bahawasanya membelanjakan hartanya pada berbuat maulid di dalam setahun 30 laksa dinar.

“Maka janganlah mengikut pengugut-pengugut iblis, yang ia berkata kepada seseorang, “Janganlah engkau belanjakan harta engkau kepada jalan kebajikan, lama-lama habis harta engkau jadi papa, maka jadilah engkau orang miskin”. Maka itulah jadi bakhil dan lokek tidak berbuat sesuatu kebajikan dengan hartanya. Maka minta Allah SWT menjauhkan hal yang semacam itu daripada kita”.

  1. Kitab Gugusan Cahaya Keselamatan

Kitab ini adalah karya Haji Sulong yang terakhir yang ditulis ketika dalam penjara di Legor. Selepas karya ini, tidak ada karya beliau yang lain kerana setelah itu Haji Sulong hilang secara misteri. Bahkan hingga sekarang tidak diketahui dimana Haji Sulong dikebumikan. Judul karangan yang diberikan oleh Haji Sulong ialah Gugusan Cahaya Keselamatan.

Gugusan Cahaya Keselamatan selesai ditulis pada 3 Zulkaedah 1368 H bersamaan dengan 28 Ogos 1949 M. Cetakan yang pertama 10.000 naskhah, diusahakan oleh Haji Muhammad Amin anak Haji Sulong.

Dicetak oleh Saudara Press Patani, 185, Jalan Rodi, Patani, 1377 H/1958 M. Di bawah judulnya, Haji Sulong memberi keterangan sebagai berikut, “Pada membentengkan. Beberapa wirid, dan doa, dan ayat Quran. Diterbitkan cahaya yang cemerlang daripada jel negeri Legor, Siam, ke seluruh negeri Islam …”

Kandungannya merupakan kisah yang terjadi mulai kedatangan pihak penguasa Siam untuk menangkap Haji Sulong pada jam 5 petang, hari Jumaat 5 Rabiulawal 1367 H bersamaan 16 Januari 1948 M.

Semua peristiwa yang berlaku terhadap diri beliau dicatat dengan kemas dan teliti, sehinggalah beliau selesai menulisnya. Kandungan selanjutnya ialah berbagai-bagai jenis amalan untuk ketahanan diri menghadapi perjuangan.

Sebelum membicarakan kandungan kitab, terlebih dulu dimuat gambar Haji Sulong. Di bawah gambar tersebut dan sesudah nama beliau diberi keterangan oleh Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong,

“Beliau telah meninggal dunia bersama-sama anaknya Ahmad, Wan Utsman dan Encik Ishaq pada malam Sabtu, 13 Singhakom 2497 bersamaan 13 Ogos 1954, di dalam laut Senggora kerana dibunuh oleh kakitangan kerajaan kejam”.

Sesudah gambar Haji Sulong, pada halaman yang di sebelahnya adalah gambar anak beliau, di bawahnya dinyatakan, “Haji Muhammad Amin bin al-Marhum Tuan Guru Haji Muhammad Sulum Fathani. Wakil Rakyat Patani”.

Pada kata pengantarnya, Haji Muhammad Amin mencerminkan jiwa patriotik, mengajak umat Patani terus berjuang. Di antara kata-kata beliau, “Dengan ini saya mengeluarkan sebuah buku karangan ayahanda saya untuk menjadi pengetahuan kepada seluruh umat Islam. Buku inilah menjadi pusaka bagi isterinya, anak-anaknya seterusnya kaum bangsa kita”.

Kata Haji Muhammad Amin pula, “Sekarang ini saya berseru kepada kaum muslimin dan muslimat sekelian, biar pun ayahanda saya telah tidak ada lagi dimuka bumi ini, kerana beliau telah mati syahid, tetapi perasaan dan semangat serta juga jasa-jasanya masih hidup. Dan tertanam di dalam jantung sanubari tuan-tuan sekalian untuk kita pula bersama-sama bekerja dan mencapai tujuan-tujuan baik yang telah diasaskan oleh ayahanda saya itu …”

Pada mukadimah, Haji Sulong memantapkan pegangan perjuangannya dengan pandangan akidah, dipetik dari firman Allah bahawa sesuatu tiada terjadi pada seseorang melainkan yang sudah ditentukan oleh Allah.

Dari hadis pula Haji Sulong menyebut, “Barang yang menghendaki Allah SWT itu ada ia. Dan barang yang tidak menghendaki itu tidak ada ia”. Kata Haji Sulong lagi, “Datanglah percubaan yang berpatutan dan munasabah dengan pekerjaannya dan tuannya. Kalau besar pekerjaannya, besar percubaannya. Kalau kecil, kecil percubaannya”.

Setelah wasiat dan nasihat pada mukadimah, pada halaman dua pula Haji Sulong menceritakan penangkapan terhadap dan sebab-sebabnya, bahawa pada 16 Januari 1948 petugas-petugas kerajaan Siam datang ke rumah beliau.

Katanya, “..serta membawa surat memberi perintah suruh tangkap saya. Dan suruh periksa bilik-bilik rumah dengan sebab saya membuat surat wakil kepada Tengku Mahmud Muhyiddin bin Tengku Abdul Qadir, Raja Patani berkenaan dengan tujuh buku (maksudnya: perkara) tuntutan rakyat-rakyat Patani kepada kerajaan Siam. Ialah dengan persetujuan rakyat jelata Patani suka berwakil kepadanya supaya boleh berunding dan berkira akan tuntutan yang telah dihantar kepada kerajaan pada 19 Jamadilawal tahun 1366 H bersamaan dengan 3 Musayun tahun 2490 B (3 April 1947 M) …”

Mulai dari kalimat-kalimat yang tersebut dan seterusnya Haji Sulong menceritakan semua peristiwa yang berlaku atas diri beliau. Pada pandangan penulis, karangan Haji Sulong inilah merupakan sejarah asli perjuangan rakyat Patani sesudah perang dunia yang kedua untuk mengembalikan ‘Daulah Patani Darus Salam’ dari pemerintahan Siam.

Sebelum menutup karangan ini, sekali lagi Haji Sulong memberikan kata-kata slogan perjuangannya, kata beliau pada halaman 13, “Akan tetapi manakala saya teringat akan tarikh nabi-nabi dan sahabat-sahabat dan tabi’in r.a bermacam-macam ditimpa percubaan di atas mereka itu, ialah menjadi contoh dan tauladan supaya mengikut oleh mereka yang bersetuju melangkah sebagaimana langkahan mereka itu yang patut dengan peredaran masa yang kelam sekarang.

“Maka tidaklah jadi pelik dan dukacita, oleh kerana perjalanan saya mengikut dasar mereka itu, iaitu meninggikan agama yang maha suci…”

Artikel Asal: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3J6F81lYh
© Utusan Melayu (M) Bhd